santai

Peristiwa berdarah

Terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari Ipoh dan kira-kira 25km dari Teluk Intan, Perak, Kompleks Sejarah Pasir Salak adalah destinasi yang perlu dikunjungi terutama pencinta sejarah.

Kompleks Sejarah Pasir Salak ini memorial penting sejarah terbilang Pasir Salak yang menghargai dan mengabadikan jasa serta pengorbanan pahlawan dalam mempertahankan maruah bangsa mahu pun negara.

Konsep asal penubuhan kompleks ini menjadi rakaman sejarah untuk memperingatkan betapa pentingnya peristiwa berdarah Pasir Salak yang dianggap sebagai asas permulaan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Rentetan peristiwa sejarah yang dipamerkan di dalam Terowong Sejarah menggunakan teknik pameran diorama iaitu pameran tiga dimensi.

Peristiwa dan episod penting dalam sejarah tanah air serta perkembangannya juga disusun selain disampaikan mengikut kronologi sejarah sekali gus memudahkan pengunjung menghayati setiap rentetan sejarah.

Selain itu, kompleks ini juga menyediakan sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan Perak.

Dibina secara berperingkat, kompleks ini diperlengkapkan dengan pembinaan monumen dan bangunan seperti Rumah Kutai I yang dibina sekitar tahun 1896, Rumah Kutai II, Tugu Lela Rentaka, Pentas Belotah, Tugu Peringatan Pahlawan Perak, Galeri Keris dan Galeri Sejarah Menteri-Menteri Besar Perak.

Terdapat juga Tugu Peringatan J.W.W Birch yang dibangunkan kerajaan Inggeris sekitar tahun 1900 bagi memperingati peristiwa pembunuhan Birch di Pasir Salak. -Sumber Lembaga Muzium Negeri Perak.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 1:17pm
d