santai

Badan tergantung di lereng bukit

Oleh Suliati Asri

Langkah diatur sebaiknya. Sebelum tangan berpaut pada celahan batu dan kaki menemui tempat berpijak yang sesuai, perasaan cemas pasti terasa.

Walaupun badan sudah dilengkapi dengan peralatan keselamatan canggih dan tahan lasak, silap langkah tergelincir, badan atau mungkin kepala boleh terhentak pada batu kapur di depannya.

Namun, semangat untuk meneruskan cabaran yang menguji keberanian, fizikal dan mental, setiap langkah diatur sebaiknya.

Sesekali mata memandang ke bawah dan tanpa disedari, rupa-rupanya penulis berada di ketinggian 70 meter.

Dalam keadaan gayat itu, penulis duduk sejenak di lereng bukit batu kapur sambil menikmati kehijauan alam semula jadi dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut cukup mendamaikan.

Keletihan mendaki lereng bukit batu kapur dan kesakitan yang dirasai bagai berlalu begitu saja. Terasa tenang dengan pemandangan luas kehijauan alam semula jadi.

Itulah yang dirasai saat melakukan aktiviti Via Ferrata dengan Abseiling di Lost World Adventure Park, Lost World Of Tambun, Perak, baru-baru ini.

Via ferrata atau dalam bahasa Itali bermaksud ‘laluan besi’ adalah satu laluan di gunung di mana tangga, pemegang besi serta kabel keluli tertanam dalam permukaan batu di lereng gunung itu.

Asal-usul rekreasi ‘jalan besi’ ini muncul ketika Perang Dunia Pertama. Tentera Itali membina laluan via ferrata merentasi Pergunungan Dolomites untuk mengangkut bekalan serta senjata dan juga pasukan tentera untuk menyerang Austria.

Dengan adanya via ferrata, pendaki tidak perlu bergantung kepada peralatan yang biasa mereka gunakan seperti tali dan ‘belay’ (alat mekanikal yang digunakan untuk mengawal keregangan tali) serta juga tanpa risiko yang mungkin dihadapi ketika pendakian.

Laluan besi seperti ini boleh ditemui di kawasan pergunungan di Itali, Jerman, England, Perancis, Austria, Slovenia, Switzerland, Sepanyol, Sweden, Norway dan Poland serta beberapa lokasi lagi seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Malaysia.

Uniknya Via Ferrata LWOT

Diperkenalkan pada 2011, Via Ferrata Lost World Adventure Park, LWOT nyata sesuatu yang cukup unik.

Walaupun tidak setinggi via ferrata di Gunung Kinabalu, namun ia punya keunikan tersendiri merangkumi beberapa elemen iaitu ‘rock climbing’ dan abseiling.

Aktiviti yang hanya ditawarkan kepada pengunjung yang datang berkumpulan di LWOT, diperkenalkan bagi menguji kekuatan mental dan menghilangkan perasaan takut yang sangat sesuai bagi kumpulan ‘team building’.

Badan pula ada kalanya hanya ditampung oleh sebelah kaki sahaja.

Ketika itu, perasaan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, namun dengan pemandangan indah walaupun keadaan badan yang tergantung dicelahan batu dan kedamaian yang dirasai, ia memberikan kepuasan tersendiri.

Abseiling

Berakhirnya via ferrata, abseiling pula menanti. Ketika memulakan langkah menuruni cerun, penulis sedikit teragak-agak dan perasaan gerun mula menyelubungi diri.

Jujurnya, walaupun sudah acap kali melakukan aktiviti abseiling, namun perasaan gemuruh tetap dirasa kerana keadaan di setiap lokasi aktiviti dan struktur bukit atau gunungnya tidak sama.

‘Suliati, untuk melakukan aktiviti luar ini, ada empat elemen yang perlu dipegang. Satu, percaya kepada Allah, percaya kepada diri sendiri, percaya kepada peralatan dan percaya kepada saya, selaku pengemudi awak, kata Pak Usof atau Yussoff Madelani, 50.

Mengumpul kekuatan, langkah perlahan-lahan diatur sebaiknya untuk tidak tergelincir. Tangan pula berpegang kuat kepada tali dan badan mula direbahkan ke bawah.

Alhamdulillah, dengan tunjuk ajar Pak Usof dan kru taman cabaran LWOT ini, aktiviti via ferrata dengan abseiling terlaksana dengan jayanya.

Cabaran yang menyeronokkan

Lost World Adventure Park diperkenalkan pada 2011 bagi memberi pengalaman kepada pengunjung merasai cabaran dalam melakukan aktiviti lasak.

Selain melakukan aktiviti yang ditawarkan secara individu untuk sesetengah aktiviti, pengunjung boleh juga melakukan aktiviti team building di dalam kumpulan yang besar.

Selain Via Ferrata dengan Abseiling, Zip Line membolehkan anda ‘terbang’ sejauh 120 meter menggunakan kabel merentasi Tasik Cermin.

Itu belum lagi aktiviti Kayak Mania yang bukan saja akan membuatkan anda basah kuyup tetapi menguji keberanian masuk ke dalam air, karam bersama kayak, mengimbangi dan menyelaras kayak, memanjat dan melakukan zig-zagging.

Triple X Challenge iaitu aktiviti Tasik Cermin dan menjelajah hutan, meneroka gua menerusi Super Adventure Race juga tidak kurang hebatnya.

Aktiviti berkumpulan atau ‘team building’ yang sememangnya cukup mengujakan adalah Pertempuran Boga yang dapat membina ikatan lebih kuat di antara rakan.

Begitu juga dengan 13 High Rope Course yang mencabar keyakinan diri sendiri, harga diri dan daya tahan serta keberanian.

Aktiviti 6th Mile Tunnel pula membawa pengunjung meneroka gua dengan kristal di dinding gua yang unik dan mengujakan.

Glamping, perkhemahan mewah yang mengasyikkan

Selesai melakukan pelbagai aktiviti mencabar di sebelah pagi, makan malam barbeku di hadapan khemah melengkapkan sesi pengembaraan lasak.

Perkhemahan di taman cabaran LWOT bukanlah seperti acara perkhemahan biasa dengan tidur beralaskan tanah rata, memasang khemah sendiri atau berpanas tanpa kipas tetapi ia adalah Glamping.

Didefinisikan sebagai ‘glamorous camping’ atau perkhemahan gaya moden dan mewah, Glamping nyata memberikan pengalaman mengujakan.

Khemah yang dilengkapi tilam saiz queen dan dua katil single, kipas angin, lampu, cermin, tuala dan sabun mandian, ia memberikan keselesaan sama seperti menginap di bilik hotel.

Uniknya, glamping memberikan persekitaran alam semula jadi yang hijau, bunyian unggas alam yang merdu dan kesegaran yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 2:25pm
d