santai

Lebih ramai pilih dalam negara

Semakin awal tempahan dibuat, semakin baik pilihan dan semakin rendah kosnya. Itu antara kebaikan yang akan diperoleh pelancong yang membuat tempahan lebih awal.

Namun, satu kajian yang dibuat Agoda, aplikasi tempahan hotel dalam talian mendedahkan sikap pelancong Malaysia yang suka berlengah-lengah sehingga saat akhir memungkinkan mereka terpaksa berbelanja lebih untuk bercuti.

Kajian trend tempahan oleh Agoda ini menunjukkan pelancong Malaysia merancang dan menempah percutian mereka kurang daripada sebulan (24.4 hari) sebelum tarikh berlepas.

Pelancong Malaysia adalah antara perancang percutian yang paling lambat di dunia dan mereka mungkin tidak berkesempatan meraih tawaran yang terbaik.

Akibatnya, pelancong Malaysia mungkin berbelanja lebih untuk percutian idaman mereka.

Sebagai perbandingan, Hong Kong menempah percutian mereka kira-kira dua kali lebih awal (49.4 hari) berbanding rakan sejawatnya di Malaysia.

Malaysia berada di kedudukan kelima terendah dalam perancangan percutian diikuti India (21.7 hari), Vietnam (18.7 hari), Indonesia (18.0 hari) dan terendah adalah Arab Saudi dengan purata 16.9 hari.

Pengarah Jenama dan Komunikasi Global Agoda Andy Edwards berkata, kajian yang dilakukan di seluruh dunia menunjukkan trend beralih kepada tempahan lebih awal dengan purata peningkatan dua hari masa tempahan dalam tempoh tempahan berbanding tahun sebelumnya.

“Harga dan kepelbagaian pilihan menjadi faktor utama dalam membuat penempahan perjalanan. Semakin awal tempahan dibuat, semakin baik pilihan dan semakin rendah kosnya.

“Budaya popular menggambarkan imej pengembara spontan yang mencabar, namun pada hakikatnya, pelancong di seluruh dunia melabur lebih banyak masa membuat persiapan untuk percutian mereka bagi memanfaatkan sepenuhnya waktu rehat dan rawat,” katanya.

Satu kaji selidik yang berkaitan juga mendapati 75 peratus pelancong Malaysia berkata mereka lebih suka menghabiskan masa mereka meneroka destinasi percutian tempatan dan bukannya melancong ke luar negara.

Pelancong Singapura dan Hong Kong memilih bercuti di luar negara dengan hampir semua tempahan (99 peratus) untuk tujuan itu.

United Kingdom pula mengambil tempat ketiga dengan 38 peratus tempahan hotel di luar negara dan 62 peratus ditempah di dalam negara.

Di Amerika Syarikat pula, hanya lapan peratus daripada semua tempahan hotel menyokong perjalanan antarabangsa manakala 92 peratus menyokong perjalanan domestik. -Suliati Asri

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 1:55pm
d