santai

Seni Mah Meri

Oleh Hafiz Ithnin

Ketika tarian menyambut kedatangan tetamu diadakan di rumah utamanya, sekumpulan lelaki berada di belakang kediaman itu bersama beberapa bongkah kayu di bawah pondok.

Daripada leka menyaksikan rakan-rakan berada di atas rumah bergembira menari mengikut alunan muzik menyambut tetamu oleh Orang Asli daripada etnik Mah Meri di Pulau Carey, Selangor, penulis mengajak jurugambar untuk meninjau apa yang dilakukan kumpulan lelaki di pondok belakang rumah.

Sebaik saja tiba dan menyapa, mereka menghadiahkan senyuman serta sopan menjemput kami berdua duduk untuk melihat kerja ukiran kayu yang sedang dilakukan. Ada juga hasil kerja tangan itu sudah siap dibentuk dengan pelbagai motif alam semula jadi.

Tangan kasar seorang lelaki etnik Mah Meri itu memegang erat bongkah kayu yang sudah siap dipotong mengikut saiz diinginkan manakala pahat bermata tajam yang dipegang pada tangan satu lagi memahat bongkah kayu itu penuh berhati-hati.

Penulis difahamkan, bongkah kayu itu daripada pokok nyireh batu yang diambil apabila cukup tempoh matangnya kerana jika tidak ukiran yang dihasilkan mudah pecah dan rosak.

Penulis cuba mengangkat satu bongkah kayu yang sudah dipotong itu dan tidak sangka ia agak berat. Dalam diam penulis mengagumi etnik Mah Meri yang arif dalam bidang seni ukiran.

Jika tidak, masakan hasil seni ukiran kayu anak kera bergayut pada ibunya hasil sentuhan mereka diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketika berbual, penulis diberitahu patung yang diukir mempunyai pelbagai maksud tersendiri dan dipercayai membawa semangat tertentu. Ada antaranya digunakan bagi tujuan perubatan dan mencerminkan kisah nenek moyang dahulu kala.

Kepintaran masyarakat etnik itu dalam seni ukiran lebih jelas dapat dilihat menerusi topeng yang sering kali dipakai lelaki etnik itu bagi pelbagai acara dan ia juga sentiasa menarik perhatian pelancong untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Sering dipakai penari dalam tarian Mayin Jo-oh iaitu salah satu acara yang dipersembahkan ketika musim buah, topeng itu mempunyai pelbagai maksud tersendiri.

Ada yang mengibaratkannya sebagai nyawa mereka kerana sering digunakan dalam acara merawat penyakit, menolak bala dan penyembahan.

Tidak kurang juga ada yang mempercayai topeng dihasilkan itu mempunyai semangat tersendiri dan tidak boleh dipermainkan kerana ia mencerminkan budaya etnik berkenaan dan dianggap suci.

Kumpulan lelaki itu juga memaklumkan ia turut dijual kepada pelancong yang melawat Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey, Selangor. Ketika ditanya mengenai harganya, mereka berkata, ia mampu mencecah ribuan ringgit bergantung kepada saiznya.

Mendengar harga setiap hasil ukiran itu, ia memang sepadan dengan kehalusan seni ukirannya dan untuk menghasilkan satu arca bukan mudah, ada yang memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Keunggulan etnik Mah Meri menghasilkan seni ukiran kayu tidak boleh dipandang sepi kerana menerusi laporan terdahulu, ada pengukir tempatan yang sudah merantau ke beberapa negara bagi menyertai pameran di ibu kota terkenal dunia.

Berada di Perkampungan Budaya Mah Meri sememangnya memberi banyak pengetahuan mengenai kepintaran etnik itu dalam ukiran kayu khasnya. Pada masa sama, peluang melawat ke tempat itu juga mendedahkan kepada pengunjung mengenai sejarah dan keunikan masyarakat Orang Asli di Malaysia kepada pelancong asing khasnya.

Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 11:46am
d