santai

Damai diulit suasana semula jadi

Oleh Amrullah Abdul Karim

Terletak berhampiran Banjaran Titiwangsa dan berada di pinggir hutan dengan panorama alam semula jadi mampu memukau setiap pengunjung yang bertandang ke Sri Damai Resort, Hulu Selangor.

Resort berkonsepkan suasana kampung masih kekal nyaman dan dingin ini pastinya menjadi pilihan pengunjung yang inginkan ketenangan jauh dari hiruk-pikuk kota.

Lokasi yang hanya mengambil masa 45 minit dari Kuala Lumpur dan enam kilometer dari Plaza Tol Tanjung Malim atau sekitar 10 minit dari Stesen Komuter Tanjung Malim serta 20 minit dari Stesen Komuter Kuala Kubu Bharu.

Sri Damai Resort menawarkan harga yang cukup berpatutan untuk semua 24 jenis chalet yang disediakan.

Pengurusnya Datuk Ruslee Hashim berkata, Sri Damai Resort menampilkan keunikan tersendiri apabila pengunjung boleh melihat dari dekat haiwan ternakan seperti rusa, kambing, burung merak dan ayam hutan berkeliaran di kawasan resort.

Selain beberapa kolam ikan dipenuhi pelbagai spesies ikan air tawar yang boleh dipancing dan kepelbagaian tanaman herba.

“Pengunjung yang bercadang menganjurkan hari keluarga, resepsi perkahwinan, mesyuarat, kursus, kem motivasi dan aneka aktiviti lain di sinilah tempatnya kerana pelbagai kemudahan disediakan seperti tapak sukaneka, perkhemahan, memanah, dewan besar, bilik mesyuarat, surau dan kafe.

“Penggemar sukan lasak juga boleh melakukan aktiviti ‘jungle tracking’, ‘treasure hunt’, menyusuri sungai dan berbasikal,” katanya.

Menurut Ruslee, kelebihan yang ada di Sri Damai Resort turut menjadikannya sebagai lokasi pembikinan beberapa drama.

“Chalet di sini setaraf hotel namun harganya kompetetif dan kemudahan sangat kondusif untuk beristirehat.

“Persekitarannya sangat tenang dan nyaman dengan adunan landskap yang natural,” kata Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Mohamad Johdi Salleh, 58, yang berkongsi pengalamannya memilih Sri Damai Resort sebagai tempat mengadakan aktiviti hari keluarga.

Seorang lagi pengunjung, Mohamad Adli Ibrahim, 50, berkata, resort di kawasan lembah itu jadi tarikan kerana terdapat pokok yang sukar ditemui namun terdapat di situ malah kerusi dan meja dibentuk daripada tunggul balak yang dipotong dan dibelah untuk mengekalkan suasana alam semula jadi.

Anda yang berminat menginap di sini boleh menghubungi Pengurus Sri Damai Resort, Ruslee (019-2248883) atau Hani (019-51425041/017-2590117), Amin (017-3161213) atau layari https://www.facebook.com/sridamairesort

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 12:31pm
d