santai

Khazanah Bank Negara

Oleh Suliati Asri

Terowong Sejuta Ringgit yang menjadi pintu gerbang untuk memulakan penerokaan di dalam galeri sememangnya cukup mengujakan.

Helaian wang kertas RM1,000, RM500, RM100, RM50, RM20, RM10, RM5 dan RM1 lama dan baru yang dipaparkan di dalam terowong ini memberi maklumat berguna kepada pengunjung.

Itu belum lagi melihat keunikan ‘Denai duit syiling’, di Galeri Numismatik yang memaparkan antara bentuk duit syiling yang pernah digunakan di rantau ini.

Diikuti dengan koleksi mata wang kertas dunia yang mungkin tidak pernah dilihat dan sejarah kewangan serta jenis wang digunakan.

Semua itu sememangnya cukup mengagumkan dan membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya terpegun dengan revolusi wang yang digunakan sejak zaman dahulu di negara ini.

Merangkumi tujuh galeri, Muzium & Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM), di Sasana Kijang, Kuala Lumpur nyata muzium yang membuatkan anda terpegun dengan setiap apa yang dipamerkan.

Dibuka kepada kunjungan ramai sejak lima tahun lalu, Muzium & Galeri Seni BNM ini menyediakan saluran pembelajaran tidak formal kepada orang ramai mengenai kepentingan ekonomi, perbankan dan pengurusan kewangan Islam serta peranan bank pusat dalam pembangunan negara menerusi polisi transformasi ekonomi yang berhemat.

Galeri Seni pula mempamerkan koleksi seni Bank Negara Malaysia yang terdiri daripada karya Seni Malaysia dan Asia Tenggara yang diperoleh sejak 1962.

Galeri Kanak-Kanak

Terbahagi kepada tujuh galeri di tiga aras ini, memulakan penerokaan di galeri kanak-kanak sungguh mengujakan dengan apa yang disajikan.

Mana tidaknya ‘Terowong Wang’ yang mempamerkan wang kertas yang mengandungi kepingan wang kertas berjumlah RM1 Juta yang terletak di antara lapisan akrilik membuatkan pengunjung terpaku.

Menariknya, wang kertas yang digunakan berdenominasi antara RM1 hingga RM1,000 dari empat siri wang kertas Malaysia.

Pengisian interaktif berasaskan ‘Simpan’, ‘Belanja’ dan ‘Kongsi’ di dalam galeri ini juga menjadi medium pendidikan kewangan yang unik untuk kanak-kanak.

Pengunjung terutama kanak-kanak dapat melakukan pelbagai aktiviti yang ternyata memberikan ilmu kewangan yang cukup mengujakan.

Antaranya termasuk perbandingan berat wang kertas dan jongkong emas, risiko menyimpan duit di beberapa tempat di dalam rumah, mengeluarkan wang dari mesin ATM, memasukkan atau mengeluarkan wang di kaunter bank, mengecop wang dan banyak lagi.

Kanak-kanak bukan saja boleh bermain, tetapi mendapat ilmu yang berguna terutama mengenai wang dan pengurusannya.

Galeri Bank Negara Malaysia

Beranjak ke galeri seterusnya di aras 1, Galeri Bank Negara Malaysia membawa pengunjung mengenali fungsi, peranan dan tanggungjawab penting Bank Negara Malaysia bagi memastikan kestabilan kewangan dan kemakmuran ekonomi negara.

Pameran yang bermaklumat dan menarik ini memaparkan pelbagai fungsi serta sumbangan kakitangan Bank Negara Malaysia.

Di galeri ini juga dipamerkan replika cek dengan nombor siri 000001 bernilai RM20 juta untuk dijadikan modal mengendalikan bank.

Melangkah masuk ke galeri ini, pengunjung dapat melihat sejarah Bank Negara Malaysia dari awal serta contoh bilik kebal, mesin penempelan duit syiling dan banyak lagi.

Di satu sudut, terpampang gambar dan tandatangan tujuh bekas Gabenor Bank Negara. Memudahkan pengunjungi mengenali mereka dengan lebih dekat, papan maklumat interaktif disediakan.

Helaian Mata wang Kertas Dunia yang dipamer juga membuatkan pengunjung teruja kerana ada sesetengah wang kertas yang dipamer tidak pernah di lihat dan ia adalah wang sebenar.

Galeri Kewangan Islam

Terletak di aras 1, Galeri Kewangan Islam membawa pengunjung menerokai konsep perdagangan dan kewangan awal berasaskan Islam yang bermula di Timur Tengah, kemudian tersebar ke Eropah dan kini merangkumi seluruh dunia.

Konsep perkongsian, penubuhan syarikat, permodalan dan penggunaan cek dalam bentuk kertas adalah antara inovasi yang berkembang sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Di sini juga menunjukkan institusi kewangan Islam sebenarnya sudah lama diaplikasikan di seluruh dunia.

Keunikan penyampaian maklumat yang interaktif di galeri ini membuatkan pengunjung terpegun dan khusyuk dalam meneliti setiap apa yang dipamerkan.

Galeri Ekonomi

Galeri ekonomi juga nyata tidak mengecewakan. Buat pelajar jurusan ekonomi, galeri ini sangat sesuai untuk anda kunjungi. Mana tidaknya, di sini, pengunjung dapat mengetahui bagaimana dasar ekonomi mempengaruhi pembangunan negara.

Anda juga boleh menerokai perkembangan ekonomi Malaysia sejak kemerdekaan hingga kini.

Selain itu, ketahui juga peranan Malaysia dalam ekonomi global serta pencapaiannya dalam sistem kewangan.

Galeri Numismatik

Naik ke aras 2, Galeri Numismatik cukup mengujakan. Di galeri ini, pengunjung dapat menerokai sejarah awal mata wang dan kembali semula ke zaman di mana objek yang pelbagai bentuk dan saiz lazimnya diterima sebagai mata wang di rantau ini.

Cuba sendiri permainan ‘Perniagaan Barter’ untuk mengetahui kisah yang mengagumkan di sebalik setiap syiling, artifak dan khazanah menerusi pameran interaktif.

Menerokai keunikan ‘Denai Duit Syiling’ yang pernah di gunakan di rantau ini juga nyata memberikan keterujaan yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Galeri Pameran Sementara

Di galeri pameran sementara yang juga di aras 2 ini, pengunjung akan diperlihatkan koleksi yang berubah setiap enam bulan.

Saat penulis mengunjungi Muzium & Galeri Seni Bank Negara Malaysia ini, pameran semula jadi yang mempamerkan lukisan alam dan haiwan yang menarik.

Lukisan sang kijang yang dilukis daripada arang cukup mengagumkan. Lukisan air sungai yang mengalir pula bagaikan membawa pengunjung yang melihatnya berada di dalam suasana hutan yang dikelilingi kehijuan dan keindahan alam semula jadi.

Galeri Seni

Galeri Seni yang mempamerkan koleksi seni bank Negara Malaysia secara bergilir-gilir ini mengambil tempat di aras 3.

Karya pilihan yang terdiri daripada lukisan, cetakan, lakaran dan seni arca mempamerkan sorotan peristiwa penting negara.

Ia juga secara tidak langsung menzahirkan sokongan bank pusat terhadap seni termasuk hasil pengkarya ternama yang terdahulu seperti Mohd Hoessein Enas dan Yong Mung Sen, sehinggalah yang terkini.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 1:33pm
d