santai

Beratur tunggu mi besen

Oleh Fatin Farhana Japre

Tular di media sosial ter­nyata membawa rezeki ‘berlipat ganda’ kepada pemilik Mee Besen Original Melaka apabila pelanggan dari Kuala Lumpur, Brunei dan Singapura sanggup bertandang ke Melaka semata-mata menikmati mi sup yang dihidangkan dalam besen keluli tahan karat (stainless steel) ber­saiz besar.

Penulis sendiri teruja mencubanya apatah lagi ketika tiba di premis ini kelihatan pelanggan sanggup beratur panjang menunggu giliran bersama ahli keluarga masing-masing.

Pemilknya, Azlan Idris, 32, berkata restoran yang diusahakan bersama isterinya, Nur Faezah Khalid, 26, menjadi tular di media sosial bukan saja kerana kesedapan mi sup yang menjadi ‘trademark’ restorannya malah cara hidangannya unik menggunakan besen keluli tahan karat pelbagai saiz dan besar.

“Idea ini tercetus pertengahan 2015 ketika saya dan isteri mula membuka butik berkonsepkan vendor di Bandar Hilir, Melaka tetapi tiada sambutan. Oleh itu, kami mencari idea baru untuk ‘menghidupkan’ suasana butik dengan menambah konsep kafe dan memuat naik gambar sajian mi besen yang kemudiannya menjadi tular tidak sampai 30 minit.

“Majoriti netizen ‘kecam’ sajian ini kerana ia dihidangkan menggunakan besen keluli tahan karat yang dianggap tidak senonoh bagi sesetengah orang. Selama satu hari menu ini menjadi fenomena di media sosial dan hari berikutnya kami terkejut kerana butik diserbu orang ramai sehingga ada yang terpaksa duduk di atas lantai,” katanya.

Menurutnya lagi, resipi sup warisan ibunya dan pelbagai jenis mi yang disediakan juga antara faktor ramai pelanggan gemarkannya lebih-lebih lagi restorannya dibuka pada waktu petang amat sesuai untuk dinikmati bersama keluarga sebagai juadah minum petang.

“Selain kreatif dari segi penyediaan hidangan, resipi sup juga haruslah ‘terbaik’ untuk menambat selera pelanggan makan berulang kali. Jadi saya menggunakan resipi warisan ibu yang menggunakan enam jenis rempah rahsia supaya sup menjadi pekat dan memberi empat pilihan mi iaitu mi soya, mi kuning, bihun dan kuetiau mengikut cita rasa pelanggan.

“Ketika mula berniaga dulu kami hanya memasak sup satu periuk kecil, tetapi kini lima periuk besar bersaiz 85 sentimeter untuk menyaji 1,200 pelanggan setiap hari. Manakala barangan basah seperti ayam dan mi dibeli setiap pagi sebanyak 130 ekor dan 30 kilogram (kg) mi setiap jenis bagi mengekalkan kesegaran dan kualiti makanan,” katanya.

Mi soya besen lazim­nya menjadi tarikan utama pelanggan Cina. Ternyata setiap suapan memberi kenikmatan luar biasa kerana mi soya tetap pejal walaupun sudah dicurah dengan sup panas. Malahan pelanggan boleh memilih saiz hidangan sama ada small (2 orang), medium (4 orang), super big (6 orang) atau jumbo (10 orang) dengan harga antara RM6 hingga RM30.

Selain menu mi besen, talam western turut menjadi tumpuan pelanggan setia Mee Besen Original kerana ia menyajikan dua keping chicken grill, kentang goreng cheese, spageti carbonara dan bebola daging (meatball) dalam satu talam serta boleh dinikmati oleh empat orang dengan harga RM35 sahaja.

Hidangan lain yang menjadi tarikan di sini ialah talam dua muka (RM45), nasi goreng lambak (RM25), shell out (RM33), cendol durian D24 (RM5) air minuman pula, coco float, ribena soda laici dan white lulu nestum yang berharga antara RM3.50 hingga RM10.90.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 11:40am
d