santai

Cabaran rentasi kolam berselut [METROTV]

Oleh Suliati Asri

Menyeberangi tasik dengan tali. Berjalan kaki selama 15 minit dengan baju dan kasut yang basah. Terapung di atas kolam belumpur. Berjalan di dalam kegelapan tanpa mengetahui makhluk apa yang bersembunyi di bawahnya serta mengelak batu-batuan tajam, semua itu cukup meletihkan dan bagai ‘membuang masa dan tenaga’.

Namun, kerdipan kristal di celahan batu dan stalaktit serta stalagmit terbentuk daripada aliran air yang menjadi santapan mata bagai membayar segala penat lelah mengharung segala cabaran ketika meneroka Terowong Enam Batu di Tambun, Perak yang cukup unik ini.

Bukan itu saja, kehijauan hutan yang menanti di sebalik pintu gua, sejarah dan ‘cerita’ tersendiri terowong ini juga menjadikan masa diluangkan hampir tiga jam amat berbaloi.

Terletak di celahan bukit batu kapur yang menghijau, meneroka terowong yang juga dikenali 6th Mile Tunnel itu adalah antara aktiviti sukan ekstrem yang berpaksi alam semula jadi ditawarkan Lost World Adventure Park di Lost World Of Tambun, Perak.

Dulunya, terowong ini dipercayai pernah digunakan pengganas komunis untuk bersembunyi daripada musuh selain menjadi kawasan perlombongan bijih timah.

Pengembara perlu juga melalui kolam berselut untuk ke pintu gua, sekali gus membuktikan terowong ini begitu strategik sebagai kawasan persembunyian.

Tempatnya terpencil dan hanya mempunyai satu laluan keluar dan masuk. Terowong ini satu-satunya laluan yang dapat menghubungkan seseorang ke tengah hutan gua batu kapur di sini.

Setiap pengembara dibekalkan jaket keselamatan, topi keselamatan dan lampu kepala untuk memudahkan perjalanan serta menjamin keselamatan.

Jika tidak dimaklumkan, tentu tiada siapa yang menyangka wujudnya terowong sepanjang 700 meter di dalam gua di kawasan berkenaan.

Namun, kami perlu melepasi kolam berselut dengan cara mengapungkan badan dan berpaut pada tali.

Berpijak pada selut atau lumpur di dalam kolam itu mungkin akan mengakibatkan anda kehilangan kasut kerana selut di dalam kolam itu bagai menarik apa juga di permukaannya.

Sebaik memasuki pintu terowong, sekali lagi kami perlu meredah air yang jernih dan sejuk paras dada dan ketinggian air itu berubah-ubah sepanjang menyusuri terowong.

Meneroka terowong itu, paras air perlahan-lahan semakin cetek. Kami juga terserempak spesies ikan seperti keli berwarna biru. Jujurnya, penulis sangat terpegun melihat warna ‘ikan keli’ yang berbeza dengan apa yang kita sering lihat.

Semakin lama berjalan, semakin banyak yang ditemui. Dalam kegelapan dan hanya berbekalkan lampu suluh, kami dapat melihat pembentukan stalagmit dan stalaktit di siling serta lantai terowong yang cukup mengujakan.

Kristal berkedipan di kiri dan kanan terowong yang sempit persis pintu gerbang itu juga membuatkan penulis semakin teruja.

Pembentukan kristal yang mengambil masa ratusan tahun itu cukup berharga. Namun, sudah pasti kristal yang ada di dalam terowong ini dilarang untuk diambil mahupun disentuh.

Kawasan dinding batu kapur yang mengandungi kristal ini dikenali dengan nama The Princess.

The Princess ini juga antara ‘habuan’ buat pengunjung yang mengikuti penerokaan di 6th Mile Tunnel ini selain pengalaman berharga dan kecekalan fizikal.

Berjalan terus dalam terowong, kami sampai di satu kawasan yang luas. Bagaimanapun, Fakhrurazi Nazeri yang menjadi jurupandu kami pada pagi itu melarang kami menghalakan lampu suluh ke atas.

Saat menoleh ke atas, puluhan atau mungkin ratusan kelawar berlegar-legar di atas siling terowong yang juga lebih tinggi daripada awal perjalanan kami.

Dapat juga disaksikan beberapa tinggalan yang dipercayai milik komunis dan pelombong serta susunan batu bata di beberapa sudut gua yang dikatakan menjadi kubu pertahanan komunis bagi menghadapi musuh yang menemui persembunyian mereka di situ.

Terlihat seekor ular yang sudah mati dan kering dek tersepit di celahan batu membuatkan penulis sedikit gerun.

Air terasa semakin cetek. Terowong terasa semakin cerah walau tanpa diterangi lampu suluh. Ternyata, kami sudah sampai di lembah yang terpencil dan tersorok yang digelar ‘Lost World’.

Suasana sunyi dan hanya diriuhkan dengan bunyian alam bagai menyambut kedatangan kami. Mengikut perancangan awal, kami akan meneruskan perjalanan sejauh kira-kira dua kilometer untuk menuju air terjun yang terdapat di hutan ini.

Namun, dek kekangan masa, kami membatalkan hasrat itu dan hanya merehatkan diri.

Biasanya, kata Fakhrurazi, selain beristirahat, pengunjung akan diperkenalkan dengan pelbagai spesies pokok dan mempelajari ilmu alam terutama apabila tersesat di dalam hutan.

Usai mengumpul kembali tenaga, kami perlu berpatah balik dan mengharungi terowong sama untuk sampai ke ‘dunia nyata’.

Perjalanan keluar dari terowong itu terasa agak singkat, mungkin kerana jalannya sudah diketahui dan tiada apa terlalu ingin disaksikan.

Saat pintu keluar sudah di depan mata, senyuman gembira terukir di bibir yang secara tidak langsung menggambarkan keterujaan dan kepuasaan yang dirasai kerana berjaya meneroka terowong di celahan bukit batu kapur yang masih dara ini.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 1:41pm
d