santai

Sejenak di cermin langit

Oleh Aniza Zainudin

Sebagai penutup 2018 sekali gus meraikan ketibaan tahun baru, penulis mengambil kesempatan berkunjung ke lokasi cermin langit kedua di dunia yang hanya ada di Kuala Selangor, Isnin lalu.

Cermin langit atau popular dikenali sebagai Sky Mirror, sememangnya sudah menjadi buah mulut dalam kalangan ‘pemburu’ keindahan alam semula jadi sejak dua tahun lalu, seiring pelancaran rasmi lokasi pelancongan ini pada Februari 2016.

Pemergian penulis bersama seorang teman kali ini turut diiringi pemandu pelancong alam semula jadi, yang mesra disapa Eddie, menyarankan kami mengikuti pakej lawatan matahari terbenam yang disifatkan unik.

Menurut Eddie, lawatan matahari terbenam antara pakej dinantikan pengunjung yang ingin menyaksikan panorama indah langit dan refleksi permukaan laut berwarna jingga.

Katanya, pemandangan matahari terbenam ini agak eksklusif kerana ia jarang sekali dapat dilaksanakan bahkan kunjungan ke Sky Mirror dirancang bergantung kepada fenomena pasang surut air laut.

Kala tiba di jeti pekan lama Kuala Selangor, kira-kira jam 4.20 petang, jeti yang menjadi pusat operasi Sky Mirror itu sudah dipenuhi pelancong tempatan terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, jeti ini turut dilengkapi fasiliti terbaik termasuk kawasan parkir kenderaan, tandas, kedai runcit dan ruang tempat duduk.

Tepat jam 4.45 petang, kami dalam kumpulan bot laju pertama berlepas menyusuri Sungai Selangor menuju ke beting pasir, Sky Mirror, yang terletak lima batu nautika dari persisiran pantai.

Cuaca indah dan tiupan angin laut, sesekali percikan air laut ke wajah menjadi peneman sepanjang perjalanan yang memakan masa kira-kira 35 minit.

Dari kejauhan, jelas kelibat kumpulan pelancong mula membanjiri permukaan beting pasir di Selat Melaka ini, manakala bot berwarna-warni tersusun indah sambil menanti berakhirnya tempoh lawatan.

Turut dikenali dengan gelaran Sand Dollar Beach atau Black Sand, pengunjung pasti teruja untuk merakamkan gambar dengan biasan di permukaan air laut seakan-akan cermin yang mencantumkan antara langit dan laut.

Disarankan memakai pakaian berwarna ceria dan terang, tip ini mampu menghasilkan gambar peribadi yang sangat cantik hasil kombinasi dua ton berbeza di Salar de Uyuni Malaysia ini.

Sebaik menjejakkan kaki ke ‘pulau misteri’ ini, semua pelancong mempamerkan wajah keterujaan masing-masing dan sibuk mencari lokasi tepat demi menghasilkan gambar yang sempurna.

Disebabkan air laut kian surut, permukaan beting pasir semakin kelihatan manakala aliran air di permukaan turut menurun sekali gus menutup refleksi Sky Mirror.

Oleh itu, pihak Sky Mirror yang turut serta dalam setiap lawatan sibuk menyediakan ‘studio’ semula jadi bagi menyerlahkan lagi identiti cermin langit dengan meratakan permukaan pasir.

Sky Mirror sebenarnya dasar laut timbul di permukaan air untuk selama beberapa jam akibat fenomena air surut.

Memiliki keluasan kira-kira 50 padang bola sepak, lokasi unik ini sebenarnya ditemui oleh kumpulan nelayan yang mendapati dataran di tengah laut menyajikan pemandangan menakjubkan apabila mencerminkan keindahan langit dengan sempurna.

Pengunjung, Noorul Syakilla Mustahil bersama suaminya, Muhammad Zamzuri Zainal Abidin, masing-masing berusia 29 tahun, sempat berkongsi keterujaan menyaksikan keajaiban yang terdapat di tanah air sendiri.

“Ketika percutian pendek minggu lalu, saya dan suami ternampak iklan pelancongan mengenai destinasi menarik di sekitar Kuala Selangor.

“Jadi kami membuat keputusan untuk menerokai daerah ini termasuk lokasi menarik seperti sawah padi, Ah Ma House, Farmville Homestay serta Sky Mirror selain mencuba pelbagai makanan enak.

“Kunjungan ke Sky Mirror pada petang ini (Isnin lalu) adalah destinasi penutup 2018 buat kami berdua.

“Tidak dinafikan Sky Mirror sangat istimewa kerana keunikan beting pasir yang wujud di tengah-tengah perairan Selat Melaka ini.

“Ibarat cermin besar di tengah lautan, semestinya Sky Mirror menjadi lokasi wajib kunjung sekiranya berada di Kuala Selangor. Tambahan pula, Sky Mirror ini adalah yang kedua di dunia selepas Salar de Uyuni di Bolivia,” katanya.

Sementara itu, pemandu bot, yang ingin hanya dikenali sebagai Amin, 34, berkata, jadual perjalanan ke Sky Mirror yang kira-kira lima batu nautika (bersamaan 14 kilometer) bergantung kepada kejadian pasang surut air laut.

“Oleh kerana ia di tengah Selat Melaka, perjalanan ke lokasi ini tiada jadual tetap. Sebagai contoh, perjalanan bagi lawatan matahari terbenam jarang sekali diadakan dan ia boleh dikategorikan eksklusif.

“Ini kerana kadang-kadang perjalanan hanya boleh berlaku dua bulan sekali, bergantung pada pasang surut air laut. Uniknya, lawatan ini menawarkan pemandangan paling indah jika berkunjung ke Sky Mirror.

“Berdasarkan pemerhatian saya, penghujung tahun adalah waktu paling ramai pelancong berkunjung ke Sky Mirror.

“Namun, sebenarnya tempoh ini (antara Disember hingga Januari) agak mencabar kerana ia juga musim ombak besar dan hujan. Meskipun begitu, Sky Mirror ini masih boleh dikunjungi sepanjang tahun mengikut jadual yang disusun,” katanya berkhidmat sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas hampir dua jam di Sky Mirror, tanda fenomena matahari terbenam yang diimpikan tidak kelihatan sebaliknya awam berarak mendung menyembunyikan sang mentari.

Oleh itu, kami kembali ke bot sebelum memulakan perjalanan pulang yang disifatkan agak mencabar gara-gara ombak dan tiupan angin yang kuat memperlahankan kelajuan bot dipandu Amin.

Secara keseluruhannya, kunjungan ke Sky Mirror sentiasa berbaloi bagi mereka yang menggemari aktiviti mencabar dan mengagumi keunikan ciptaan Maha Pencipta.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 11:57am
d