santai

Ubah wajah Miri

The Grand Old Lady salah satu monumen bersejarah yang paling penting di Sarawak. Ia bukanlah monumen wanita tua tetapi telaga minyak pertama di Miri dan pertama seumpamanya menggunakan peralatan kabel di negara ini.

Ia terletak di atas Bukit Canada menghadap bandar Miri.

Penemuan minyak pada 1910 di Bukit Canada adalah sejarah penting bagi Miri yang moden. Bukit Canada adalah tempat industri minyak di Sarawak bermula dengan kejayaan menggali telaga minyak Miri pada 1 Disember 1910.

Perkembangan industri minyak membantu mengubah Miri daripada perkampungan kecil nelayan pada abad ke-20 menjadi bandar moden dan maju pada abad ke-21.

Pelantar pertama yang dibina dipanggil ‘The Grand Old Lady’ dan menghasilkan minyak selama 62 tahun. Bersebelahan The Grand Old Lady adalah Muzium PETRONAS yang mempamerkan gambar dan maklumat mengenai industri petroleum.

Satu kerjasama antara Shell Malaysia dengan PETRONAS membawa kepada pembinaan muzium merangkap pusat maklumat bagi industri berkaitan. Tempat meletak kenderaan di belakang muzium adalah kedudukan yang baik untuk melihat bandar Miri.

Pemandangan dari Bukit Telaga Minyak sangat indah kerana anda bukan hanya dapat melihat panorama seluruh bandar saja, tetapi sempadan Miri-Brunei, pelantar minyak di luar pesisir pantai dan loji penapis berhampiran Lutong.

Pemandangan yang menarik ditawarkan di sini juga menjadikan ia lokasi penduduk tempatan untuk menikmati keindahan panorama atau berjoging di laluan dibina khas.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 2:49pm
d