rencana

Peranan wanita dalam Membangun Malaysia Madani

Oleh Profesor Dr Haslinda Abdullah

SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenengahkan moto Malaysia Madani serta jelajah penerangan digerakkan di merata tempat, orang ramai semakin didedahkan makna dan teras yang menunjangi Malaysia Madani.

Bagaimanapun masih ramai yang tertanya-tanya bagaimana konsep tersebut boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana ianya kelihatan sangat tinggi dan sukar dicapai.

Kenapa perlu memahami konsep Malaysia Madani?

Walau siapapun yang memegang tampuk pemerintahan negara, konsep Malaysia Madani ini perlu difahami dan diterjemahkan dengan baik oleh pimpinan serta seluruh rakyat Malaysia.

Ianya konsep yang mengenengahkan kehidupan yang bertamadun dengan mengambil kira semua pihak yang berada di dalamnya dan ini termasuklah golongan OKU, rentan, warga asing, mereka yang berbeza agama di samping pengurusan yang telus, sensitif dengan maslahah masyarakat serta mereka yang mengotakan apa yang dikata.

Adakah ini retorik semata-mata? Ianya boleh dinilai dengan melihat impak serta tingkah laku kesemua pemimpin termasuk penjawat awam yang menerajui kepimpinan negara. Justeru, bagaimana ianya boleh dilakukan?

Kebolehlaksanaan Malaysia Madani sebenarnya banyak terletak di bahu wanita selaku mereka yang digelar sebagai si empunya tangan yang mampu 'menggoncang dunia'.

Justeru itu kefahaman mengenai peranan wanita serta meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya adalah kata kunci kepada kejayaan Malaysia Madani tanpa menafikan peranan golongan lain.

Di peringkat global, wanita terdiri daripada 43 peratus tenaga buruh pertanian dunia, statistik ini meningkat kepada 70 peratus di sesetengah negara.

Wanita, terutamanya ibu, memainkan peranan terbesar dalam membuat keputusan mengenai perancangan makan dan diet sesebuah keluarga. Malah, wanita juga melakukan inisiatif mereka sendiri dalam memelihara kesihatan dan pemakanan kanak-kanak.

Dari sudut pendidikan, peratusan dalam sistem pendidikan kekal mendahului lelaki di mana peratusan di peringkat rendah 98.4 peratus, peringkat menengah 94.5 peratus dan peringkat tertiari pula 47.5 peratus.

Dengan nisbah antara lelaki dan wanita Malaysia sekitar 109:100 pada pertengahan Julai 2022, serta hampir 70 peratus mereka yang berada di institusi pengajian tinggi utama negara terdiri daripada wanita, maka potensi yang ada pada mereka seharusnya diguna pakai untuk mencerdaskan masyarakat berkaitan Malaysia Madani.

Pendidikan adalah kunci kepada keupayaan negara untuk membangun dan mencapai sasaran kemampanan seperti yang terdapat dalam teras Malaysia Madani.

Sumbangan wanita dalam konteks pendidikan menyebabkan berlakunya peralihan masyarakat daripada pra-celik kepada celik tidak boleh dinafikan.

Kepimpinan seorang ibu untuk mendidik anak mereka agar celik huruf jelas dilakarkan di dalam novel-novel kebangkitan rakyat di Malaysia, sebagai contoh 'Wajah Seorang Wanita' karya S Othman Kelantan.

Di dalam novel ini, watak Siti Musalmah digambarkan sebagai seorang pemimpin di dalam rumah tangganya yang berjaya mengurus ekonomi, pendidikan dan pentadbiran selepas kematian suami.

Kajian lepas juga menunjukkan bahawa pendidikan sama ada secara formal ataupun tidak formal boleh meningkatkan produktiviti pertanian (selaku sumber makanan), meningkatkan status gadis dan wanita, mengurangkan kadar pertumbuhan penduduk, meningkatkan kepekaan serta perlindungan terhadap alam sekitar, dan meningkatkan taraf hidup secara meluas.

Dalam konteks ini, ibu adalah individu yang memastikan kanak-kanak untuk hadir dan kekal berada di dalam sistem persekolahan.

Kesejahteraan sesebuah keluarga di dalam masyarakat jelas ditunjangi oleh kaum wanita, ini kerana wanita adalah penjaga utama kanak-kanak dan orang tua di setiap negara di dunia sehingga wujud konsep generasi sandwich yang lazimnya ditunjangi oleh wanita.

Kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa apabila ekonomi dan organisasi politik sesebuah masyarakat berubah, wanita adalah golongan yang menerajui dalam membantu keluarga menyesuaikan diri dengan realiti dan cabaran baharu.

Sebagai contoh, apa yang berlaku di awal tahun 2020 hingga 2022 telah menyebabkan suasana di luar jangka kepada masyarakat dunia termasuk dari sudut ekonomi.

Di sinilah wanita memainkan peranan dalam mengharmonikan suasana luar jangka tersebut.

Mereka mengurus keperluan serta apa yang ada di persekitaran mereka. Mereka juga antara pencetus utama untuk bantuan yang diperolehi, dan memainkan peranan penting dalam memudahkan perubahan dalam kehidupan keluarga.

Kesejahteraan yang di bawa biasanya dirasai apabila taraf hidup keluarga berubah secara positif seterusnya memberi rasa aman dan tenteram kepada ahli keluarga.

Usahawan berskala kecil dan sederhana kebanyakannya terdiri dari golongan wanita.

Hari ini, purata tenaga kerja global terdiri dari wanita iaitu sebanyak 45.4 peratus.

Buruh formal dan tidak formal wanita boleh mengubah masyarakat daripada masyarakat yang berautonomi kepada mereka yang terbabit secara langsung dalam membangunkan ekonomi negara.

Walaupun terdapat halangan yang ketara, perniagaan kecil wanita dalam komuniti membangun luar bandar bukan sboleh menjadi talian hayat sesebuah keluarga, tetapi boleh membentuk rangkaian asas yang menggerakkan ekonomi untuk generasi akan datang.

Beberapa dekad kebelakangan ini, peranan wanita Malaysia dalam guna tenaga kerja bandar dan luar bandar telah berkembang dengan pesat.

Indeks jurang antara gender 2022 menunjukkan penurunan sebanyak 0.026 iaitu 0.681 berbanding 0.707 pada 2021, bagaimanapun, data DOSM pada November 2022 menunjukkan hanya 55.5 peratus wanita yang menyertai ekonomi Malaysia dan ini turut diburukkan lagi dengan anggaran perolehan gaji yang berbeza di mana lelaki menerima anggaran pendapatan sekitar RM37,020, berbanding wanita di paras RM35,616.

Melihat peranan dan potensi wanita Malaysia dari sudut ekonomi, jelas menunjukkan intervensi yang signifikan perlu dilakukan bagi memastikan konsep Malaysia Madani mampu diterjemahkan dengan baik dari sudut ekonomi, di mana konsep keterangkuman gender perlu dilaksanakan merentas semua peringkat sosio ekonomi dalam masyarakat sama ada dalam mahupun luar bandar.

Golongan wanita sangat dikenali dengan jiwa mereka yang halus. Begitu juga wanita di Malaysia.

Kelebihan ini adalah aset kepada teras ihsan dalam Malaysia Madani.

Jiwa yang sensitif ini membuka ruang kepada potensi untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang peka dan cakna dengan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat serta bertindak dengan berkesan hasil dari kecaknaan tersebut.

Ia juga mampu menelusuri isu-isu seputar yang menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Sebagai contoh, isu alam sekitar, pembuangan sampah yang tidak bersistem serta penjagaan flora dan fauna kesemuanya amat rapat dengan wanita dan mereka berupaya menggerakkan masyarakat dengan ilmu serta kemahiran yang ada.

Berdasarkan kelebihan serta potensi yang ada pada wanita adalah tidak boleh dinafikan akan peranan mereka yang besar dalam menjayakan konsep Malaysia Madani yang sedang hangat diperkatakan.

Gagal memberi kesedaran serta mengenalpasti potensi yang ada pada wanita di Malaysia akan menyebabkan konsep Malaysia Madani sukar diaplikasi dengan baik dan mengganggu proses mempercepat pembangunan negara berasaskan konsep Madani.

Justeru adalah diharapkan agar pihak yang berkenaan bertindak dengan segera bagi menjayakan agenda ini.

Penulis adalah Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Disiarkan pada: July 4, 2023 @ 3:52pm
d