santai

Penghias dada langit

Oleh Zaitie Satibi

PASIR Gudang bukan saja dikenali sebagai pusat perindustrian dan hab pendidikan utama di Johor, malah daerah berkenaan juga menjadi lokasi utama penganjuran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) sejak lebih 20 tahun lalu.

FLLSPG adalah acara pelancongan anjuran kerajaan negeri menerusi agensinya, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dengan kerjasama Tourism Johor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pendidikan, Majlis Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Johor.

Acara yang penuh warna-warni ini juga diwartakan sebagai antara acara utama dalam kalendar pelancong negara, malah diiktiraf sebagai festival layang-layang tahunan terbesar yang disertai pemain layang-layang tempatan dan antarabangsa.

FLLSPG kali ke-24 yang kini berlangsung di Bukit Layang-layang dijangka hingga 3 Mac ini menampilkan tema Keindahan Budaya yang turut diserikan dengan persembahan, bengkel, pertandingan, pameran layang-layang serta wau.

Tema itu dipilih bagi menunjukkan keindahan budaya di seluruh dunia termasuk budaya permainan layang-layang. Budaya yang turut mengetengahkan falsafah tersendiri mengikut kefahaman dan kepercayaan masing-masing yang penuh keindahan dan warna-warni hasil penciptaannya sejak zaman-berzaman.

Jumlah keseluruhan peserta yang memeriahkan festival kali ini mencecah 1,169 orang termasuk 242 peserta antarabangsa membabitkan 45 negara seperti Colombia, Arab Saudi, Hungary, Venezuela, Indonesia, Australia, Jepun, Singapura, Jerman, Perancis, England, Belanda, Turki, Poland, Russia, Ukraine, Thailand, Amerika Syarikat dan Brazil.

Festival turut dimeriahkan dengan penyertaan 11 pasukan tempatan, sekolah menengah (60), sekolah jemputan (11), pasukan korporat (29), pasukan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) (32) dan pasukan terbuka (72) bagi merebut anugerah dalam pelbagai kategori.

Acara yang bertujuan mempromosikan wau dan layang-layang dalam kalangan generasi muda dengan menonjolkan keindahan permainan tradisional itu menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung tempatan dan luar negara.

Antara kelainan kali ini ialah persembahan Joget Wau Merak, persembahan LED Stringless Butterfly dari pelayang Singapura dan persembahan LED Stunt Kite oleh pelayang China

Julung kalinya juga FLLSPG dianjurkan membabitkan kerjasama tiga negara dan empat pihak penganjur apabila diadakan secara sirkit bermula di Festival Layang-layang Antarabangsa Satun Ke-39 di Satun, Thailand pada 22 hingga 24 Februari lalu sebelum ke Pasir Gudang.

Sirkit kemudian diteruskan ke Festival Layang-layang Antarabangsa Kabong Ke-2 di Kabong, Sarawak pada 8 hingga 10 Mac ini dan Festival Layang-layang Antarabangsa Brunei pada 15 hingga 17 Mac ini.

PANDUAN PERJALANAN

1. Bagi pengunjung yang datang dari luar kawasan Johor menaiki kereta dari Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), selepas Plaza Tol Kempas keluar melalui susur ke Lebuhraya Pasir Gudang menuju terus ke Pasir Gudang.

2. Jika dari dari PLUS selepas Plaza Tol Kempas, tetapi keluar melalui susur ke Permas Jaya dan ke Pasir Gudang.

3. Jika dari Lebuhraya Senai-Desaru, keluar selepas Plaza Tol Cahaya Baru melalui Jalan Masai atau Jalan Kong Kong.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 11:16am
d