rencana

Anjakan baharu penjawat awam

Oleh Dr Lutfan Jaes

MAJLIS Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 yang disampaikan oleh Tan Sri Mohd Zuki Ali pada 13 Februari lalu secara jelas menyeru seluruh warga penjawat awam berubah kepada satu anjakan baharu paradigma tanpa dalih lagi. Ucapan yang pada mulanya sebak, santai dan humanistik, namun secara tiba-tiba menjadi tegas di pertengahannya bagi menuntut kesedaran terhadap amanah bangsa yang dipertanggungjawabkan kepada setiap penjawat awam.

Mohd Zuki teguh mengekalkan idea THE G.R.E.A.T CIVIL SERVICE dalam perkhidmatan awam yang diperkenalkan beliau, iaitu dengan kembali kepada asas nilai individu dan organisasi. Ia merujuk kepada good governance (tadbir urus terbaik), responsible (bertanggungjawab), empathy (ihsan), accountable (kebertanggungjawaban) dan tenacity of purpose (fokus pada matlamat).

Sehubungan itu, beberapa inti pati dan cadangan Mohd Zuki perlu diambil perhatian, tindakan serta usaha serius.

Pertama betapa pentingnya setiap penjawat awam memahami sepenuhnya falsafah Malaysia Madani. Gagasan ini harus berasimilasi dalam diri setiap warga sektor awam meliputi penerapan nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. Kesemuanya harus jelas bagi tujuan diaplikasikan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan program yang dijalankan. Harus dipacu secara bersepadu demi memperkukuh cabaran ekosistem ekonomi dan kewangan, undang-undang, institusi, pendidikan, komuniti dan budaya. Lantaran bagaimana mahu berperanan government of the day sekiranya budaya dan falsafah Madani tidak mampu difahami, dihayati serta diamalkan oleh para benteng negara?

Justeru, penting penjawat awam memahami dengan jelas semua dasar dan polisi yang ditetapkan kerajaan. Ini kerana agensi kerajaanlah yang perlu bertindak selaku pembuat dasar dan polisi berkaitan. Tanpa kefahaman jelas dalam merancang, mana mungkin para pelaksana di sektor awam mampu menterjemah segala dasar yang semakin dinamik ini.

Maka demi keperluan rakyat - saranan KSN untuk memantau dan menyemak semula segala peraturan dan pekeliling yang lapuk dan memerlukan penambahbaikan hendaklah disambut baik. Ini kerana ada banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan namun terkepung dengan kerenah birokrasi jumud, red tape dan mengikat 'tangan dan kaki' untuk bergerak dengan pantas. Keberjayaan sesuatu dasar dan polisi bukan sahaja diukur melalui fakta dan angka yang mungkin dimanipulasi. Namun, yang terlebih penting rakyat dapat merasai perubahan.

Kedua melibatkan sikap dan kesediaan penjawat awam untuk berubah. Ini saranan yang mudah diungkap namun sukar dilaksanakan. Ia mencerminkan kemahuan dan keterbukaan penjawat awam dalam menghadapi perubahan ekosistem pekerjaan yang semakin dinamik dan kompleks. Lebih mencabar penjawat awam perlu mengenal pasti jenis dan perubahan yang perlu dilakukan dengan gaya megatrend masa kini yang penuh fragmentation, disequilibrium dan contestation.

Pada tahun 2024 ini, warga sektor awam diharapkan mempunyai kesedaran diri yang tinggi dan keterbukaan fikiran kepada idea baharu, penerimaan kepada fleksibiliti pendekatan kerja, inisiatif untuk terus belajar serta berani mengambil risiko terkawal. Transformasi pengetahuan dan penguasaan digital bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian.

Penjawat awam perlu serius beradaptasi dengan revolusi AI serta ekosistem digital. Malah, perlu mendahului khususnya dalam pembentukan infrastruktur, mengawal selia dan sebagai pemudah cara kepada agensi masing-masing. Semua proses kerja perlu ada SOP jelas dan terkini berserta jangka masa dan pemantauan praktikal.

Ketiga ialah keperluan tegar kepada pelaksanaan dashboard
di setiap agensi kerajaan. Mungkin sebahagian besar agensi sudah melaksanakannya namun adakah ia benar-benar memberikan kesan akhir kepada rakyat? Dashboard alat penting dalam membantu setiap agensi mengelola, memahami dan meningkatkan keberkesanan dasar secara keseluruhan. Ia mampu memberikan gambaran visual dalam segala pemantauan dan pengambilan keputusan. Dashboard juga sepatutnya mampu menjadi alat komunikasi dan kolaborasi berkesan, mengoptimumkan efisiensi, mencerahkan transparensi dan memastikan akauntabiliti. Kemuncaknya ialah mampu mencakupi maklum balas kepuasan rakyat negara ini.

Sesungguhnya tindakan berani Mohd Zuki dalam memperkenalkan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) kepada semua penjawat awam harus dipuji. Satu kaedah penilaian baharu berasaskan keupayaan dan kesungguhan penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Seperti kata beliau, DEEP diperkenalkan bukan untuk menghukum mana-mana pihak tetapi bagi memastikan sebuah sistem penilaian yang relevan.

Dalam menggerakkan bahtera besar sektor awam, wajar setiap warganya bermula dengan nilai paling asas iaitu muafakat dan kebersamaan dalam satu pasukan. Nilai ini hendaklah diterapkan dalam ekosistem yang kondusif. Muafakat dan kebersamaan warga sektor awam dalam pemikiran, hati, tindakan, perpaduan, solidariti, komunikasi berkesan, kesetiaan serta kepatuhan. Lantaran daripada nilai muafakat dan kebersamaan yang unggul harus diterjemahkan kepada kerja berpasukan. Ini kerana kerja berpasukanlah bukti kukuh yang seluruh warga sektor awam sedang mengusahakan sesuatu perkara dan tujuan secara bersama.

Akhir sekali, kerajaan berusaha memastikan kebajikan warga sektor awam dipelihara sama ada kebajikan ekonomi dan sosial.

Penjawat awam harus membalas kepercayaan ini dengan memberi sumbangan setimpal demi agama, bangsa dan tanah air.

Penulis Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Disiarkan pada: February 27, 2024 @ 5:59am
d