rencana

Apa yang kita belajar mengenai kepimpinan belia pada pasca banjir

Oleh Prof Dr Haslinda Abdullah

PADA 18 Disember 2021, hampir semua rakyat terkesan akibat banjir, sama ada secara langsung ataupun tidak. Namun apa yang menarik perhatian penulis adalah kerjasama antara bekas pemimpin belia dan pemimpin belia semasa.

Amat jelas kelihatan kerjasama dewasa-muda (youth-adult partnership) sewaktu misi bantuan diberikan kepada mereka yang terjejas. Bantuan yang diberikan merentas parti politik serta dilakukan secara menyeluruh dari mula bencana sehinggalah ke peringkat pemulihan.

Terkait dengan perkara ini adalah isu Undi 18 yang sedang hangat dibahaskan terutama sekali dalam kalangan ahli politik tempatan.

Kegusaran berkaitan sama ada golongan belia layak memimpin atau tidak, sudah tidak lagi menjadi isu. Kepimpinan mereka jelas terserlah sewaktu menangani urusan bencana banjir.

Tanpa menafikan sumbangan dan bantuan daripada mereka yang bukan lagi belia, pengurusan bantuan, serta kerjasama dengan kepemimpinan yang berumur dapat dilaksanakan dengan baik oleh belia yang bukan saja menyelaraskan bantuan tetapi turut turun padang memberikan bantuan. Ini jelas dapat dilihat di kawasan yang terjejas teruk seperti di Kampung Nandeng, Hulu Langat dan Seksyen 23, Shah Alam.

Justeru, satu kerugian yang besar sekiranya aset negara yang besar ini tidak dimanfaatkan dengan memberikan mereka peluang dan ruang yang seluas-luasnya untuk mereka turut sama menyumbang bakti.

Dengan jumlah belia berumur 15 hingga 30 tahun seramai 9,794,000 juta orang (data sehingga 2020), potensi yang ada ini haruslah digilap dan dimanfaatkan dengan baik. Cetusan semangat ini harus dibugarkan secara sihat agar ianya tidak mati di tengah jalan.

Kajian yang pernah dilakukan oleh pihak Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia Malaysia, berkaitan aset belia Malaysia mendapati bahawa dari segi aset dalaman, belia Malaysia bersedia untuk memimpin, walau bagaimanapun ianya tidak disokong oleh aset luaran yang melingkari kehidupan mereka.

Contoh aset luaran adalah ibu bapa, jiran serta komuniti setempat. Hasil dari kajian ini jelas menunjukkan intervensi ataupun perubahan harus dilakukan oleh mereka yang berada di sekitar belia itu sendiri.

Ekosistem yang kondusif, proses yang berterusan serta sistem yang teratur akan melahirkan belia yang mampu berdikari, berintegriti serta berkualiti untuk memimpin negara.

Kerisauan orang ramai berkaitan anak muda yang mengundi dan memimpin di usia muda tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak mendedahkan mereka dengan dunia sebenar kepimpinan negara.

Kematangan dan kewarasan membuat keputusan sebenarnya tidak mengira umur, proses kematangan boleh diperolehi dengan pendedahan serta peluang dan ruang yang diberikan kepada golongan ini dalam kepemimpinan negara.

Ianya boleh dimulakan dengan memberikan mereka peranan di peringkat komuniti dan daerah. Jatuh bangun, serta salah dan silap itu adalah proses yang perlu dilalui untuk menjadikan seseorang individu benar-benar mantap.

Justeru, sekiranya belia didedahkan dengan proses kepemimpinan seawal usia belia muda, (18 tahun) malah didedahkan dengan proses memimpin di pelbagai peringkat masyarakat seawal 15 tahun, maka sudah pasti kita akan mempunyai sejumlah besar kepimpinan belia yang sudah disediakan secara tuntas untuk memimpin negara.

Golongan 30 hingga 40 tahun pula seharusnya bersedia untuk menjadi tonggak utama kepimpinan negara.

Kolaborasi pemimpin negara yang terdiri daripada golongan belia dan dewasa akan mewujudkan satu ekosistem lengkap hubungan kerjasama Dewasa-Belia (Y-AP) seperti yang ditekankan dalam agenda Pembangunan Belia Positif, Kementerian Belia Malaysia.

Bagaimana pula pemimpin yang berusia emas? Pada pandangan penulis, pengalaman dan kematangan mereka masih diperlukan dan ini boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk.

Apa yang penting pemimpin ini perlu berlapang dada serta menjadi seorang negarawan dengan membenarkan sedikit kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin muda dengan teguran serta bimbingan yang membina.

Seperti mana diungkapkan oleh pengasas Alibaba, Jack Ma, sebenarnya gagal yang sebenar-benarnya gagal ialah gagal untuk mencuba dan berputus asa.

Proses gagal dan bangkit dari kegagalan adalah satu proses yang menjadikan seorang pemimpin itu kuat. Walau bagaimanapun, cabaran utama kepimpinan belia adalah persepsi masyarakat.

Mengurus persepsi masyarakat berkaitan pemimpin muda adalah antara perkara yang perlu diadun dengan baik oleh mereka dan ianya seharusnya dibantu oleh semua pihak.

Membiarkan anak muda melakukan sesuatu serta menunggu hingga mereka tersalah jalan serta kemudiannya menempelak kesalahan dilakukan bukanlah sesuatu yang seharusnya dilakukan oleh mereka yang lebih 'matang'.

Mereka seharusnya bersama-sama membentuk persepsi yang sihat untuk golongan muda ini.

Kita ada contoh yang nyata di peringkat antarabangsa seperti Perdana Menteri Kanada dan Perdana Menteri New Zealand yang memimpin dengan baik.

Memimpin dengan baik bukan bermakna mereka tidak melakukan kesilapan, tetapi mereka mampu bangkit dengan lonjakan yang lebih tinggi hasil dari kesilapan itu.

Di zaman pandemik serta abad ke-21 ini, yang mana segala maklumat tersebar dengan pantas dan memerlukan daya tindak yang cepat dan ketidakpastian adalah sesuatu yang pasti, kerangka fikir serta cara bertindak yang lama perlu dirombak.

Mahu atau tidak, bersedia atau belum, belia kita harus dipersiapkan untuk menjadi pemimpin negara yang berkualiti seawal usia muda.

Jumlah kematian yang semakin meningkat dan membabitkan pemimpin berumur adalah tanda saran yang tidak boleh dipandang mudah.

Belia kita perlu diberi pendedahan di usia belia awal lagi. Mereka sudah menunjukkan contoh, kenapa kita masih mempersoalkan apa yang mereka ketengahkan dengan jayanya?

Beri mereka peluang dan ruang serta bimbing mereka, penulis pasti dengan bimbingan dan pendedahan yang bersesuaian, belia ini pasti menjadi kebanggaan negara suatu hari nanti.

Penulis adalah Pensyarah di Institut Pengajian Sains Sosial, UPM

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 3:45pm
d