santai

Wajah baru ibu kota

Oleh Noriza Sainal

SIAPA sangka kawasan lorong belakang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang dulunya suram ini kini muncul antara destinasi pengembaraan menarik khususnya buat pencinta seni dan warisan negara.

Menerusi projek Unseen Tours KL dianjurkan platform digital majalah dalam penerbangan AirAsia travel360, travel360.com yang turut bekerjasama dengan Yellow House dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) umpamanya, satu program lawatan unik diadakan.

Ia membawa pelawatnya menyertai tarian dan persembahan kilat berkumpulan (flash mob) di sekitar mercu tanda tempatan serta lorong menarik bagi menikmati keindahan yang terselit di sekitar Kuala Lumpur.

Pengalaman merasai perjalanan sebenar yang eksklusif ini diterajui rakan jalanan dan komuniti kurang bernasib baik terlatih sebagai pemandu pelancong adalah satu inisiatif memperindahkan bandar raya Kuala Lumpur dan memperkasakan komunitinya.

Perjalanan bermula dari mural khas yang terletak di Lorong Bandar 20, Jalan Tun H S Lee hingga ke tujuh lokasi di sekitar kawasan Bukit Bintang sebelum menaiki bas percuma di Hab Pasar Seni.

Unsur interaktif yang digambarkan pada mural itu bertujuan menggalakkan orang ramai berkongsi minat untuk melancong, selain dapat mempelajari sejarah Kuala Lumpur sejak awal 1800-an termasuk bagaimana ia berkembang pesat seperti hari ini.

Mural Khas memaparkan lukisan lelaki dan wanita di atas buaian itu melambangkan semangat rakan jalanan yang positif menerusi ‘ayunan’ yang dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebagai menandakan kerjasama tiga pihak itu.

“Kami mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia benar-benar menunjukkan organisasi yang berbeza boleh berganding bahu untuk terus meletakkan bandar raya ini di mata dunia. Kami juga yakin mural terbaru di bandar raya ini akan menjadi satu tarikan tambahan yang positif.

“Kami berterima kasih kepada travel360.com dan Yellow House kerana mencantikkan serta mempamerkan sisi Kuala Lumpur dengan idea inovatif yang jarang diterokai ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian itu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif travel360.com Spencer Lee, Pengasas Yellow House Shyam Priah dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Datuk Mohd Najib Mohd.

Nor Hisham yang menyokong kerjasama itu turut menggalakkan warga kota untuk turut serta apatah lagi Kuala Lumpur tersenarai antara 10 bandar utama di dunia yang disarankan untuk dilawati.

Unseen Tours KL ini bukan saja dapat membantu golongan memerlukan, malah keseronokan ketika menyertai perjalanan unik yang berdurasi selama dua jam dapat dirasai sambil menari dan mendengar muzik rancak melalui fon kepala yang disediakan kepada peserta.

Sementara itu, Spencer berkata, perjalanan bukan hanya terhad kepada percutian penuh keseronokan tapi juga pengembaraan dan penemuan.

“Kini ramai mencari pengalaman sosial yang membabitkan komuniti dan budaya. Kami teruja dengan kerjasama ini untuk melihat kuasa sektor pelancongan dalam mengubah kehidupan komuniti yang datang dari pelbagai latar belakang.

“Program lawatan eksklusif ini juga adalah inisiatif untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakan jalanan di Kuala Lumpur dengan melatih mereka menjadi pemandu pelancong yang berpengalaman. Kami mengucapkan terima kasih kepada Yellow House dan DBKL atas sokongan mereka dalam merealisasikan visi ini,” katanya.

Tidak ketinggalan, Shyam yang turut menganggap projek ini bukan memfokuskan kepada sisi kemiskinan di Kuala Lumpur semata-mata, tapi ia berdasarkan pengalaman dan pengetahuan rakan jalanan.

“Pada hakikatnya kita mengalihkan kelemahan itu menjadi kekuatan dengan memberi peluang untuk membuat sesuatu yang akan meningkatkan taraf kehidupan mereka. Projek ini juga mentranformasikan, memampankan dan mengembalikan martabat mereka,” katanya.

Untuk menyertai program ini, tiket boleh diperoleh melalui laman http://www.travel360.com/dancewalkingtour atau https://yellowhousekl.com/unseentourskl/travel360-dance-walking-tour untuk RM85 seorang.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 6:01am
d