santai

Cabaran teroka gua 2 gunung

Oleh Muhamad Asyraf Md Arip

GUNUNG Senyum dan Gunung Jebak, kedua-duanya terletak di Kuala Krau, Pahang. Bagi peminat rekreasi, lokasi ini menawarkan cabaran yang mengujakan terutama pelbagai jenis gua tersembunyi antara tarikan untuk ke sana.

Sudah menjadi kebiasaan apabila ada saja waktu terluang, aktiviti mendaki gunung menjadi pilihan penulis bersama teman. Kali ini selepas puas berbincang dan mengundi, akhirnya kedua-dua gunung itu menjadi pilihan kami yang terdiri daripada 11 orang untuk menerokai gua di kawasan itu.

Selepas memandu hampir empat jam dari Kuala Lumpur menggunakan penunjuk arah di telefon pintar, akhirnya kami tiba kawasan permulaan pendakian, Taman Eko Rimba Hutan Lipur Gunung Senyum.

Di taman eko ini terdapat kemudahan parkir untuk pengunjung yang ingin menerokai kawasan pergunungan itu. Suasana hijau di sekelilingnya juga memberi udara segar untuk kami melakukan regangan sebelum memulakan aktiviti meneroka .

Memandangkan terdapat dua lokasi yang ingin ditujui, kami memilih menuju ke Gunung Senyum terlebih dahulu yang mengambil masa sekitar 10 minit sahaja dari tapak parkir ke pintu gua.

Walaupun hanya mengambil masa sekitar 10 minit ke sana, laluannya agak mencabar kerana kami perlu melalui laluan bertangga memandangkan struktur jambatan yang menghubungkan laluan ke pintu gua agak rapuh dan dirasakan tidak selamat untuk dilalui.

Sebaik tiba di dalam gua, keadaannya begitu sejuk sekali. Pelbagai struktur gua dapat dilihat dengan lebih dekat dan suara alam di sekeliling memberikan ketenangan ketika menerokainya. Apatah lagi suara angin yang melepasi celahan batu memberi erti kedamaian tersendiri.

Di Gunung Senyum ada 18 gua yang boleh diterokai. Mulut gua yang besar memudahkan pencahayaan masuk dan membolehkan kami menerokai kawasan ini dengan mudah. Pastinya, kami tidak melepaskan peluang merakam gambar di dalamnya.

Usai menerokai semua gua di Gunung Senyum, langkah diteruskan menuju ke Gunung Jebak yang mengambil masa sekitar sejam ke pintu masuknya. Dalam perjalanan sempat juga kami berehat seketika sambil mengalas perut di pondok berehat yang dibina di tepi laluan.

Perjalanan ke Gunung Jebak bukan mudah kerana sang pacat sentiasa menanti untuk merasai darah kami ketika berjalan. Malah, kami juga melihat kesan babi hutan yang menggembur tanah untuk mendapatkan makanan.

Perjalanan yang agak mencabar itu seakan-akan terbayar apabila dapat melihat keindahan gua di Gunung Jebak. Dari pintu masuknya sahaja jelas kelihatan bentuk stalagmit dan stalaktit yang wujud entah berapa ribu atau juta tahun lampau amat memukau pandangan.

Berpandukan tali merah yang menjadi petunjuk arah menerokai khazanah di dalamnya, kami masuk dengan berhati-hati kerana laluannya tidak seperti gua di Gunung Senyum yang lebih luas untuk diterokai.

Meredah air mencecah ke paras betis, melalui ruang hanya muat melepasi badan sahaja memaksa kami merangkak untuk ke ruang gua seterusnya. Semuanya kami lakukan untuk menerokainya.

Perasaan seram, berdebar dan teruja bercampur baur ketika itu. Paling tidak dapat dilupakan kami seakan-akan gagal menemui jalan keluar kerana laluan itu tidak muat untuk dilalui salah seorang rakan. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk keluar melalui jalan masuk ke gua.

Lima jam pengalaman menerokai gua di Gunung Jebak memberi ceritera dunia rekreasi yang baru untuk kami. Apatah lagi, merasai pengalaman buntu untuk keluar dari gua menjadikan pengembaraan kali ini amat mendebarkan.

Namun, perjalanan kami yang masih baru dalam aktiviti ini tidak bernoktah kerana pengalaman itu.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 9:38am
d