santai

Berbasikal rel gunung

Oleh HM Digital

Selepas seharian turun naik bas awam di Kanazawa, keesokannya Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) menyediakan van sewa khas untuk kami ke kawasan pergunungan di Gokayama.

Perjalanan ke situ mengambil masa kira-kira sejam dan melalui kawasan perkampungan dikelilingi gunung-ganang yang sejuk mata memandang.

Tarikan di Gokayama antaranya rumah beratap rumput ‘pampas’ yang atapnya hanya ditukar setiap 25 hingga 40 tahun dan sesuai untuk semua musim. Bumbungnya dibina tinggi dan berbentuk tirus untuk memudahkan aliran salji ketika musim sejuk.

Menurut pemandu pelancong kami, Eriko, Gokayama sentiasa dikunjungi pelancong terutama pada waktu puncak musim sejuk kerana lokasi itu sangat sesuai untuk bermain ski.

Selepas kira-kira 40 minit di situ, kami meneruskan perjalanan ke Hida-Furukawa, lokasi filem animasi terkenal Jepun, Kiminonawa ‘Your Name’. Untuk ke sana, kami melalui banyak terowong bawah tanah yang panjangnya antara satu hingga 10 kilometer.

Tiba di Hida-Furukawa, kami dibawa menikmati makan tengah hari menu ho-oba miso di restoran Ajidokoro Furukawa sebelum ke Muzium Peralatan Festival Furukawa.

Eriko memberitahu kami, festival yang diadakan pada 19 dan 20 April setiap tahun itu sangat dinanti-nantikan penduduk setempat, begitu juga pelancong asing yang berkunjung ke situ.

Dari muzium itu, kami berjalan kira-kira 500 meter ke stesen kereta api Hida-Furukawa iaitu tempat pertemuan karakter dalam filem Your Name.

Kembali menaiki van, perjalanan kami kemudian diteruskan ke stesen kereta api lama Okuhida Onsenguchi untuk mencuba ‘rail mountain bike’ atau basikal rel gunung.

Ia satu pengalaman unik yang tidak pernah penulis alami ketika melancong ke negara lain. Tidak sukar menaiki basikal ini kerana kami hanya perlu mengayuh di rel sambil tangan memegang hendal.

Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan kami turut dibekalkan dengan topi dan jaket keselamatan kerana laluan rel itu menuruni dan menaiki bukit.

Ketika menuruni bukit kayuhan sangat mengasyikkan, tapi memenatkan di kawasan mendaki. Namun, ia tetap berbaloi kerana sambil berkayuh kami boleh mengambil gambar pemandangan cantik di kawasan pergunungan.

Penutup program hari itu, kami dibawa melawat bandar lama Takayama dan antara tarikan utamanya termasuk muzium samurai sebelum makan malam di restoran mesra Muslim Ajino Yohei. Di kawasan pergunungan itu, kami menginap di Route Inn Grantia Hida Takayama.

Keesokannya, kami dibawa ke pasar pagi Miyagawa. Pasar ini sangat sesuai buat pelancong membeli cenderamata kerana harga di situ lebih murah berbanding premis biasa.

Di situ, penulis mengambil kesempatan membeli beberapa buah tangan untuk dibawa pulang seperti air sake tanpa alkohol, madu gunung dan wafel beras. Kemudian kami ke premis membuat cenderamata patung sarubobo iaitu monyet yang menjadi maskot kawasan itu.

Perjalanan kemudian diteruskan dengan menaiki kereta api ekspres ke Nagoya kira-kira dua jam setengah. Di Nagoya, salah satu bandar terbesar di Jepun, kami dibawa ke istana lama Nagoya sebelum ke Muzium Industri dan Teknologi Toyota untuk mengakhiri program lawatan di wilayah Chubu. Arigato JNTO! - Manan Samad

(Yang mengikuti lawatan JNTO ke Chubu, Jepun baru-baru ini)

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 1:09pm
d