rencana

Membugar sektor pertanian

Oleh Dr Mohd Zaidi Md Zabri dan Dr Nur Hasnida Abdul Rahman

Sejak kebelakangan ini, negara berdepan dengan kenaikan mendadak harga barangan makanan terutama sayur-sayuran seperti lobak merah, kobis, salad, kangkung, kailan dan tomato yang menyaksikan kenaikan yang mencecah 100 peratus.

Namun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dipetik sebagai berkata, isu seperti hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands serta kawasan tanaman sayur sekitarnya didapati menjejaskan rantaian pengedaran, terutama bagi sayuran dari tanah tinggi berkenaan.

Bagaimanapun, jika fenomena kenaikan barangan makanan ini diteliti secara menyeluruh, faktor di atas adalah simptom kepada permasalahan yang lebih membusung, betapa negara kita sedang dilanda isu ketakjaminan makanan (food insecurity).

Menurut Jawatankuasa Keselamatan Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, keselamatan makanan (food security) ialah keadaan apabila semua orang, pada setiap masa, mempunyai capaian kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan diet untuk hidup aktif serta menjalani kehidupan yang sihat.

Berdasarkan rekod, setakat 2021, Malaysia berkedudukan ke-39 di dalam Indeks Keselamatan Makanan Dunia dan jauh ketinggalan di belakang Singapura di tangga ke-15. Daripada segi keselamatan makanan, Malaysia berdikari dalam beberapa komoditi makanan penting seperti daging ayam, telur, dan makanan laut. Umum mengetahui bahawa nasi adalah makanan ruji bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Namun, tahukah kita bahawa setakat ini, Malaysia mengimport hampir separuh daripada keperluan beras negara dari Vietnam, India dan Thailand? Bahkan, pengeluaran beras tempatan terbantut sejak tiga dekad lalu.

antara 2016 hingga 2018, pengeluaran beras negara mengalami penurunan 6.20 peratus. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), setakat Ogos 2021, Nisbah Sara Diri (SSR) bagi beras masih berada dalam aliran menurun (63 peratus pada 2021 berbanding 71.6 peratus pada 2014).

Malah, kebergantungan kepada import turut menyebabkan negara terdedah kepada krisis makanan dan jumlah import makanan yang tinggi sewaktu krisis, seperti yang pernah dialami sewaktu krisis makanan global pada 2007 dan 2008 dan terkini, pandemik Covid-19.

Selain beras, negara masih bergantung kepada import makanan bagi memenuhi keperluan makanan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, pada 2020, terdapat lapan item yang merekodkan Nisbah Ketergantungan Import (IDR) melebihi penanda aras 50 peratus iaitu daging kambing (90.4 peratus), mangga (86.2 peratus), halia (81.5 peratus), daging lembu (78.11 peratus), cili (72.4 peratus), kobis bulat (63.6 peratus), susu segar (53.5 peratus) dan sotong (52.2 peratus).

Secara keseluruhannya, dari 2013 hingga 2019, defisit perdagangan makanan Malaysia adalah antara 16.76 peratus hingga 19.45 peratus. Import makanan negara meningkat secara berterusan daripada RM38.86 bilion pada 2013 kepada RM51.46 bilion pada 2019.

Kadar pertumbuhan tahunan terkompaun atau CAGR bagi peningkatan import ini ialah sebanyak 4.79 peratus. Apa yang lebih membimbangkan ialah ketakjaminan makanan ini telah dan akan berterusan 'menekan' isi rumah terbawah 40 peratus (B40). Ini disebabkan oleh saiz keluarga yang lebih besar dan bilangan kanak-kanak bersekolah yang ramai.

Bukan itu sahaja, keadaan ini juga bakal memburukkan lagi keadaan ekonomi keluarga yang bergantung harap kepada pencari nafkah tunggal. Berdasarkan Laporan Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2019 oleh DOSM, secara puratanya, isi rumah Malaysia membelanjakan RM784.38 sebulan atau 17.3 peratus daripada purata pendapatan isi rumah bulanan untuk makanan.

Untuk rekod, perbelanjaan berkaitan makanan isi rumah Malaysia adalah komponen perbelanjaan isi rumah kedua tertinggi selepas pembiayaan perumahan (23.6 peratus). Dari segi peratusan, walaupun terdapat penurunan 0.7 peratus (18 peratus pada 2016), apa yang lebih membimbangkan ialah terdapatnya peningkatan RM58.38 yang disebabkan oleh inflasi.

Inflasi bermaksud kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam suatu tempoh masa tertentu. Tambahan pula, DOSM merekodkan purata gaji dan upah bulanan susut sebanyak 9.0 peratus pada tahun 2020 sekali gus menjadi penurunan kali pertama sejak data mula direkodkan mulai 2010.

Maka, tidak hairanlah jika permasalahan ketakjaminan makanan ini bakal menjadi lebih parah melalui laporan DOSM pada edisi mendatang. Bagaimanapun, di sebalik daya usaha yang sudah dan bakal digemblengkan untuk menjamin keselamatan makanan, kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran, seperti perubahan iklim dan degradasi tanah.

Demi hari esok yang lebih baik, adalah penting untuk memastikan tahap keselamatan makanan yang mapan. Sekiranya gagal, negara bakal berhadapan dengan masalah kelaparan dan kanak-kanak kekurangan zat yang akhirnya akan memberi kesan besar kepada pertumbuhan sosial dan ekonomi negara.

Justeru, sudah tiba masanya kita membugar kembali sektor pertanian sebagai sumber peluang pekerjaan berpotensi selain peningkatan pelaburan modal demi memodenkan sektor ini. Menjelang tahun 2030, penduduk urban di Malaysia bakal mencecah 80 peratus daripada keseluruhan populasi negara.

Bahkan, sebagai langkah jangka masa pendek dan sederhana, marilah kita bersama-sama menyahut saranan Dr Mohd Ramzi Mohd Hussain, Pembantu Profesor di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), UIAM dengan menjadikan kebun bandar sebagai 'barisan hadapan' dalam mendepani isu keselamatan makanan negara.

Dr Mohd Zaidi Md Zabri, Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Manakala Dr Nur Hasnida Abdul Rahman Pembantu Profesor, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Disiarkan pada: December 16, 2021 @ 6:00am
d