santai

Khazanah makanan etnik

Oleh Zaitie Satibi

SELANGOR sememangnya kaya dengan khazanah warisan tradisinya tersendiri. Selain melawat ke tempat menarik, makanan juga dikenal pasti sebagai komponen utama perbelanjaan dalam pelancongan.

Ini kerana, makanan terutama hidangan unik dan istimewa adalah perkara pertama dicari ke mana saja kita melancong atau melawat sesuatu tempat.

Sehubungan itu, Festival Makanan Warisan Selangor anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang dilancarkan bakal menjadi satu lagi aktiviti utama bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Festival berkenaan dengan kerjasama Tourism Selangor memperkenalkan makanan tradisi daripada masyarakat pelbagai etnik di negeri berkenaan seperti Jawa, Bugis, Rawa, Kerinci, Minang, Banjar dan Mandaling, Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Masakan tradisi itu juga secara tidak langsung menyimpan khazanah tersendiri

Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Datuk Paiman Keromo berkata, pihaknya mengambil inisiatif memperkenalkan kembali makanan tradisi masyarakat pelbagai kaum dan etnik di negeri ini yang sebahagiannya hampir terpinggir bukan saja dari masyarakat malah pewarisnya sendiri.

Pada masa sama, pihaknya juga ingin mendedahkan kepada pelancong asing mahupun tempatan berkenaan kepelbagaian bentuk, rupa, warna dan nikmat rasa makanan tradisi kaum serta etnik berkenaan.

“Selangor adalah negeri kaya dengan warisan dan sebahagian besarnya terbias melalui makanan tradisi yang pelbagai.

“Oleh itu, penganjuran festival ini dapat memperlihatkan keunikan dan kepelbagaian menu masakan warisan yang semakin kurang dihasilkan. Selain mengetengahkan makanan warisan yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

“Apa yang penting, menerusi masakan tradisi ini, secara tidak langsung dapat menarik minat masyarakat untuk sama-sama memelihara warisan bangsa yang menjadi kebanggaan dan mengukuhkan perpaduan antara kaum,” katanya di majlis pelancaran festival di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, baru-baru ini.

Perasmian festival disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan Peradaban Melayu dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rashid Asari.

Antara makanan tradisi etnik yang dipamerkan di festival itu termasuk nasi ambeng, nasi keluban, ketewol, lemper, wadai kepeng, boroncong, gandos, tat bengkulu dan borongko.

Makanan tradisi kaum utama juga diketengahkan seperti laddu, dim sum, putu mayam, sup herba Cina dan makanan Orang Asli seperti ayam bambu dan ubi kayu bakar.

Paiman berkata, kepelbagaian makanan yang ditawarkan di sesuatu destinasi pelancongan termasuk makanan tradisional ini boleh mendorong pelancong untuk datang dan tinggal lebih lama.

“Makanan sebenarnya boleh menjadi satu tarikan utama kepada pelancong. Oleh itu, program sebegini menjadi satu usaha kerajaan bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini selain memudahkan mereka mencari tempat makan ketika berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 6:30am
d