santai

Kekal ekosistem seimbang

Air tasik yang dingin pagi itu membuatkan kaki berat untuk melangkah masuk ke dalam. Namun, apabila badan sudah basah sepenuhnya, berat pula melangkah naik untuk memulakan aktiviti.

Diberi pilihan untuk berkayak dahulu sehingga ke pulau kemudian patah balik dengan cara merentas tasik menggunakan tali atau sebaliknya, penulis memilih untuk berkayak.

Memulakan kayuhan, matahari pagi yang mula memancarkan cahayanya memberikan refleksi tasik yang cukup indah.

Kehijauan kawasan sekitar juga memberikan kesegaran pagi yang mendamaikan.

Sepanjang berkayak, terasa bagaikan berada nun jauh daripada kesibukan dan kesesakan ibu kota dek suasana damai yang disajikan.

Namun, hakikatnya penulis saat itu berada di Wetland Putrajaya.

Wetland Putrajaya adalah tanah lembap buatan manusia dan salah satu wetland air tawar terbesar dibina sepenuhnya di kawasan tropika.

Taman Wetland Putrajaya merangkumi kawasan seluas 197 hektar dan memperoleh sumber air dari Sungai Chua dan Sungai Bisa serta tiga anak sungai di bahagian utara bandar di Presint 13.

Taman ini berkembang menjadi lebih daripada ‘penapis air’ untuk tasik Putrajaya dan berjaya mengekalkan ekosistem yang seimbang dengan tumbuh-tumbuhan yang subur, menarik pelbagai hidupan akuatik dan unggas.

Menjadi salah satu destinasi menarik di bandar pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Taman Wetland ini terdiri daripada dua bahagian iaitu Taman Wetland dan Pusat Rekreasi Tasik.

Taman Wetland ini adalah taman awam yang berfungsi sebagai pintu masuk ke tanah lembap dan tempat perlindungan hidupan liar.

Dengan denai dan laluan yang disediakan di sini, antara tempat yang perlu dilawati ialah Menara Pandang Jauh, Pusat Penghayatan Alam (NIC), Sel atau Rawang Wetland dan Kolam Flamingo.

Pusat Rekreasi Tasik pula berfungsi sebagai pusat aktiviti rekreasi air antaranya memancing dari bot, mengelilingi tasik dengan menaiki bot, berkayak dan berkenu.

Taman Wetland kini semakin menjadi semakin popular sebagai destinasi ekopelancongan. Selain keunikan tempat ini sendiri, kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan, biodiversiti, kawasan lapang dan kemudahan awam menjadikan taman ini sebagai destinasi menarik untuk beriadah sambil mempelajari pelbagai ilmu menarik mengenai paya bakau.

Pelbagai jenis burung tanah paya tempatan dan burung air termasuk little egret, little green heron, cinnamon bitten dan burung hijrah boleh ditemui di sini. Bagi anda si pemburu spesies burung, teropong sangat berguna untuk aktiviti memerhati unggas.

Dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam setiap hari termasuk cuti umum, tiada yuran kemasukan dikenakan. Bagaimanapun, terdapat beberapa perkhidmatan yang dikenakan caj berdasarkan jenis perkhidmatan dan dikira perjam. -Suliati Asri

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 3:20am
d