santai

Misi tawan 'penunggu' pulau

Oleh Recqueal Raimi

Cuaca panas ketika siang dan bergelut ombak di perairan laut seakan-akan tidak memberi kesan kepada pemancing yang menginginkan cabaran tinggi melepaskan hobi masing-masing.

Apatah lagi jika peluang itu hanya sekali setahun bagi pemancing yang sabar menunggu cuaca sesuai untuk turun ke tengah laut menggunakan kapal.

Baru-baru ini, penulis yang turut minat memancing berpeluang menyertai Mondou Road Anglers selama tiga hari dua malam dalam misi ‘menarik’ ikan pada kedalaman 80 meter hingga 150 meter di perairan berhampiran Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani, Sabah.

Bermula di jeti Terobong Bay, Tuaran, 10 pemancing bersama seorang ‘kapten layar’ dan tiga juragan bertolak dari jeti Terobong Bay pada jam 9.30 pagi menuju lokasi ‘lubuk’ selepas selesai berdoa mengikut kepercayaan masing-masing.

Sebaik melintasi jarak lebih 100 kilometer, pemancing bersiap sedia mengambil kedudukan masing-masing untuk menyediakan peralatan pancing.

Penyediaan perambut, kekili jenis ‘drum reel’ dan joran yang sesuai penting bagi pemancing ‘menarik’ ikan dari kedudukan dasar laut apatah lagi jika reptilia itu mengganas.

Cara penyambungan tali pancing atau perambut dengan saiz mata kail bersama umpan pula perlu diselenggarakan dengan baik agar tidak mudah putus dan menarik perhatian ikan laut.

Manakala bahan timah atau lebih dikenali batu ladung sebagai pemberat perlu digunakan ke atas 350 gram dan ia perlu ditukar kepada yang lebih berat jika arus laut berubah menjadi lebih deras.

Menurut rakan pemancing, perambut adalah kaedah atau teknik persembahan umpan yang mempunyai kombinasi perambut, mata kail dan ladung digunakan ketika waktu memancing.

Teknik yang dipelbagaikan ini amat penting kerana ia akan dipengaruhi oleh lokasi memancing, jenis ikan yang dicari, waktu memancing malam atau siang, kejernihan dan arus air atau sebagainya.

Di samping itu, kapten layar berpengalaman dalam mengendalikan kapal juga memudahkan pencarian kami apabila dia bergerak dari satu lokasi ke lokasi bagi memastikan kawasan itu dihuni ikan yang banyak.

Masa berganti masa, setiap daripada kami berjaya mendapatkan pelbagai spesies ikan seperti jenahak, ikan merah, kerisi, kerapu, uji rashid, tongkol, bayan dan sebagainya.

Bagi mengisi masa terluang dan sementara menantikan umpan disambar ikan, kami mengambil peluang berkongsi pelbagai kisah. Setidak-tidaknya, ia dapat meredakan tekanan daripada kesibukan kerja.

Apa yang membuatkan penulis terhibur, acap kali salah seorang berjaya mengumpan ikan, rakan lain pasti memberi dorongan yang tinggi supaya pemancing tidak mudah putus asa memutar kekili sehingga ikan berjaya ditarik ke permukaan air.

Adakalanya ia menjadi bahan jenaka apabila dikaitkan keperluan ‘hook’ atau pengail untuk mengangkat ikan besar walaupun ikan yang berjaya ditarik tidaklah sebesar mana namun perlu diingatkan agar tidak terlalu taksub.

Penulis berasa kelainan memancing di laut dalam sebenarnya jauh berbeza dengan memancing di lokasi tepi laut ataupun sungai kerana kedudukan di tengah laut memerlukan cabaran yang lebih tinggi.

Selain perlu berhadapan dengan ‘mabuk laut’, pemancing perlu menyesuaikan diri dalam keadaan kapal yang bergoyang mengikut arus air laut.

Kami menggunakan dua teknik memancing iaitu dasar dan jig. Hanya teknik dasar menggunakan umpan sotong dan ikan basung segar yang paling menjadi, sehingga lebih tiga kali tali pancing putus ekoran sebahagian ikan di lokasi itu terlalu ganas.

Semuanya berpuas hati apabila masing-masing berjaya membawa pulang kotak yang dipenuhi ikan lebih 40 kilogram.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 1:01pm
d