rencana

Harimau Malaya dalam bahaya

Oleh Mohd Rozaimy Ridzuan

Pemburuan dan permerdagangan haram haiwan liar semakin mendapat liputan oleh kebanyakan negara di dunia sejak akhir-akhir ini. Menurut Laporan Integriti Kewangan Global 2017, perdagangan haram hidupan liar telah menjadi perdagangan haram global terbesar selepas aktiviti jenayah terancang transnasional seperti dadah dan penyeludupan senjata.

Antara faktor yang mendorong kegiatan haram ini adalah disebabkan peningkatan kekayaan penduduk dunia, kelemahan undang-undang, keupayaan kerajaan yang terhad untuk menangani pemburuan haram dan penyeludupan, kegiatan rasuah serta kurangnya kesedaran orang ramai berkaitan kegiatan haram ini.

Pembunuhan yang mendebarkan dan mencabar, peningkatan hormon adrenalina dan keseronokan perbuatan haram itu juga antara faktor yang menyumbang kepada aktiviti pemburuan haram.

Harimau adalah haiwan liar yang sering diburu dan diseludup biarpun kebanyakan negara memasang iltizam untuk membanteras kegiatan terlarang ini. Populasi harimau global menurun sebanyak kira-kira 50 peratus sejak dekad 1990-an hingga 2014. Di India, aktiviti pemburuan haram harimau masih rancak dijalankan meskipun kerajaan di negara itu mengenakan undang-undang yang ketat.

Harimau adalah antara spesies hidupan liar yang paling banyak dieksploitasi, terutama disebabkan oleh permintaan yang berterusan bagi tujuan perubatan tradisional di negara Asia, terutama China dan Vietnam.

Di Malaysia, jumlah populasi harimau Malaya semakin menurun dan pupus. Kehilangan habitat dan sumber makanan akibat aktiviti pembalakan, pencerobohan hutan serta penularan virus canine distemper menyebabkan haiwan yang dikenali raja rimba itu menjadi semakin pupus. Aktiviti pemburuan serta perdagangan haram juga antara pencetus terbesar kepupusan haiwan itu. Negara pernah merekodkan jumlah harimau Malaya sebanyak 3,000 ekor pada era 1950-an dan kini hanya tinggal lebih kurang 150 ekor sahaja. Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya sekiranya tiada langkah sistemik dilakukan.

Dr Mark Rayan Damaraj, Pengarah Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar menyatakan bahawa kebanyakan pemburu haram harimau ini terdiri daripada rakyat negara Indochina seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar yang menyusup masuk ke negara ini secara haram. Mereka menggunakan jerat dan memburu menggunakan senjata api dan menembak harimau dari atas pokok.

Harimau Malaya menjadi sasaran kerana ia adalah spesies yang mempunyai harga yang sangat tinggi di pasaran gelap. Semua bahagian dan produk harimau mempunyai nilai pasaran. Kulit, kuku, dan gigi adalah sebahagian barangan fesyen, hiasan rumah, barang kemas serta lambang keberanian. Daging, darah, tulang, lemak, dan alat kelamin semuanya digunakan sebagai bahan dalam ubat-ubatan tradisional, tonik serta rawatan untuk pelbagai penyakit. Di Vietnam, tulang harimau sering direbus menjadi gam yang dikenali sebagai cao hổ yang boleh dimakan terus atau dimasukkan ke dalam wain perubatan. Dalam banyak-banyak bahagian, tulang harimau juga bahagian yang paling popular. Tulang harimau telah digunakan selama berabad-abad dalam perubatan tradisional di banyak negara Asia seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam kerana khasiatnya dikatakan dapat merawat arthritis, reumatik dan penyakit lain pada otot serta tulang. Tulang harimau juga dipercayai mempunyai kesan antiradang dan menghilangkan rasa sakit.

Harimau memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan semula jadi. Pengurangan populasinya boleh menyebabkan ekosistem hutan tidak stabil dan hubungan antara mangsa dan pemangsa menjadi tidak seimbang. Spesies harimau Malaya perlu dijaga rapi kerana haiwan ini lambang keberanian, kekuatan dan kebanggaan negara.

Haiwan ini dijadikan simbol yang membolehkan rakyat berkongsi semangat cintakan negara, jati diri bangsa dan negara. Ia adalah haiwan simbolik yang menggambarkan kekuatan, keazaman dan keberanian bangsa Malaysia. Selain itu, harimau Malaya adalah simbol penting pada Jata Negara dan jata rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Kita kesuntukan masa untuk memastikan populasi haiwan ini terpelihara. Sebelum ini, Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan yang berakhir pada 2020 mengalami cabaran besar kerana bilangan renjer yang ditugaskan untuk rondaan adalah kecil. Jumlah renjer yang besar bagi meronda habitat hidupan liar di Semenanjung Malaysia diperlukan bagi menundukkan kegiatan pemburuhan haram di dalam hutan tebal.

Setakat ini, kerajaan telah menambah jumlah renjer dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap inci kawasan perlindungan hidupan dijaga seterusnya akan membanteras pemburuan haram di Semenanjung. Kerajaan juga telah meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang menyaksikan hukuman denda maksimum dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi pesalah di bawah akta ini.

Misi membanteras pemburuan haram harimau Malaya juga mendapat sokongan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Sebuah Jawatankuasa Hidupan Liar ditubuhkan di bawah Majlis Biodiversiti Negeri Pahang bagi mengetuai usaha bersepadu memerangi pemburuan haram di Pahang.

Baginda menggesa penguatkuasaan lebih tegas perlu dilaksanakan dalam usaha melindungi hidupan liar terutama harimau di negara ini. Baginda turut menggalakkan belia memperlengkapkan ilmu berkaitan kepentingan pemuliharaan harimau dan membantu kerajaan menyebarkan kesedaran berkaitan harimau di kalangan masyarakat.

Salurkan maklumat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sekiranya mengesan kegiatan pemburuan haram menerusi talian 1800-88-5151.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Disiarkan pada: August 8, 2022 @ 6:00am
d