rencana

Kerja empat hari seminggu: Sesuaikah di Malaysia?

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Baru-baru ini, ribuan pekerja United Kingdom (UK) menyertai eksperimen bekerja empat hari seminggu tanpa potongan gaji. Menurut CNN, projek perintis itu adalah percubaan terbesar bagi inisiatif seumpamanya.

Ia akan berlangsung enam bulan membabitkan 3,300 pekerja yang merangkumi 70 syarikat daripada penyedia perkhidmatan kewangan sehingga kepada restoran.

Pekerja berkenaan menerima 100 peratus daripada gaji mereka untuk bekerja hanya 80 peratus daripada tempoh dalam minggu biasa sebagai pertukaran dengan komitmen untuk mengekalkan produktiviti.

Namun, polisi ini sebenarnya bukanlah perkara baharu. Eksperimen kerja empat hari seminggu ini atau usaha untuk memendekkan tempoh bekerja dalam seminggu pernah dilaksanakan di beberapa negara sebelum ini.

Ini termasuk Iceland yang pernah mengadakan percubaan kerja empat hari seminggu antara 2015 dan 2019. Ujian ini menyaksikan kira-kira 2,500 pekerja bekerja antara tempoh 35 jam dan 36 jam seminggu tanpa pengurangan gaji.

Selain itu, percubaan sama pernah dilaksanakan di Sweden pada 2015.

Mulai Februari lalu, pekerja di Belgium pula dibenarkan untuk memilih bekerja empat hari seminggu. Namun, waktu kerja tidak dikurangkan, tetapi dipanjangkan untuk setiap hari.

Di Jepun pula, syarikat besar Microsoft Japan pernah melaksanakan waktu kerja lebih pendek dengan cuti tiga hari seminggu selama sebulan pada 2019.

Namun, setakat ini, hanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang melaksanakan waktu bekerja dalam seminggu yang paling singkat di dunia iaitu hanya empat hari setengah seminggu, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Di bawah langkah itu, waktu kerja antara Isnin hingga Khamis adalah bermula jam 7.30 pagi hingga 3.30 petang manakala bagi hari Jumaat, waktu bekerja bermula pada jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Bahkan bagi pekerja kerajaan, mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah pada Jumaat dan menyusun jadual waktu bekerja mengikut masa yang fleksibel.

Diskusi mengenai waktu bekerja yang lebih singkat ini kembali diperkatakan apabila dunia kini beralih kepada fasa endemik Covid-19.

Ia apabila kebanyakan pekerja sudah terbiasa dengan kerja dari jarak jauh (remote working). Selain itu, ia didorong dengan peningkatan kesedaran pekerja mengenai isu work-life balance atau keseimbangan kehidupan bekerja.

Persoalannya di sini, adakah kerja empat hari seminggu ini sesuai dilaksanakan di Malaysia?

Isu utama yang perlu diperhalusi adalah mengenai jumlah cuti umum di Malaysia yang dikatakan antara terbanyak di dunia. Negara ini mungkin tidak memiliki cuti tahunan sebanyak Iran iaitu 27 hari (rekod pada 2021) atau Sri Lanka (25 hari) dan Kemboja (21 hari), namun masih mempunyai cuti tahunan lebih tinggi daripada purata global iaitu 11 hari.

Semua urusan perniagaan lazimnya pula dibuat pada hari bekerja. Ia sama untuk urusan sama ada di sektor swasta atau kerajaan. Mengambil kira kerja empat hari seminggu dan jumlah cuti umum ini, adakah ia akan mengganggu kelancaran operasi sesebuah organisasi?

Selain itu, pelaksanaan empat hari bekerja seminggu dijangka meningkatkan kos buat syarikat dan peniaga. Menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), ia meningkatkan kos operasi apabila majikan terpaksa membayar gaji lebih masa.

Ini juga belum mengambil kira undang-undang buruh di negara maju yang jauh lebih ke hadapan. Kesatuan pekerja di negara Barat, umpamanya, amat lantang dalam perjuangan untuk menuntut hak pekerja. Lihat sahaja waktu perniagaan operasi runcitnya apabila semua premis perniagaan jenis itu ditutup tepat pada jam 6 petang.

Setakat ini, cadangan ini juga tidak disokong Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan perlu lebih fokus kepada isu pekerjaan yang lebih penting dan yang sudah diumumkan, tetapi masih pada peringkat kajian atau tidak dilaksanakan lagi walaupun sudah dikuatkuasakan.

Hakikatnya, siapa yang tidak suka kerja empat hari seminggu. Suka atau tidak, ia diramal akan menjadi gaya hidup pada masa depan.

Namun, untuk permulaan, majikan, setidak-tidaknya, boleh memperkenalkan lebih banyak polisi berhubung kesejahteraan pekerja.

Paling mudah, pengenalan waktu kerja anjal. Selain itu, ada juga institusi perbankan di negara ini yang membenarkan pekerja pulang sejam lebih awal sehari dalam seminggu, khususnya pada Jumaat. Cadangan lain yang boleh dipertimbangkan adalah cuti tanpa rekod sehari dalam sebulan untuk membolehkan mereka melunaskan urusan peribadi.

Ini bukan perkara baharu. Daripada pengalaman peribadi dan pemerhatian penulis, polisi ini sebenarnya sudah lama dilaksanakan oleh beberapa majikan sektor swasta di Malaysia.

Penulis Penolong Pengarang Global Harian Metro

Disiarkan pada: July 9, 2022 @ 7:00am
d