rencana

Meningkatkan daya saing PKS

Oleh Prof Madya Ts Dr Md Fauzi Ahmad

Pelaksanaan model perniagaan digital menjadi semakin penting untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran era IR 4.0. PKS perlu mengambil serius terhadap transformasi digital untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manual, sebaliknya beralih kepada teknologi digital dan automasi.

Kerajaan memperuntukkan RM900 juta dana pinjaman di bawah BNM untuk menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan. Malah, RM100 juta sudah disediakan bagi menyediakan geran pendigitalan sehingga RM5,000 kepada lebih 20,000 usahawan PKS dan pengusaha mikro untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.

Penerapan model perniagaan digital ini bukan sahaja membolehkan PKS memanfaatkan teknologi terkini, tetapi turut meningkatkan produktiviti, memperluas pasaran dan menyokong keberkesanan operasi perniagaan untuk meningkatkan daya saing mereka. Model perniagaan digital ini menekankan kepada teknologi automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar yang membantu meningkatkan kecekapan operasi.

Teknologi ini membantu PKS mengurangkan kos tenaga kerja dan operasi untuk mereka bersaing dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif.

Hakikatnya, PKS perlu memahami keperluan teknologi yang sesuai dengan jenis perniagaan mereka. Penyesuaian model perniagaan digital mereka perlu dibuat berdasarkan perubahan pasaran dan tuntutan pelanggan.

Inovasi dalam pengurusan hubungan pelanggan dan pemasaran digital adalah penting untuk menarik ramai pelanggan dan memastikan pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang. Pelaksanaan model ini membuka potensi besar kepada PKS untuk berkembang dan bersaing dalam landskap perniagaan IR 4.0.

Dalam usaha untuk melaksanakan model perniagaan digital, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi tumpuan oleh PKS.

Pertama sekali, pemahaman dan penerimaan perubahan budaya dalam syarikat adalah kunci kejayaan transformasi digital. PKS perlu menyedari bahawa inovasi bukan hanya berkaitan penggunaan teknologi, tetapi juga melibatkan sikap dan kebolehan untuk mengadaptasi perubahan pasaran.

Kepemimpinan syarikat perlu memainkan peranan penting dalam menggalakkan budaya inovasi dan memberi sokongan kepada perubahan digital. Langkah pendidikan dan latihan perlu diambil untuk memastikan pekerja memiliki kemahiran digital.

Transformasi digital adalah langkah penting dalam merangka model perniagaan digital yang berkesan. PKS perlu memahami keperluan, menganalisis operasi semasa, dan mengenal pasti peluang penambahbaikan dalam syarikat. Contoh, pelaksanaan sistem ERP (Enterprise Resource Planning) dapat memudahkan pengurusan sumber daya lebih efisien dan efektif.

Tidak ketinggalan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga penting dalam meningkatkan daya saing PKS. Dengan menganalisis data pelanggan dan tingkah laku pasaran, PKS dapat menyesuaikan strategi pemasaran mereka dengan lebih berkesan. Sistem maklum balas dan pesanan AI dapat digunakan untuk meningkatkan proses pengesahan dan mempercepatkan perkhidmatan kepada pelanggan. Ini tidak hanya meningkatkan kepuasan pelanggan tetapi juga meningkatkan prestasi syarikat.

Pelaburan dalam infrastruktur teknologi maklumat juga perlu menjadi keutamaan. Pembangunan laman web mesra pengguna, penggunaan sistem pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) dan penerapan teknologi pintar adalah elemen penting dalam model perniagaan digital. Keputusan tepat memerlukan penggunaan data berkesan dan sistem analisis data yang tepat.

Justeru, konsep pembuatan pintar yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dapat meningkatkan proses pengeluaran. Internet kebendaan (IoT) memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan operasi. Dengan menghubungkan peralatan, proses dan IoT serta sistem analitik, PKS mampu memantau prestasi operasi secara masa sebenar dan membuat keputusan lebih cepat dan tepat. Sebagai contoh, penggunaan pengimbas dalam gudang bekalan boleh membantu memantau inventori dan meramalkan keperluan stok secara berkesan. Peranti IoT juga boleh dipasang pada jentera pengeluaran untuk memantau prestasi dan meramalkan keperluan penyelenggaraan.

Strategi pemasaran digital melalui media sosial, mesin pencari dan platform digital lain dapat membantu PKS mencapai pasaran lebih luas. PKS perlu menerokai platform baharu untuk memperluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka. Penggunaan data pemasaran secara berkesan mampu membantu syarikat membuat penyesuaian strategi berdasarkan maklum balas dan kehendak pasaran. PKS juga perlu mempertimbangkan pembangunan platform e-dagang untuk memperluas cakupan pasaran mereka.

Pelaksanaan perniagaan digital bergantung pada keupayaan tenaga kerja. PKS perlu melibatkan pekerja dalam program latihan untuk meningkatkan kemahiran digital. Ini merangkumi penggunaan perisian, pemahaman analitik data, dan pengurusan keamanan siber.

Kesimpulannya, dalam era IR 4.0, model perniagaan digital adalah penting untuk meningkatkan daya saing PKS. Melalui transformasi digital, pemasaran digital, kecekapan operasi dengan IoT, analitik data, pembangunan tenaga kerja, keselamatan siber, dan kolaborasi industri, PKS dapat mengoptimumkan potensi dan meningkatkan daya saing.

Penulis Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Disiarkan pada: December 5, 2023 @ 6:15am
d