rencana

Adaptasi perubahan zaman

Oleh Dr Mastura Mahamed

Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) yang diadakan bermula 27 hingga hari ini 29 Mei 2023 dilihat sebagai antara acara yang penting dan peluang keemasan bagi penggiat dan pengamal media profesional untuk memacu arah tuju kerjaya berkenaan di samping mengukuhkan kefahaman masyarakat tentang bidang dan pengamalan (praktis) kewartawanan di negara ini.

Lokasi program di Ipoh, Perak bertemakan 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi' yang menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media profesional dari pelbagai badan media.

Malah, Bernama melaporkan ucaptama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memberi penekanan kepada kepentingan profesion kewartawanan sebagai wadah mendekatkan masyarakat dengan perkembangan semasa yang dilaporkan secara beretika dan peri pentingnya menegakkan usaha mewujudkan landskap media yang telus dan bebas tidak berpihak kepada mana-mana entiti.

Langkah ini bertepatan dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu media bebas tunjang demokrasi.

Tahun 2023, Hawana sangat penting kerana ia tahun penuh cabaran bagi survival sektor media dan pemberitaan di Malaysia walaupun laporan terkini Reporters Without Borders menunjukkan Malaysia menunjukkan trend menaik ke tangga 73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF). Dalam indeks itu, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.

Lebih menarik, Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi antara negara    lain Asean, diikuti Thailand pada kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178). Cabaran besar dalam menyaingi dan untuk mengimbangi pengaruh perkembangan teknologi dan media sosial dalam aspek pengamalan dan dan pelaporan kewartawanan dan pemberitaan membawa perubahan besar dalam cara berita disampaikan kepada masyarakat. Faktor laporan berita seimbang dan telus menjadi pengukur kebebasan media di peringkat global.

Wartawan harus terus beradaptasi dengan perubahan ini, memahami trend terbaru dan mengatasi cabaran berterusan yang muncul seiring perkembangan teknologi dan keperluan penyampaian berita yang pantas dengan masih mengekalkan kredibiliti penghasilan berita dan agensi berita yang melaporkannya.

Berdasarkan laporan terkini dari pelbagai sumber media, ada banyak gesaan pengamal media dan ahli akademik supaya wartawan dilindungi undang-undang dalam menghadapi risiko dan tekanan dalam menjalankan tugas mereka. Mereka berhadapan risiko ancaman keamanan yang memberi kekangan kepada konsep kebebasan media.

Justeru, Hawana perlu dilihat kukuh dan juga menjadi simbol penting dalan usaha berterusan menghargai keberanian dan dedikasi wartawan dalam menghadapi risiko ini untuk menyampaikan maklumat dan berita utama kepada masyarakat.

Malah, dapat dilihat sempena sambutan berkenaan, pelbagai atur cara dan program sudah disusun bertujuan memperkukuh amalan serta jati diri wartawan, sekali gus meningkatkan kesedaran pentingnya kebebasan dan ketelusan media dan kewartawanan dalam pelaporan berita. Ini termasuk penganjuran forum untuk meningkatkan pengamalan pelaporan berita secara beretika bersama hala tuju jelas dengan penyediaan garis panduan yang seragam bagi menetapkan pendirian dan menyatukan suara wartawan dan pengamal media secara lebih bersepadu.

Ia diyakini dapat meningkatkan prestij bidang ini serta nilai sumbangan kepada masyarakat. Langkah ini bukan saja dapat memastikan bidang kewartawanan dan media kekal relevan dan dihormati, malah ia memberi motivasi kepada generasi muda untuk menyambung perjuangan dan memartabatkan lagi profesion ini pada masa hadapan.

Bagi mencapai, aspirasi ini sempena sambutan Hari Wartawan Nasional pada tahun ini Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menekankan peri pentingnya mewujudkan Majlis Media Malaysia bagi mewujudkan keseragaman dalam membina garis panduan yang diselaraskan diguna pakai semua pengamal media di Malaysia. Entiti ini juga penting bagi melindungi serta menjaga kepentingan wartawan dan pengamal media.

Bukan itu saja, beberapa hari lalu media melaporkan inisiatif penubuhan Tabung Kasih @ Hawana bagi membantu pengamal media dan bekas wartawan yang uzur dan memerlukan bantuan. Ini inisiatif penting meningkatkan semangat kekitaan dan kepedulian pengamal media terhadap cabaran kehidupan yang dialami oleh rakan seperjuangan.

Semoga penganjuran Hawana berserta hasrat Menteri Komunikasi dan Digital untuk menyegerakan kewujudan Majlis Media Malaysia dan inisiatif Tabung Kasih @Hawana memberi nafas baru hala tuju kepada bidang kewartawanan dan media untuk terus bersinar dan dapat menyumbang bakti kepada semua lapisan masyarakat.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Disiarkan pada: May 29, 2023 @ 7:00am
d