rencana

Tragedi Ali Abu Alayya

Oleh Nadir Al-Nuri

TAHUN 2020 dilihat sebagai tahun penuh malang dan kekangan apabila wabak Covid-19 melanda dunia sejak awal Februari.

Palestin tidak terkecuali berdepan ujian dan bahana itu dengan kesan mendalam terhadap kehidupan sosial dan ekonomi.

Dukacitanya wabak Covid-19 adalah sekecil-kecil ujian buat Palestin yang berdepan cabaran jauh lebih besar dan menggugat masa depannya pada tahun lalu.

Jom kita melihat bersama-sama apa yang dilalui bumi Al-Aqsa ini seperti yang ditulis Pusat Inisiatif Strategik Palestin-Malaysia (PALM Strategic) milik kita di Gaza.

Bulan-bulan pertama 2020 sudah berbau tragedi apabila tiga kanak-kanak ditembak tentera penjajah atas tuduhan cuba menceroboh sempadan Gaza-Israel untuk melakukan operasi. Entah operasi apa yang hendak dilakukan anak sekecil itu tiada siapa yang tahu.

Beberapa serangan pusat latihan pejuang Gaza juga dibom penjajah pada awal tahun lalu dengan balasan tembakan roket kembali ke kawasan penempatan haram Israel di pinggir Gaza.

Hujung Januari juga menandakan titik gelap dalam sejarah apabila Presiden Donald Trump mengumumkan pelan 'damai'nya yang diberi nama Deal of The Century.

Pelan ini yang jelas berat sebelah dan memihak kepada Israel kelihatan sudah mati dan menemui jalan buntu kerana bakal diketepikan pemerintahan Amerika Syarikat (AS) yang baharu kerana melanggar undang-undang dan resolusi antarabangsa.

Bulan April darah Palestin sekali lagi ditumpahkan apabila seorang pemuda Palestin yang menjalankan operasi berani mati menikam tentera penjajah di kawasan penempatan haram Ma'ale Adumin di Kota Al-Quds yang dijajah, dibunuh tentera.

Tiga orang Palestin lain turut syahid pada Mei - bulan sama Benjamin Netanyahu dari parti Likud yang berhaluan kanan memenangi pilihan raya selepas berhempas-pulas.

Sedikit sinar muncul untuk Palestin apabila Palestinian Authority (PA) mengumumkan untuk menghentikan koordinasi keselamatan dengan penjajah sebagai protes pengilhakan Tebing Barat yang mendadak dilaksanakan Israel seiring sokongan dan pengiktirafan Trump melalui The Deal of The Century.

Penjajah juga menjalankan operasi memusnahkan rumah penduduk di Al-Quds secara besar-besaran dengan 435 rumah dimusnahkan sepanjang tahun lalu. Pada 20 Jun pula, PA mengumumkan menolak AS sebagai 'orang tengah' dalam perundingan bersama Israel kerana sikap berat sebelah yang tidak lagi disembunyikan.

Pada 24 Julai, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membincangkan isu pengilhakan selepas masyarakat antarabangsa bersatu menentangnya, tanpa apa-apa hasil.

Pada 27 Jun, sekali lagi Gaza dibantai penjajah melalui serangan udara. Serangan meningkat pada 3 Ogos sebagai tindak balas belon 'berapi' yang dilepaskan penduduk Gaza ke penempatan haram Israel. Belon dibalas dengan roket.

Malah, sempadan Gaza ditutup dan bahan bakar yang digunakan untuk menghidupkan stesen jana kuasa dihalang masuk menyebabkan krisis kemanusiaan yang kritikal khususnya di sektor perubatan.

Palestin berdepan tamparan paling hebat apabila mula dikhianati anak bangsa sendiri melalui perjanjian normalisasi negara Arab dengan penjajah pada September bermula dengan normalisasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, seterusnya Sudan dan Morocco.

Harapan melihat faksi terbesar Palestin Fatah dan Hamas berdamai selepas perjumpaan di Kaherah dan Istanbul pula berkecai apabila pihak Fatah kelihatan mula berundur, malah membina semula hubungan dengan penjajah dengan meneruskan kerjasama sekuriti demi mengharap reda pemerintahan AS yang baharu di bawah Joe Biden yang mengalahkan Trump.

Sebelum kuasa bertukar tangan, sehingga penghujung tahun lalu Israel mengambil kesempatan cuba mengilhak sebanyak mungkin tanah Palestin di Tebing Barat.

Usaha perjanjian pertukaran tahanan penjara Israel dengan tahanan perang di tangan Hamas pula menemui jalan buntu kerana kegagalan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.

Tahun 2020 ditutup dengan pembunuhan insan berusia 13 tahun, Ali Abu Alayya di Kota Al-Quds menandakan tahun baharu 2021 tidak akan membawa banyak perubahan kepada tali arus kezaliman dan kebobrokan penjajah ke atas penduduk Palestin.

Minggu depan saya akan kongsikan pula bacaan dan jangkaan 2021.

Teruskan cakna umat dan terus menyokong projek Sekolah Malaysia yang kami di Persatuan Cinta Gaza Malaysia laksanakan di Gaza ini.

Dengan membantu orang makan, kalian membantu satu orang kenyang. Dengan membantu bidang pendidikan, kalian membantu seluruh ummah untuk menang.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 6:30am
d