santai

Terjun dari ketinggian 60 meter

Oleh Hakim Ismail

Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, perasaan teruja bercampur baur dengan rasa berdebar. Melihat foto dan bingkisan video aktiviti itu yang dimuat naik rakan rekreasi di media sosial sememangnya mendorong penulis menuju ke sana.

Sebaik menghampiri jambatan Kuala Kubu Bharu kelihatan papan tanda memaklumkan aktiviti ekstrem hayunan tali tinggi sedang berjalan.

Ia juga bagi mengingatkan pemandu untuk memperlahankan kenderaan dan tidak melalui bahu jalan tempat aktiviti itu sedang dijalankan.

Ternyata hayunan tali tinggi atau ‘ropeswing’ adalah aktiviti yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana sebaik tiba kelihatan agak ramai berbaris menunggu giliran untuk melakukannya.

Terjun dari ketinggian 60 meter bunyinya satu ‘kerja gila’. Apatah lagi jelas kedengaran suara peserta yang sebelumnya menjerit ketakutan ketika dijatuhkan. Hakikatnya ketika itu, jantung berdegup kencang!

Kini, tiba giliran penulis, dari atas kelihatan arus deras berbatu sungai menjadi panorama memukau yang setia menanti di bawah sebaik tali terjunan dilepaskan perlahan-lahan sebelum menghayun ke kiri dan ke kanan selama beberapa minit.

Untuk melakukan aktiviti ini, ada beberapa pilihan diberikan pihak penganjur kepada peserta untuk melakukan terjunan. Pertama, hanya sekali terjunan dan kedua, membuat dua kali terjunan atau dikenali sebagai ‘double swing.’

Memandangkan aktiviti ini kali pertama dilakukan, penulis memilih membuat ‘double swing’ iaitu membuat dua kali terjunan dari arah belakang dan hadapan.

Abah-abah, tali keselamatan yang dicangkuk kepada ‘carabiner’ dan tidak lupa topi keselamatan untuk aktiviti rekreasi sudah kemas dipasang serta diperiksa kru bertugas. Kini, hanya perlu berdiri di tebing jambatan yang lebarnya hanya muat sepasang kaki.

Perasan gayat ketika itu tidak boleh diterjemahkan dengan kata-kata. Suara semangat rakan yang menemani dan kru bertugas menjadi perangsang untuk sedia dihayun.

Satu, dua, tiga... tali dihayun dan badan penulis seberat 70 kilogram direntap serta dihayun dari belakang dalam tempoh beberapa minit di udara. Laungan rasa takut bercampur puas. Suara keras dilaung sepuas-puasnya.

Sebaik hayunan terhenti, penulis perlu mencapai tali yang merentasi sungai untuk keselamatan sebelum kru menariknya ke tepi dan membuka semua peralatan keselamatan.

Selesai membuat terjunan, penulis perlu mendaki ke atas berpandukan tali yang dipasang di sepanjang laluan kira-kira lima minit sebelum tiba di lokasi permulaan aktiviti dilakukan.

Kini, penulis perlu membuat terjunan kedua iaitu tali keselamatan akan direntap dari arah hadapan dan kali ini penulis perlu berdiri di atas tebing jambatan, menghadap ke pemandangan hutan dan sungai yang lebih luas.

Perasaan kali ini lebih menakutkan kerana apabila tali dihayun, penulis dapat melihat dengan lebih jelas dan luas keadaan di hadapan yang menjanjikan rasa ekstrem luar biasa.

Rasa lega dan puas apabila tali dihentikan. Tidak sangka dan tidak pula pernah membayangkan seumur hidup, penulis lakukan aktiviti ekstrem ini bukan sekadar menjadi penonton di laman sosial.

Lebih utama, sebelum ini isu keselamatan aktiviti yang hangat diperkatakan boleh ditolak ke tepi. Pihak penganjur sememangnya profesional dalam mengendalikannya.

Tidak ketinggalan, aktiviti ini sememangnya membunuh rasa gayat dan penulis mengakui berasa lebih bersemangat sebaik saja berjaya melakukannya.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 12:43pm
d