rencana

Bantuan banjir & impak emosi

Oleh minda

Dunia semakin terdedah dengan ancaman risiko bahaya hidrometeorologi seperti banjir dan ribut tropika. Negara seperti China, Bangladesh dan India seringkali terdedah dengan ancaman bencana terutamanya banjir besar. Pada 2080, pakar meramalkan banjir akan meningkat empat kali ganda kerana paras laut dijangka terus meningkat akibat perubahan iklim global. Perkara ini amat membimbangkan terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan pantai dan sungai.

Banjir adalah ancaman utama dan paling teruk antara semua jenis bencana di Malaysia. Di Semenanjung Malaysia, zon pantai timur yang merangkumi negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang menerima taburan hujan yang lebih tinggi berbanding negeri di zon pantai barat dan di zon lain.

Siapa yang boleh melupakan musibah banjir besar yang melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga mengorbankan banyak nyawa dan memberi kesan mendalam kepada psikologi masyarakat.

Hujan lebat berterusan di negeri di pantai timur baru-baru ini menyebabkan beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Kelantan kembali dilanda banjir. Sebelum ini, Terengganu mengalami empat gelombang banjir sepanjang musim tengkujuh bermula November 2021 hingga awal bulan lalu.

Kebanyakan penduduk menyifatkan banjir kali ini sebagai kejadian luar biasa kerana banjir yang biasanya berlaku pada akhir tahun sekali lagi berlaku pada akhir Februari baru-baru ini.

Trend hujan dan kebarangkalian banjir itu berlaku agar sukar diramal secara tepat kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa dan menuntut semua penduduk sentiasa bersiap sedia menghadapi banjir. Kesan banjir menjadi lebih ketara apabila masyarakat yang terjejas kurang bersedia dan kurang berdaya tahan menghadapinya sehingga ramai penduduk kehilangan nyawa dan harta.

Banjir juga memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada penduduk. Antara beberapa kesan jangka pendek termasuklah kematian, lemas, kecederaan, pendedahan terhadap toksik dan penyakit berjangkit, terutamanya yang melibatkan penyakit bawaan air seperti kepialu, hepatitis, leptospirosis, taun dan keracunan makanan.

Kesan jangka panjang pula seperti gangguan stres selepas trauma (PTSD), penyakit tidak berjangkit, kekurangan zat makanan, kebimbangan dan kemurungan. Kekurangan bekalan air bersih juga mengakibatkan peningkatan penyakit bawaan air, menambahkan lagi beban pada sistem penjagaan kesihatan yang sudah terjejas semasa wabak itu.

Kajian juga mendapati seseorang mangsa yang mengalami bencana akan merasai kesan bencana itu dalam tempoh sehingga sembilan bulan selepas bencana dan berkemungkinan akan membawa kepada masalah kesihatan mental jika ia tidak diuruskan dengan baik.

Malah, ketika banjir, sebilangan besar mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang menyebabkan pusat itu menjadi sesak dan memberi cabaran yang besar terhadap kawalan prosedur operasi standard (SOP) dan pencegahan penyakit, seperti penjarakan sosial dan kuarantin. Selain itu, risiko jangkitan Covid-19 meningkat apabila mangsa yang dipindahkan terpaksa berkongsi kemudahan yang terhad.

Banjir di Selangor dan beberapa kawasan di pantai timur baru-baru ini perlu dijadikan iktibar kerana bencana itu tidak dapat diramal secara tepat walaupun teknologi canggih telah dibangunkan. Kesiapsiagaan rakyat menghadapi banjir perlu dipertingkatkan walaupun selama ini kawasan yang didiami bukan merupakan kawasan yang terdedah kepada banjir.

Kerajaan, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan swasta menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu sama-sama meningkatkan kesedaran orang awam mengenai strategi persediaan menghadapi krisis.

Kajian juga mendapati rakyat Malaysia, terutamanya penduduk di kawasan luar bandar kurang pendedahan terhadap insurans bencana seperti insurans bencana alam banjir untuk kereta. Ada juga yang sedar tentang kepentingan mengambil insurans bencana itu tetapi mereka berpendapat terdapat komitmen lain yang perlu diberi keutamaan. Memandangkan bencana banjir semakin kerap berlaku, perlindungan insurans perlu diberikan keutamaan agar rakyat terus berdaya tahan menghadapi bencana banjir kelak.

Selain itu, tindakan segera perlu untuk menaik taraf infrastruktur dan sistem seperti sistem amaran banjir, ban dan sistem perparitan. Pembinaan dan naik taraf ban perlu dilaksanakan segera memandangkan infrastruktur sedia ada tidak dapat menampung kenaikan paras air laut yang disebabkan oleh faktor perubahan iklim.

Selain itu, usaha mendalam dan melebarkan sungai juga perlu dijalankan segera tanpa menunggu musim tengkujuh tiba.

Program Agenda 21 perlu diperkasa agar semua pihak seperti pihak berkuasa tempatan, badan swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti setempat dapat bekerjasama dalam aktitivti kesiapsiagaan menghadapi banjir seperti aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan longkang, sungai dan persisiran pantai.

Usaha kerajaan untuk membantu mangsa banjir untuk bangkit semula meneruskan kehidupan selepas dilanda musibah harus dipuji. Bagaimanapun, proses pengagihan bantuan dan pampasan perlu disegerakan dan ditambah baik dengan mengurangkan amalan birokrasi yang melumpuhkan perasaan mangsa banjir dan membuka ruang rasuah.

Sektor swasta dan badan bukan kerajaan juga boleh menyumbang kits ujian swab Covid-19 ke pusat pemindahan sementara dan terus kepada penduduk yang terkesan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Kesimpulanya, usaha mengurangkan kesan bencana banjir terletak pada semua pihak. Usaha menjadi negara maju akan terbantut sekiranya negara terpaksa menanggung kerugian aset yang bernilai seperti modal insan yang berkualiti.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Disiarkan pada: February 28, 2022 @ 7:00am
d