santai

Lambang cinta abadi

Oleh Rashidah Ibrahim

Tanyalah kepada sesiapa pun kalau ke India di manakah tempat pertama mereka mahu lawati, jawapannya Taj Mahal. Sedari kecil kita pernah mendengar nama itu, bagi yang kuat memori tentu ingat latar belakang kisahnya, namun ada juga yang pantas lupa, sekadar ingat namanya.

Mengimbau ingatan, Taj Mahal adalah sebuah pusara atau makam, dibina dengan arahan Maharaja Mughal, Shah Jahan bagi memperingati isterinya yang paling disayangi, Mumtaz Mahal yang mangkat sewaktu melahirkan anak mereka yang ke-14.

Mengambil masa 22 tahun (1631-1653) untuk disempurnakan, bangunan ‘lambang cinta’ abadi seorang raja terhadap isterinya itu itu dijaga kemas dan rapi sehingga kini.

Ada menyangka Shah Jahan membina monumen peringatan itu didorong kehendak sendiri, namun ada versi cerita menyatakan ia permintaan Mumtaz sebelum menghembuskan nafas terakhir agar dirinya kekal diingati.

Mengingati isterinya yang keempat itu, baginda menunaikan permintaan berkenaan.

Terletak di bandar Agra, kira-kira 165 kilometer dari Delhi, Taj Mahal daripada batu pualam atau marmar putih bukan tersohor kerana cerita cinta agung seorang raja terhadap isterinya semata-mata, ia dikenali dan menjadi tumpuan pengunjung untuk melihat kehebatan seni binaannya yang dikatakan antara tujuh bangunan ajaib di dunia.

Bahagian dalaman tertera pelbagai corak ukiran timbul dan ‘inlay’ yang dihasilkan dengan begitu kemas lagi teliti pada permukaan batu semula jadi oleh pelukis pada zaman itu.

Kembara penulis ke Taj Mahal bagaimanapun tercatat sebagai satu pengalaman sedikit mengecewakan kerana terkilan! Betapa tidak, kami sekadar dapat memandangnya dari jauh kerana gagal masuk walhal sudah termaktub dalam atur cara lawatan pakej percutian yang disertai.

Disember adalah musim sejuk, cuaca berkabus tebal di sana. Suasana kelam menunda jadual perjalanan pesawat yang kami naiki untuk ke Delhi dan Agra dari Kashmir, sekali gus mengganggu jadual lawatan kami ke Taj Mahal.

Dapat pergi keesokannya, pada Jumaat iaitu hari Taj Mahal ditutup untuk pelancong. Bagaimanapun, kami sempat dibawa melihat Taj Mahal dari jauh selepas lawatan ke kubu lama, Agra Fort, iaitu antara lokasi istana Shah Jahan.

Cuaca berkabus, itulah risiko kunjungan pada musim sejuk, November hingga Mac. Bahkan perjalanan dengan bas ke Agra melalui Yamuna Expressway sebelum itu juga menempuhi kabus tebal sehingga tidak nampak apa pun di sekeliling. Mujurlah pemandu dapat mengendali bas dengan baik.

Dari luar pagar, sayup kelihatan Taj Mahal, berbayang di celah selaput kabus. Kedudukannya terpisah dengan Agra Fort oleh Sungai Yamuna.

Dengan pandangan jarak jauh, hanya terselit sedikit keterujaan melihatnya. Pada masa sama, akur dengan kegagalan menghayati antara tujuh bangunan terhebat di dunia. Takdir menentukan segala.

Namun rata-rata, semua yang pernah melihatnya dari dekat memuji kehebatan seni bina Taj Mahal. Walaupun kelihatan usang, masing-masing terkesima dengan kehalusan hasil tangan pekerja pada zaman dahulu.

Taj Mahal dilaporkan selesai pembinaannya pada 1653, di bawah pengendalian Ustaz Ahmad, menteri bertindak selaku arkitek. Dia mengumpul 20,000 pekerja termasuk juru ukur, tukang binaan, tukang batu dan tukang emas untuk menzahirkan pembinaan sebagaimana diarahkan Shah Jahan.

Sesuatu yang ajaib, Taj Mahal dikatakan begitu indah sewaktu matahari terbit dan terbenam, kerana membiaskan kilauan cahaya berlainan. Waktu paling baik untuk melihat keajaiban itu dikatakan, sejurus sebelum matahari terbit atau terbenam.

Sewaktu bulan mengambang, Taj Mahal dibayangkan begitu indah, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Ada ulasan, seri cahaya perak meliputi Taj Mahal ketika itu, sungguh memukau sehingga kebanyakan benda lain dilihat selepasnya nampak biasa. Ia antara keunikan dan kehebatan seni bina dinasti Mughal, yang tidak terurai.

Pintu masuk ke Taj Mahal dibuka dari matahari terbit sehingga terbenam kecuali Jumaat, kerana dibuka untuk kunjungan penduduk Islam setempat yang ingin menunaikan solat Jumaat di masjid bersebelahan.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 12:01am
d