santai

Tarikan tasik buatan Putrajaya

Oleh Hafiz Ithnin

PUTRAJAYA adalah destinasi pelancongan dalam bandar yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara. Apatah lagi tasik buatan seluas 650 hektar sememangnya mempunyai aura tersendiri bagi menarik kehadiran ramai pengunjung untuk beriadah dan melakukan pelbagai aktiviti air.

Terletak di tengah-tengah pusat pentadbiran negara itu, tasik berkenaan juga dilihat sebagai salah satu ikon menceritakan keunikan Putrajaya sebagai bandar moden yang di kelilingi alam semula jadi.

Oleh itu, tidak mustahil lokasinya sering menjadi destinasi penganjuran pelbagai acara sukan air tempatan dan luar negara.

Perbadanan Putrajaya (PPj) melihat kemudahan sukan dan rekreasi termasuk Kompleks Sukan Air Putrajaya bertujuan memajukan lagi acara sukan seperti ski air dan ‘wakeboard.’

Menurut Naib Presiden Kanannya Datuk Omairi Hashim, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada aktiviti air di tasik berkenaan memandangkan ia mempunyai pelbagai kemudahan untuk acara sukan dan aktiviti rekreasi kepada pengunjung biasa.

Antara aktiviti rekreasi yang boleh dilakukan termasuk berkayak dan menaiki cruise mengelilingi tasik. Kedua-dua aktiviti itu sangat popular bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan tasik buatan berkenaan.

“Bagi acara besar seperti kejohanan antarabangsa, secara purata setahun terdapat kira-kira dua atau tiga acara bertaraf dunia menjadikan Tasik Putrajaya sebagai destinasi pertandingan.

“Bagi memastikan Tasik Putrajaya dalam keadaan baik dan sesuai untuk aktiviti beriadah atau sukan, kami membuat pemantauan serta memulihara kualiti airnya,” katanya.

Antara acara bertaraf antarabangsa pernah diadakan di Tasik Putrajaya termasuk Oceanmam Malaysia, Sukan Sea: Aquatics (Open Water), Sukan Sea: Triathlon, 12KM Core Island Swimming dan Kelab Tasik Putrajaya Merdeka Night Swim.

Tidak sekadar menumpukan acara sukan bertaraf dunia, baru-baru ini PPj turut menganjurkan Karnival Komuniti dan Pesta Air Oxygenation Putrajaya.

Dalam program berkenaan sebanyak 22 aktiviti diadakan untuk setiap lapisan umur. Antara yang menarik perhatian, Pertandingan Perahu Panjang, berdayung dan berkayak yang disertai sejumlah 2,357 peserta terdiri daripada pelbagai persatuan, agensi kerajaan serta universiti.

Acara itu yang dirasmikan Menteri Wilayah Khalid Samad, dilihat antara program ikonik dan sosial positif yang dinantikan orang ramai.

“Gabungan dua acara ini memberi ruang berkesan kepada penyertaan dan pembangunan komuniti Putrajaya selain kesan positif kepada masyarakat setempat dari segi kesatuan serta memupuk semangat kekitaan.

“Tasik Putrajaya yang indah ini sewajarnya dimanfaatkan bukan saja kepada komuniti untuk beriadah dan berekreasi,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap lebih banyak aktiviti air dan temasya sukan air dapat dianjurkan secara berterusan.

“Selain itu, besar harapan saya supaya acara sukan air berkenaan boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan sukan supaya Putrajaya dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 5:31am
d