rencana

Peluang jana ekonomi negara

Oleh Profesor Madya Dr Noor Akhmazillah Mohd Fauzi

Berdasarkan analisis Data Bridge Market Research, pasaran herba global pada 2022 bernilai AS$165.66 bilion dan dijangka meningkat kepada AS$347.50 bilion menjelang 2030.

Sementara itu, 11.16 peratus Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) direkodkan dari 2023 hingga 2030. Statistik ini menunjukkan peningkatan penggunaan herba dalam kalangan penduduk secara keseluruhan.

Walaupun permintaan terhadap herba tinggi, terdapat beberapa cabaran yang sedang dihadapi oleh pengusaha herba tempatan. Pertama, adalah keterlibatan secara serius dan terancang daripada pelbagai pihak dalam ekosistem industri herba kurang mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya (daripada petani yang menanam hingga pengedar yang mengedarkan produk).

Selain itu, ia juga berkaitan kualiti pengeluaran yang rendah apabila spesifikasi dan mutu tidak mencapai tahap piawaian ditetapkan. Keadaan itu turut berpunca daripada kurangnya pelaburan dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur fasiliti pengeluaran herba yang boleh mengakibatkan kurangnya kemampuan mengekalkan kualiti pengeluaran tinggi. Seterusnya berkaitan dengan penerimaan dan persepsi terhadap herba dalam kalangan generasi kini, yang mereka tidak memahami sepenuhnya manfaat herba atau kurangnya pendedahan kepada kegunaan dan keberkesanan herba dalam pemuliharaan kesihatan.

Oleh itu, adalah penting untuk mencipta peluang peningkatan dalam dua sektor yang berkaitan dengan herba iaitu (i) Pusat Perdagangan Herba dan (ii) Pusat Agro Pelancongan.

Pusat Perdagangan Herba untuk hasil bahan mentah atau produk bermutu tinggi, hasil maksimum, tetapi kos rendah. Ia dapat dijayakan dengan adanya Pusat Pengumpulan dan Penghasilan Herba dan Kilang Penghasilan Produk Herba.

Dengan Pusat Perdagangan Herba ini, aktiviti penanaman herba penduduk setempat dapat diperluas dan diusahakan dengan lebih sistematik secara contract farming, apabila ia memberi akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perjanjian jual beli. Dalam perjanjian ini, pihak pembeli atau syarikat pembekal biasanya menyediakan input seperti benih, baja dan peralatan pertanian kepada petani, manakala petani akan menanam, menjaga serta memetik atau mengumpul hasil tanaman mengikut arahan atau syarat yang telah ditetapkan.

Ini membantu meningkatkan pendapatan petani dengan menjual hasil pada harga yang stabil dan terjamin dalam jangka masa panjang. Juga, ia dapat mengurangkan risiko kewangan yang dihadapi oleh petani akibat fluktuasi harga pasaran.

Ia juga boleh dijadikan pusat pengumpulan produk. Penduduk setempat boleh menghantar hasil pertanian herba mereka ke pusat ini bagi proses seterusnya untuk pengolahan, pemprosesan dan penghasilan produk tertentu. Ia juga berperanan membantu petani mendapatkan bahan mentah diproses seperti serbuk herba, minyak pati, atau ekstrak cecair melalui mesin pemprosesan teknologi tinggi.

Mesin pemprosesan yang canggih dapat digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk dengan kecekapan yang tinggi dan dalam jumlah yang besar. Pemprosesan di kilang adalah proses penting dalam rantai bekalan herba apabila bahan mentah ditanam di ladang akan diubah menjadi produk akhir yang siap untuk dijual kepada pengguna. Proses ini melibatkan beberapa langkah yang menghasilkan produk akhir dengan kualiti tinggi dan pematuhan piawaian.

Hakikatnya, kerjasama Business to Business (B2B) adalah strategi yang berkesan untuk memperluaskan pasaran bagi produk herba. Melalui kerjasama B2B, pihak pengeluar produk dapat menjalin hubungan dengan syarikat besar dalam dan luar negara untuk menjual produk secara borong atau untuk pemprosesan lanjutan.

Ini membantu memperluas pasaran, meningkatkan jumlah penjualan dan membuka peluang untuk pertumbuhan dan inovasi dalam industri herba. Ia juga dapat membantu memperbaiki rangkaian bekalan, menjana kepercayaan pelanggan dan membuka pintu kepada peluang perniagaan baharu. Dalam usaha pihak pengeluar produk menambah baik proses pengeluaran dan pemprosesan herba, ia secara tidak langsung turut menyumbang kepada tenaga mahir dan penggunaan teknologi seperti Internet of Things dan analitik data.

Selain itu, jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan universiti bagi pengiktirafan dalam bidang khusus herba seperti program microcredential (mikro- sijil) dapat membantu meningkatkan kemahiran usahawan herba dan daya saing industri secara keseluruhan.

Penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan secara kerjasama ini memberi peluang yang sama rata antara pengeluar/pengusaha produk, institusi penyelidikan dan universiti dalam menghasilkan produk ikon Malaysia yang dapat dibuktikan dengan hasil penemuan secara saintifik. Pelancongan herba dapat wujudkan peluang memahami budaya, warisan dan kegunaan herba tempatan. Ia seterusnya mencipta peluang ekonomi dalam bidang restoran, chalet, pusat latihan dan perniagaan tempatan.

Pusat Agro Pelancongan boleh dijadikan sebagai Pusat Tarikan Pelancong dan Pusat Pelancongan Makanan. Pusat Tarikan Pelancong ini termasuk kemudahan pusat latihan dan chalet dikelilingi persekitaran hutan dan kawasan penanaman herba, pusat latihan yang kondusif dan mesra alam, sesi lawatan ke ladang herba, kilang pemprosesan herba serta galeri produk berasaskan herba (pusat sehenti). Untuk Pusat Pelancongan Makanan pula, restoran makanan berasaskan herba boleh menyajikan pelbagai menu sihat, 100 peratus berdasarkan herba asli ditanam dan dituai sendiri di ladang, menjadikan pengalaman makanan lebih bermakna dan autentik kepada pengunjung.

Secara keseluruhan, cabaran dalam industri herba ini patut diberi perhatian sebagai peluang yang baik dalam menggerakkan ekonomi negara.

Penulis pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Disiarkan pada: March 21, 2024 @ 6:01am
d