rencana

Bennett lebih ekstrem

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

PERHATIAN dunia, baru-baru ini tertumpu dengan pertukaran pemerintahan rejim Zionis. Selepas menjadi perdana menteri Israel paling lama Israel iaitu 12 tahun, Benjamin Netanyahu, 71, akhirnya tersingkir daripada jawatan itu.

Lebih menarik lagi, Netanyahu disingkirkan menerusi pakatan pelbagai parti.

Semuanya bermula selepas pemimpin pembangkang, Yair Lapid mencapai persetujuan bersama lapan parti termasuk dengan bekas sekutu Netanyahu, Naftali Bennett, 49, dan parti konservatif Islam Arab-Israel untuk membentuk kerajaan baharu.

Namun, peralihan kuasa itu tidak berlaku dengan mudah kerana kerajaan pimpinan Netanyahu hanya tumbang selepas undi percaya terhadap kerajaan baharu diadakan di Knesset (Parlimen Israel).

Ia menyaksikan Netanyahu tersingkir dengan majoriti tipis, iaitu 60 yang menyokong, berbanding 59 yang menentang.

Kerajaan baharu itu juga hampir tidak terlaksana selepas seorang ahli politik yang pada mulanya menyatakan sokongan tidak hadir pada sidang berkenaan.

Seorang ahli parlimen lain terpaksa meninggalkan hospital untuk mengundi di Knesset, pada saat-saat akhir.

Menurut New York Times, dia kemudian dilaporkan kembali ke katil hospitalnya selepas sesi pengundian.

Bagi kebanyakan pihak, majoriti tipis itu menandakan kedudukan kerajaan baharu itu agak goyah. Tetapi ia juga meredakan seketika pergolakan politik rejim itu yang sebelum ini menyaksikan empat pilihan raya umum terpaksa diadakan dalam tempoh dua tahun. Pilihan raya umum terbaharu hanya berlangsung kira-kira dua bulan lalu.

Berdasarkan persetujuan awal, kerajaan baharu sepakat dengan penggiliran jawatan perdana menteri.

Bennett yang pernah dianggap sebagai protege Netanyahu dan memimpin Parti Yamina akan memegang jawatan sebagai perdana menteri selama dua tahun. Jawatan itu akan diambil alih oleh Lapid yang pernah bergelar pembaca berita, sebelum ini, untuk penggal seterusnya.

Namun, perubahan tampuk pemerintahan ini tidak bermakna ada sinar baharu dalam konflik di rantau Timur Tengah. Sebaliknya, ia dijangka mengundang malapetaka lebih besar memandangkan visi Bennett yang lebih 'keras' dalam isu Palestin.

Menurut CNN, Netanyahu dilihat menyokong penyelesaian dua negara - Israel dan Palestin - dengan rejim itu mahu menguasai hampir sebahagian besar daripada keluasan negara berkenaan termasuk penguasaan lebih besar terhadap Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Ideologi politik Bennet pula lebih ekstrem apabila tidak mahu sebarang penyelesaian yang memihak kepada Palestin sebagai negara berasingan.

Bennett dilaporkan amat vokal dengan idea negara Israel yang sempadan meliputi kawasan Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Bukit Golan. Ia adalah kawasan yang ditakluk rejim itu selepas perang pada 1967.

Bennet juga adalah penyokong tegar kepada usaha pendudukan tanah secara haram oleh rejim Zionis di wilayah Palestin seperti Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Ketika ini, dianggarkan 600,000 penduduk Yahudi tinggal di dua kawasan berkenaan meskipun tindakan itu tidak diiktiraf dunia.

Bekas jutawan teknologi itu juga menentang usaha Israel menghentikan tindakan ketenteraan di Semenanjung Gaza, malah menolak sebarang perjanjian dengan Israel dengan Hamas pada 2018. Ketika wilayah dikuasai Hamas itu dibom oleh rejim Zionis pada bulan lalu, Bennet menuduh pejuang Palestin membunuh orang awam Israel.

Jadi tidak hairanlah, kerajaan baharu itu, memberi 'lampu hijau' kepada perarakan puak nasionalis yang provokatif melalui Kota Lama Baitulmaqdis, pertengahan bulan ini.

Rejim itu juga kemudian meneruskan serangan udara ke Semenanjung Gaza, baru-baru ini, meskipun kerajaan terdahulu dan pejuang Hamas sudah bersetuju dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Disiarkan pada: June 26, 2021 @ 5:59am
d