rencana

Kerja keras, berkorban & berani

Oleh Riadz Radzi

Rakyat Malaysia bangga apabila Tan Sri Michelle Yeoh, 61, mencipta sejarah menjadi pelakon kelahiran negara ini dan Asia pertama memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards ke-95 atau Oscar yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Michelle yang menang menerusi filem Everything Everywhere All At Once itu dilahirkan di Ipoh, Perak sebelum merantau ke Hong Kong memulakan kerjaya lakonannya pada 1984.

Walaupun membawa nama Malaysia, hakikat yang kita perlu tahu ialah Michelle bukanlah produk daripada industri filem tempatan.

Dia tidak pernah berlakon dalam filem terbitan tempatan serta berlakon bersama pelakon dan pengarah di negara ini. Sebaliknya Michelle bermula di Hong Kong menerusi watak sampingan dalam filem The Owl vs Bombo pada 1984 sebelum membawa watak utama dalam filem Yes, Madam setahun selepas itu.

Malah, penggiat filem di Hollywood lebih mengenali Michelle sebagai 'produk' dari Hong Kong berbanding negara ini.

Apapun, segala pencapaian Michelle di luar negara sememangnya membanggakan Malaysia. Dia tidak pernah melupakan Malaysia dan bangga menjadi rakyat negara ini.

Malah, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Main Convent, Ipoh ini kerap pulang ke sini untuk bertemu keluarga terutama ibunya, Datin Janet Yeoh, 84, yang menetap di Ipoh.

Sebelum menggenggam trofi Oscar kelmarin, Michelle tidak melalui jalan mudah. Perjalanannya ke pentas Oscar itu mengambil masa 39 tahun.

Dia juga mula mencipta nama di Hollywood pada 1997 menerusi filem James Bond Tomorrow Never Dies - iaitu 13 tahun selepas filem pertamanya, The Owl vs Bombo bersama Sammo Hung dan George Lam.

"And ladies, don't let anybody tell you, you are ever past your prime. Never give up," ini antara ucapannya di pentas Oscar yang merujuk usia bukanlah penghalang buat seseorang pelakon mencipta kejayaan.

Pencapaian Michelle pastinya mencetus inspirasi buat pelakon tempatan. Dia membuktikan perbezaan warna kulit, budaya, bahasa dan tempat asal bukanlah penghalang menaiki pentas Oscar.

Namun, satu perkara paling awal dilakukan Michelle untuk menempa kejayaan di pentas antarabangsa ialah berhijrah.

Selepas menang pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia World pada 1983, Michelle ke Australia dan menang Miss Moomba International pada 1984. Di situlah dia ditawarkan oleh syarikat produksi Hong Kong, D & B Films untuk berlakon iklan televisyen bersama Jackie Chan.

Sejak itu Michelle tidak menoleh ke belakang lagi dan memulakan kembara lakonannya di Hong Kong hinggalah ke Hollywood.

Seperti mana dilakukan Michelle, pelakon tanah air yang bercita-cita mencipta nama di Hollywood wajar mengambil langkah sama iaitu berhijrah.

Hakikatnya, sekadar cemerlang di halaman sendiri memang sukar untuk menembusi pasaran Hollywood. Sekurang-kurangnya perlu mencari tapak di Asia seperti Hong Kong, Korea Selatan atau India sebagai batu loncatan sebelum mencari peluang di Hollywood.

Memang sukar, tapi itulah hakikatnya. Mampu mencipta nama di Indonesia atau Thailand juga bukan jaminan boleh menembusi Hollywood.

Yang pasti, kerja keras adalah perkara utama yang perlu dilakukan, selain faktor rezeki dan nasib.

Seorang lagi pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Henry Golding juga mengambil langkah sama.

Walaupun memulakan kerjaya seni di Malaysia, Henry tidak meneruskannya di sini tetapi berhijrah ke AS dan kini menetap di California bersama isteri dan anaknya.

Henry bermula sebagai pengacara di program Quickie di 8TV pada 2007 dan turut berlakon dalam filem Pisau Cukur bersama Fazura, Maya Karin dan Datuk Aaron Aziz pada 2009.

Dia juga pengacara program Welcome To Railworld Malaysia dan Welcome To Railworld Japan di 8TV pada 2012 hingga 2015 sebelum mendapat peluang di Hollywood menerusi filem Crazy Rich Asians dan A Simple Favor pada 2018. Selepas Michelle dan Henry, siapa lagi anak tempatan akan mengikut jejak langkah mereka? Pelakon tempatan bukan saja perlu betul-betul bekerja keras, tetapi perlu berani dan banyak berkorban. Yang pasti rezeki tidak datang bergolek.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Disiarkan pada: March 15, 2023 @ 7:00am
d