rencana

Pelaku lagi kejam!

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Pada 2016, Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan pelaksanaan hukuman lebih berat kepada perogol kanak-kanak termasuk kembiri secara kimia dan hukuman mati kepada pesalah.

Menurutnya, langkah itu berikutan peningkatan kes keganasan seks terhadap mangsa bawah umur.

Katanya, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak adalah jenayah luar biasa kerana ia mengancam dan membahayakan nyawa kanak-kanak, maka hukuman lebih berat wajar dilaksanakan.

Desakan hukuman lebih berat muncul selepas berlaku kejadian membabitkan pelajar berusia 14 tahun dikenali sebagai Yuyun dirogol 14 lelaki dan dibunuh ketika pulang dari sekolah di Bengkulu, Sumatera pada 2016.

Minggu sebelumnya, tiga lelaki termasuk seorang pelajar 15 tahun merogol gadis berusia 18 tahun, Enno di Tangerang sebelum mangsa mati akibat dipukul dengan cangkul dan kemaluannya dirodok dengan hulu cangkul.

Menteri Kebajikan Sosial ketika itu, Indar Parawansa dilaporkan berkata, selain kembiri secara kimia, pesalah juga perlu memakai gelang kaki pengawasan elektronik selain identiti pesalah perlu disiarkan secara besar-besaran.

Minggu ini, selepas lebih empat tahun, Jokowi menandatangani peraturan memperuntukkan garis panduan kembiri secara kimia terhadap perogol kanak-kanak selepas Dewan Rakyat meluluskan hukuman itu pada 2016.

Menurut garis panduan itu, pesalah akan diberi ubat antiandrogenik yang mematikan nafsu, fantasi dan rangsangan seksual sekiranya sabit kesalahan merogol kanak-kanak.

Peraturan yang ditandatangani Jokowi pada 7 Disember tahun lalu itu turut memperincikan hukuman lain kepada pesalah seksual membabitkan kanak-kanak.

Ia antara lain termasuk mendedahkan identiti pelaku kepada umum dan pemantauan elektronik menerusi mikrocip pada badan mereka selepas dibebaskan dari penjara.

Kompas melaporkan Ketua Staf Presiden Indonesia, Moeldoko berkata, peraturan itu diyakini memberi manfaat kepada masyarakat dan kanak-kanak lebih dilindungi.

Katanya, kerajaan menyasarkan perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak, khususnya daripada risiko keganasan seksual kerana perlakuan seumpama itu terhadap golongan ini menimbulkan keresahan masyarakat.

Berdasarkan keterangan pakar perubatan, kesan ubat bagi pengembirian kimia itu bersifat sementara kerana ia perlu dilakukan setiap tiga bulan. Jika tidak, kesannya akan berkurangan.

Namun, katanya, prosedur itu boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan termasuk osteoporosis (kerapuhan tulang), anemia (kurang sel darah merah), penyakit kardiovaskular dan masalah kognitif.

Undang-undang Indonesia memperuntukkan pesalah seksual boleh menjalani hukuman pengembirian kimia bagi tempoh maksimum dua tahun.

Tahun lalu, AFP melaporkan Pakistan turut melaksanakan hukuman sama selain perbicaraan kes rogol disegerakan di mahkamah dan daftar pesalah seks nasional diwujudkan di negara itu.

Hukuman mematikan nafsu seks perogol itu dilaksanakan ke atas pesalah rogol sama ada kesalahan pertama atau kesalahan berulang.

Perdana Menteri, Imran Khan bertindak tegas dengan mengarahkan hukuman mematikan nafsu seks perogol menggunakan bahan kimia dilaksanakan sebagai langkah mengurangkan naluri seksual pesalah.

Katanya, jenayah seks seharusnya dikenakan hukuman gantung namun khuatir ia mungkin memberi kesan kepada perdagangan dengan rakan kongsi yang menentang hukuman mati seperti Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, langkah itu tidak dipersetujui aktivis hak asasi manusia yang mengingatkan bahawa tindakan menggunakan bahan kimia bagi mematikan nafsu seks bercanggah dengan komitmen Pakistan terhadap melindungi hak asasi manusia antarabangsa.

Ahli kempen Amnesty International (AI) Pakistan, Rimmel Mohydin berkata, hukuman seumpamanya adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah selain mencemari sistem kehakiman jenayah negara.

Kesalahan jenayah seksual yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa ternyata sukar untuk diterima akal, malah kesan ke atas psikologi dan kesihatan mental mangsa ternyata jauh lebih buruk.

Walaupun ada pihak mengatakan hukuman ke atas pesalah itu sebagai kejam, bukankah si pelaku lebih awal melakukan kekejaman terhadap mangsa?

Penulis adalah Pengarang Berita Harian Metro

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 7:20am
d