rencana

Rumah sendiri tak selamat!

STATISTIK kes sumbang mahram di negara kita dilihat cukup membimbangkan.

Sepanjang tahun lalu saja, sebanyak 259 kes dilaporkan di seluruh negara manakala 825 kes dilaporkan dalam tempoh 2018 hingga 2020.

Ada dua fakta dalam statistik ini yang cukup mengganggu pemikiran kita iaitu pertama, bapa kandung direkodkan sebagai pelaku paling ramai yang terbabit dan kedua majoriti kes yang dilaporkan berlaku di rumah sendiri.

Apabila ia membabitkan bapa kandung dan berlaku pula di rumah sendiri apa lagi yang boleh kita simpulkan selain umpama harapkan pagar, pagar makan padi.

Situasi ini menggambarkan kita berhadapan musibah atau bencana yang dahsyat dalam institusi keluarga di negara kita.

Apabila bapa yang sepatutnya menjadi benteng dan pelindung anaknya melakukan seperti ini, siapa lagi boleh diharapkan dan dipercayai?

Apabila rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak menjadi tempat yang merosakkan masa depannya, di mana lagi anak ini boleh berlindung?

Jelas sekali institusi keluarga kita menuju zaman yang cukup pelik dan mencabar.

Justeru, sebelum ia semakin hancur, elok kita bertindak segera.

Mahu tidak mahu, langkah pembetulan dan pencegahan perlu bermula dari rumah sendiri membabitkan semua ahli keluarga.

Bapa terutama sebagai ketua dan pelindung seisi keluarga perlu memikul kewajipan ini.

Sampai bila kita mahu biarkan gejala haruan makan anak ini berterusan?

Tugas dan tanggungjawab bapa bukan sekadar menyediakan tempat tinggal serta makan dan minum, tetapi perlu melindungi keselamatan dan maruah setiap ahli keluarga terutama wanita seperti isteri dan anak perempuan.

Jadi, kes sumbang mahram terutama yang membabitkan bapa kandung membuktikan masih ramai bapa tidak menghayati peranan itu sebaliknya mengambil kesempatan dan merosakkan darah daging sendiri.

Malah, sumbang mahram antara anak lelaki dan perempuan pula menunjukkan bapa juga dilihat gagal mendidik anak lelaki untuk menjauhi aktiviti jenayah eksual ini.

Justeru, perlu ada usaha untuk mendidik pasangan muda bergelar ibu bapa supaya mereka memahami amanah menjaga anak.

Pihak berkuasa agama misalnya, mungkin sudah boleh mewajibkan kursus keibubapaan kepada mereka supaya dari peringkat awal kita terapkan tanggungjawab mereka.

Bapa juga wajar memahami bebanan berat yang perlu dipikul dalam menjaga dan membesarkan anak perempuan.

Pada masa sama, peranan dan tanggungjawab ibu juga perlu diperkasakan.

Hal ini kerana ada kes di mana ibu mangsa tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah dan ke atas diri anaknya, malah lebih teruk lagi ada kes di mana ibu mangsa tahu kejadian yang berlaku, tetapi memilih untuk tidak melaporkannya atas pelbagai alasan seperti tidak mahu suaminya ditahan pihak berkuasa.

Ini tidak sepatutnya berlaku dalam keluarga kita.

Ibu tidak boleh bertolak ansur atau berkompromi dengan salah laku suami sehingga merosakkan anak sendiri.

Jadi, kita berharap ibu lebih berhati-hati dan tidak leka atau ambil mudah soal ini.

Seorang ibu sepatutnya ambil tahu apa berlaku dalam rumah dan sentiasa berkomunikasi dari hati ke hati dengan anak perempuan bagi membuka ruang kepada mereka meluahkan segala yang terbuku di hati.

Dalam konteks ini, rajin-rajin perhati dan ambil tahu segala gerak-geri ahli keluarga lelaki dalam rumah seperti suami dan anak lelaki.

Dalam pada itu, ibu bapa perlu mendidik anak perempuan mengenai sesuatu perbuatan yang boleh dan tidak boleh dilakukan lelaki lain termasuk ahli keluarga terhadap dirinya.

Malah, anak lelaki juga wajar diasuh cara untuk bergaul dengan adik-beradik perempuan.

Hal ini penting kerana ada kes di mana mangsa melihat apa yang diperlakukan bapa atau abang itu bukan suatu perbuatan salah.

Ringkasnya, pendedahan terhadap pendidikan seksual itu sangat penting.

Begitu juga halnya di mana kita juga perlu memberi kekuatan dan keberanian kepada anak perempuan supaya tampil membuat aduan kepada ibu atau pihak berkuasa jika ada sebarang gangguan seksual dari mana-mana pihak termasuk ahli keluarga.

Hakikatnya sumbang mahram membabitkan jenayah seksual dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

Justeru, agak sukar untuk pihak luar membantu jika mangsa ataupun ahli keluarga yang lain tidak tampil untuk membuat aduan dan laporan kepada pihak berkuasa.

Oleh itu, antara cara terbaik untuk kita menangani masalah ini ialah perlu adanya rasa tanggungjawab, keberanian, kesanggupan dan pengorbanan dalam diri mangsa dan ahli keluarga.

Ironinya, lagi kita diam dan cuba untuk menutup perilaku keji manusia tidak bertanggungjawab, keji dan tidak bertamadun ini, kita khuatir mereka lebih galak untuk melakukannya.

Malah, ahli keluarga lain juga boleh menjadi mangsa yang seterusnya.

Jadi kita berharap mangsa dan ibu atau ahli keluarga lain tampil ke hadapan dengan berani demi keluar dari cengkaman pelaku, sekali gus menyelamatkan diri dan ahli keluarga lain.

Ingat, sumbang mahram adalah satu perbuatan jenayah yang cukup keji, jadi jangan biarkan ia menghancurkan institusi keluarga di negara kita.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 6:30am
d