santai

Nikmat umpan disambar

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KETENANGAN di atas bot sambil menghayati keindahan laut yang membiru seakan-akan terganggu dengan pergerakan joran menandakan umpan sudah disambar ‘mangsa.’

Serentak itu bermulalah episod pertarungan mencabar apabila mata kail direntap ganas ketika ikan yang tersangkut pada mata kail melawan atau cuba melepaskan diri.

Biarpun perlu melalui situasi meletihkan itu yang kadangkala berlarutan selama 10 minit, ia menjadi saat yang dinantikan setiap kaki pancing.

Semakin agresif tindak balas ikan yang terkena mata kail menjadikan aktiviti berkenaan lebih menyeronokkan kerana dapat menguji kecekapan kaki pancing mengendalikan joran supaya tidak berputih mata dan hasil tangkapan berjaya dinaikkan.

Apa yang pasti, tanpa babak sebegitu aktiviti memancing di laut dalam seakan-akan hambar dan tidak mencabar! Ini yang memanggil-manggil kaki pancing tegar untuk bermain dengan ‘dunia hanyir’ itu berulang kali.

Bagaimanapun, segala keletihan berbaloi apabila banyak ikan yang sering menjadi buruan kaki pancing seperti ebek, gerepoh, tenggiri dan kerapu bara, layaran, bayan dan gerong belang tewas di mata joran.

Disebabkan itu, tidak mustahil kaki pancing sanggup mengorbankan cuti rehat mereka semata-mata untuk belayar di lautan sehingga berhari-hari bagi melepaskan gian memancing.

Begitu juga dengan Muhd Zuhairi Rosli, 33, dari Pahang yang setiap minggu turun ke laut untuk memancing ikan bersama rakan.

Kawasan di perairan pantai timur khususnya Kuantan, Rompin, Kemaman dan Dungun, Terengganu sering menjadi lokasi pilihannya dan rakan untuk memancing kerana di situlah lubuk pelbagai jenis ikan serta bersaiz besar.

Muhd Zuhairi berkata, dia gemar menggunakan teknik ‘jigging’ apabila umpan tiruan berbentuk kepingan besi kelihatan seperti anak ikan dalam kesakitan bertujuan menarik perhatian ikan lain makan umpan berkenaan.

“Teknik ini mudah untuk memperdayakan ikan supaya makan umpan terutama apabila berada di kawasan lubuk ikan.

“Saya memiliki sebuah bot dan setiap minggu pergi memancing di laut di perairan Kuantan. Saya akan menyewa bot lebih besar sekiranya ramai rakan turut serta memancing di kawasan perairan Rompin, Kemaman dan Dungun,” katanya.

Menurutnya, biarpun teruja beraksi di laut dalam, aspek keselamatan diri perlu dititikberatkan kerana ada risiko bahaya yang menanti mereka berbanding memancing sungai.

“Kita tidak dapat jangka sebarang perubahan cuaca di laut meskipun persediaan awal sudah dilakukan.

“Tidak dinafikan ada perasaan takut dan bimbang setiap kali turun ke laut. Lazimnya, saya dan rakan akan mengkaji keadaan cuaca terlebih dahulu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami tidak akan turun ke laut jika tiupan angin kencang dan hujan kerana ia boleh membahayakan keselamatan,” katanya.

Ditanya berkenaan pengalaman pahit yang pernah dilalui sepanjang terbabit dalam aktiviti berkenaan Muhd Zuhairi berkata, antara kenangan tidak boleh dilupakan ialah kejadian ribut di laut ketika mencandat sotong, tahun lalu.

“Hampir sembilan jam kami berhadapan situasi ini yang berlaku dari jam 10 malam hingga 7 pagi. Kami menggigil menahan kesejukan sepanjang malam kerana tiupan angin terlalu kuat dan hujan lebat.

“Ruang bot pula dipenuhi air hujan yang memaksa kami sentiasa mencedok dan membuang ke laut bagi mengelakkan bot karam,” katanya.

Begitu kentalnya jiwa kaki pancing apabila berada di lautan kerana enggan pulang ke rumah dengan tangan kosong tanpa membawa sebarang hasil tangkapan.

Muhd Zuhairi berkata, kepuasan yang dicari oleh kaki pancing ialah apabila dapat menaikkan banyak ikan bersaiz besar di atas bot. Hilang segala kepenatan melihat banyak ikan tersusun memenuhi ruangan bot.

“Kebiasaannya hasil tangkapan ini akan dimasak dan dimakan bersama-sama rakan manakala selebihnya diberikan kepada keluarga masing-masing.

“Saya memasang impian untuk memancing di kawasan perairan Sarawak, Indonesia dan Australia kerana ingin merasai kehebatan sentapan ikan laut dalam yang lebih ganas serta mempunyai banyak spesies luar biasa.

“Buat masa ini, saya belum berpeluang melakukannya dan sekadar menyaksikan keseronokan pemancing lain di kawasan perairan itu menerusi media sosial saja,” katanya.

INFO

Teknik memancing di laut

1. JIGGING

Menggunakan umpan tiruan yang diperbuat daripada kepingan besi yang berbentuk anak ikan yang kelihatan seperti dalam kesakitan untuk menarik perhatian pemangsa (ikan) memakan umpan pada mata kail. Teknik ini sesuai digunakan untuk memancing pada sebelah siang dan malam.

2. CASTING (MENGILAT)

Satu kaedah memancing dengan membuat lontaran umpan ke sasaran dan kemudian menarik semula tanpa menunggu umpan jatuh ke dasar laut atau diragut ikan. Kebiasaannya ikan akan menerkam umpan yang dilontar ketika proses menaik semula umpan berkenaan.

3. POPPING

Ia mirip teknik mengilat tetapi penggunaan replika umpan tiruan yang berbeza. Teknik ini menggunakan ‘popper’ (umpan tiruan daripada kepingan besi berbentuk anak ikan) yang menghasilkan bunyi ‘pop’ ketika proses menarik umpan selepas lontaran.

4. BOTTOM FISHING (MEMANCING KE DASAR)

Teknik memancing menggunakan umpan dengan kaedah tradisional. Umpan dilabuhkan hingga ke dasar (kolam, sungai, tasik dan laut) kerana sasaran kepada spesies ikan di dasar.

5. DRIFTING (MENGHANYUT)

Menggunakan umpan hidup tanpa menggunakan batu pemberat. Sesuai digunakan di perairan berarus sederhana.

6. TROLLING (MENGHERET)

Menggunakan umpan ikan dan sotong. Teknik ini banyak digunakan untuk aktiviti memancing pada sebelah siang.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 2:36pm
d