santai

Hayati tradisi pelbagai kaum

Oleh Suliati Asri

Gabungan sosiobudaya dengan masyarakat yang pelbagai bangsa menjadikan Malaysia destinasi unik dan kaya dengan warisan budaya.

Bagi menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan sambutan Hari Malaysia, Sunway Lagoon dengan Kempen We Are Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti menarik sehingga 30 September ini.

Belum pun melangkah masuk ke taman tema ini, pengunjung sudah mula merasa keseronokannya dengan tarian selamat datang yang memaparkan tarian tradisional diilhamkan daripada latar belakang masyarakat Malaysia berbilang bangsa.

Perarakan serba putih, merah, biru, kuning dan pada masa sama disambut mesra penari yang menghiburkan semua pengunjung dengan tarian We Are Malaysia, juga diinspirasi daripada latar belakang berbilang kaum di Malaysia.

Masuk ke Cultural Walk, mencanting batik Melayu yang indah dan mempelajari cara menghasilkan lukisan kaligrafi China cukup mengagumkan.

Melukis pelbagai rekaan henna India yang cantik pula bagaikan ole-ole dan tanda kenangan.

Ditawarkan secara percuma, pengunjung boleh melakukan aktiviti ini pada jam 2 hingga 4 petang setiap hujung minggu sepanjang kempen We Are Malaysia ini berlangsung.

Kemunculan khas penari kebudayaan dengan berpakaian tradisional dan peralatan muzik seperti kompang, cymbal dan tabla di Zulu Walk pula menambahkan kemeriahan kempen We Are Malaysia.

Mengimbau nostalgia zaman kecil dengan bermain permainan tradisional seperti batu seremban, gasing, congkak dan sepak raga pasti menyeronokkan.

Aktiviti ini boleh dilakukan di Surf Beach setiap hari dan ada barangan khas yang menanti untuk diberikan kepada pengunjung.

Puas melakukan pelbagai aktiviti, menghilangkan dahaga dengan minuman cara Malaysia pasti mengujakan. Ditawarkan di Simba, zuka, Chill Lah..., Take 5 dan O­asis, minuman pelbagai rasa de­ngan gaya ‘air bungkus ikat tepi’ cukup bermakna.

Pengurus Besar Sunway Lagoon Sean Choo, berkata berbekalkan semangat pelbagai kaum dan budaya di Malaysia, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan dalam suasana penuh meriah.

“Kami melihat kempen ini sebagai peluang kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk sama-sama meraikan hari penuh bersejarah ini menerusi pelbagai aktiviti menyeronokkan dengan cara Malaysia.

“Selain itu, menerusi tradisi dan permainan yang disediakan, pengunjung dapat merasai keseronokan bersama keluarga sekali gus menjadi kenangan terindah buat mereka,” katanya.

Di samping merasai kemeriahan yang disajikan, pengunjung juga berpeluang membawa pulang hadiah hingga RM11,000 dengan hanya merakam gambar ‘wefie’ dan memuat naik foto kenangan bertemakan ‘We Are Malaysia’ di Sunway Lagoon ke akaun Instagram dengan disertai hashtag #SLWeAreMalaysia.

Tidak hanya aktiviti menarik yang disediakan sempena kempen We Are Malaysia, taman tema terbaik ini juga menawarkan enam taman bertema dan lebih 90 tarikan untuk semua peringkat umur antaranya Taman Air, Taman Hiburan, Taman Hidupan Liar, Extreme Park, Scream Park serta Nickelodean Lost Lagoon.

Untuk maklumat lanjut, layari www.sunwaylagoon.com.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 12:00am
d