santai

Menongkah arus deras

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

MENDENGAR desiran air Sungai Tua di Jalan Ulu Yam, Selangor sudah membuatkan pengunjung tenggelam dengan keasyikan iramanya. Ditambah litupan hutan hijau di kawasan itu cukup mendamaikan jiwa.

Malah, ia membangkitkan keterujaan untuk ‘bermesra’ dengan air sungai itu yang menjadi terapi sekali gus melenyapkan seketika segala tekanan menyesakkan minda.

Namun, di sebalik ketenangan itu, air sungai berkenaan boleh menaikkan adrenalina seseorang menerusi aktiviti halangan air iaitu menongkah arus yang agak deras secara berjalan dan menyelam.

Bagi yang tidak biasa ‘bermain’ dengan air atau tidak pandai berenang pasti berasa takut dan panik untuk menyelam. Selain itu, perlu juga melepasi lima halangan yang ada di sungai berkenaan.

Penulis berpeluang melakukan aktiviti itu bersama peserta dari Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan di Nur Laman Bestari Eco Resort Ulu Yam, Batu Caves, baru-baru ini.

Awalnya rasa gementar menyelubungi diri ketika menyelam melawan arus tapi kerjasama ahli kumpulan yang saling membantu dapat meredakan perasan itu dan berjaya mengharungi arus dengan mudah.

Halangan air satu daripada lebih 10 aktiviti luar yang terdapat di kem latihan berkenaan dan ia menjadi pilihan ramai bagi yang mengikuti program pembangunan diri di situ.

Apa yang pasti, aktiviti itu menuntut kekuatan mental dan kesabaran peserta kerana mereka perlu bijak mengawal langkah ketika melawan arus sejauh 200 meter (m) selain terdapat banyak batu besar dan licin.

Ketua Jurulatih Nur Laman Bestari Eco Resort Ulu Yam Idzhar Ahmad berkata, keseluruhan kedalaman sungai untuk aktiviti berkenaan ialah 0.5m tetapi ada bahagian sungai yang kedalamannya mencecah satu meter.

“Aktiviti ini mula diperkenalkan pada 2012 dan antara aktiviti luar yang digemari pengunjung. Kelebihannya ialah dapat meningkatkan keyakinan diri untuk menyelam ke dalam air terutama bagi yang pertama kali melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti itu dilakukan secara berkumpulan apabila setiap kumpulan diberikan tali, dua anak mancis dan satu lilin.

“Sepanjang cabaran itu, peserta dikehendaki sentiasa memegang tali, menjaga anak mancis dan lilin supaya tidak basah. Di sini mereka perlu menggunakan kebijaksanaan untuk merancang strategi bagi mengelakkan dua barang ini terkena air ketika menongkah arus. Ini termasuk ketika menyelam untuk melepasi halangan iaitu palang kayu dan buluh,” katanya.

Ini kerana mancis itu akan digunakan untuk menyalakan lilin bagi menandakan cabaran berkenaan berjaya diselesaikan. Seterusnya, penulis melakukan aktiviti ‘yakin air’ di dalam kolam yang kedalamannya dua meter.

Sekali lagi adrenalina penulis memuncak apabila melakukan aktiviti itu kerana perlu merebahkan badan ke belakang lalu tenggelam dan membiarkan diri terapung di permukaan kolam berkenaan.

Aktiviti itu antara lain bertujuan melatih seseorang supaya lebih berani, tidak panik dan mengetahui tindakan yang perlu dilakukan sekiranya terjatuh ke dalam sungai atau laut.

Bukan itu saja, penulis dan peserta lain turut diajar teknik ulat bulu di dalam air bagi membawa mangsa lemas ke tepi sungai atau pantai untuk bantuan kecemasan.

Setiap pergerakan peserta dalam aktiviti ‘yakin air’ itu dilakukan secara terlentang di permukaan kolam menggunakan kaki dan tangan untuk bergerak.

Tidak dinafikan, ia agak sukar untuk mengawal pergerakan bagi memastikan kestabilan tubuh tidak terganggu yang berkemungkinan boleh menyebabkan seseorang itu tenggelam ke dasar sungai.

Keletihan dengan dua aktiviti yang menguji ketahanan mental dan fizikal, pada sebelah malamnya penulis menyertai aktiviti unggun api yang dikendalikan peserta Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan di tepi Sungai Tua.

Unggun api itu dapat menghangatkan kedinginan malam sambil menghayati irama ‘muzik’ desiran air sungai. Program secara santai itu menjadi lebih meriah dengan sesi karaoke di tepi sungai yang diterangi cahaya unggun api sekali gus menimbulkan suasana menyeronokkan.

Nur Laman Bestari Eco Resort beroperasi pada 2009 adalah kem latihan berkonsepkan rekreasi dan sesuai untuk mereka yang gemar aktiviti lasak.

Jaraknya kira-kira 20 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur di dalam kawasan Hutan Lipur Sungai Tua mampu membuatkan anda tersenyum apabila pulang ke rumah.

Terdapat tiga lagi cawangan yang turut menawarkan aktiviti luar di bawah pengurusan Pengarah Urusan Nur Eco Resort Group Faizal Hassan Mokhtar.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 5:46am
d