santai

Cabaran pemanduan rimba

Oleh Hafiz Ithnin

DERUAN enjin kasar menjadi ‘muzik’ sepanjang laluan. Pemandunya pula perlu berhati-hati mengendalikan stereng bagi mengelak kejadian tidak diingini. Apatah lagi tayar besar menjadi nadi pergerakan pula tenggelam dalam selut.

Perkara itu situasi biasa perlu dihadapi kaki pacuan empat roda. Bagi yang kurang meminati dunia lasak berkaitan pacuan empat roda, pasti beranggapan ia sesuatu yang membuang masa dan meletihkan. Apatah lagi perlu bermain dengan tanah dan lumpur.

Namun, tidak kepada penggemarnya yang sentiasa mencari masa untuk mengembara di dalam rimba sambil menikmati cabaran pemanduan yang sukar diduga.

Sebenarnya, aktiviti memandu pacuan empat roda (4x4) di Malaysia mempunyai pengikut yang ramai dan terdapat banyak komunitinya. Mereka juga sentiasa aktif melakukan pelbagai kejohanan bagi menguji ketangkasan pemanduan di laluan denai.

Ada juga yang sanggup memandu hingga berhari-hari dan berkhemah di dalam hutan kerana ingin menikmati cabaran itu dan sudah semestinya hutan hujan tropika di Malaysia mempunyai cabaran tersendiri.

Keadaan landskap hutan Malaysia yang unik juga menarik ramai pelancong asing yang berminat menguji kemampuan mereka mengendalikan kenderaan lasak itu. Malah secara tidak langsung, aktiviti itu juga mampu menjadi penggerak kepada promosi pelancongan eko negara.

Berkesempatan menemu bual Timbalan Presiden Malaysian Mountaineer Four Wheeler (MM4W) Nor Afende Aminudin baru-baru ini, katanya, aktiviti memandu 4x4 di Malaysia semakin berkembang dan mula mendapat sambutan menggalakkan kira-kira lima tahun lalu.

Malah beliau tidak menafikan di negara ini aktiviti itu sudah lama wujud namun kurang popular. Ini kerana aktiviti sukan lasak sebelum itu kurang mendapat publisiti yang meluas khususnya di media sosial.

“Apabila aktiviti ini mula dimuat naik di platform media sosial, ia semakin tular dan ramai golongan muda khasnya mula menggemarinya dan ingin mencuba. Perkara ini sebenarnya baik kerana ia boleh mengembangkan komuniti peminat 4x4 di Malaysia.

“Selain itu, kita mempunyai pelbagai lokasi di dalam hutan yang dibenarkan untuk memandu kenderaan 4x4 dan ia juga adalah suatu perkara positif kerana dapat mempromosikan trek hutan Malaysia kepada pemandu asing,” katanya.

Katanya, menyertai kumpulan atau komuniti 4x4 memberi peluang kepada penggemarnya mempelajari pelbagai perkara termasuk teknik pemanduan dan trek.

“Memandangkan aktiviti ini menggunakan kenderaan lasak, persiapan awal perlu dilakukan. Ia termasuk mengambil kira kesesuaian kenderaan untuk melalui trek hutan tempatan dan biasanya kenderaan 4x4 jenis diesel menjadi pilihan kerana dapat mengurangkan kos.

“Teknik pemanduan juga penting untuk dipelajari. Misalnya, mengendalikan gear dan mempunyai pengetahuan bagi melancarkan pergerakan sekiranya tayar tidak dapat bergerak kerana berselut atau kenderaan berisiko untuk terbalik,” katanya.

Nor Afende menambah, aktiviti beriadah dengan memandu 4x4 di dalam hutan menawarkan kepuasan tersendiri kerana bukan sahaja dapat mengasah teknik pemanduan malah berpeluang menikmati suasana nyaman di dalam hutan.

Katanya, tidak semua lokasi hutan di Malaysia dibenarkan untuk melakukan aktiviti itu. Ini kerana di negara ini terdapat hutan simpan kekal yang tidak boleh dicerobohi walaupun untuk aktiviti rekreasi.

“Sebagai pemandu yang bertanggungjawab, kita perlu mematuhi undang-undang yang sudah ditetapkan pihak berkuasa. Perkara yang perlu diambil kira seperti memohon permit, melaporkan kepada pihak polis dan jika melawat kawasan Orang Asli pula, anda perlu maklumkan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JKOA) terlebih dahulu.

“Perkara paling mustahak ialah memastikan aktiviti memandu di dalam hutan tidak merosakkan kawasan yang bukan laluan kenderaan 4x4, menguruskan sampah dengan baik yang secara tidak langsung memastikan alam sekitar kita tidak dicemari,” katanya.

Katanya, aktiviti memandu 4x4 di laluan denai kini semakin berkembang dengan kegiatan amal atau berbentuk misi kemanusiaan sebagai salah satu program pengembaraan seperti yang dilaksanakan MM4W.

Malah komunitinya ketika ini mempunyai 60 ahli yang sebelum ini aktif mendaki gunung dan meluaskan aktiviti rekreasi kepada memandu 4x4 sambil melaksanakan kerja amal membabitkan Orang Asli.

“Sepanjang tahun kami biasanya mengadakan beberapa program kunjungan ke kawasan pedalaman yang menjadi lokasi perkampungan Orang Asli seperti di Gerik, Perak dan Gua Musang, Kelantan.

“Ahli kami terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya antaranya bidang perubatan dan pembinaan. Kami menggunakan kepakaran masing-masing untuk membantu penduduk Orang Asli,” katanya.

Info

Lokasi popular aktiviti memandu 4x4 di Malaysia

1. Hutan Selancar, Johor

2. Endau-Rompin, Pahang

3. Gua Musang, Kelantan

4. Lata Cermin, Kedah

5. Tasik Banding, Perak

6. Tasik Gubir, Kedah

7. Pos Kemar, Perak

caption

1. MELALUI jalan berselut antara cabaran biasa pengembara 4 x 4.

2. LALUAN sungai sentiasa menjadi destinasi yang dinantikan.

3. KUMPULAN pengembara perlu bijak mengendalikan 4 x 4 jika tidak dapat bergerak kerana cabaran laluan.

4. PERLU mempunyai ilmu membaik pulih dalam aktiviti pengembaraan.

5.MENGEMBARA secara berkumpulan sinonim dengan aktivti pemandu 4 x 4

6. AKTIVITI melawat kawasan perkampungan pedalaman antara yang biasa dilakukan.

7. MENYANTUNI masyarakat Orang Asli antara kerja amal ketika beriadah dilakukan peminat 4 x 4.

8. MENEROKAI kawasan pedalaman menggunakan 4W mempunyai keseronokkan tersendiri.

9. CABARAN laluan tanah merah licin dan berbukit perlu mempunyai teknik pengendalian yang betul.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 4:10am
d