santai

Tip cari makanan halal

Oleh Nurul Husna Mahmud

JAUH berjalan luas pemandangan. Itu yang selalu dibualkan saat merancang atau memilih percutian di luar negara. Seronok dengan pemandangan, mengenali budaya luar, bahasa dan sejarah termasuk makanan yang dinikmati penduduk tempatan negara dilawati.

Namun cabaran buat mereka yang pergi ke negara minoriti masyarakat Islam apabila sukar mencari makanan halal. Di sini dikongsikan beberapa tip buat pengembara yang bercadang ingin ke luar negara tanpa perlu toleransi dengan kelaparan:

1. Kenali logo halal

Memudahkan anda dapat menikmati hidangan pada waktunya, mulakan pencarian restoran halal di Google. Jika terdapat sijil halal semestinya menu ditawarkan boleh dinikmati. Logo halal berbeza setiap negara dan anda boleh tinjau di Internet apabila merancang ingin membuat pembelian di kedai mahupun restoran.

2. Pelajari perkataan ringkas berkenaan produk makanan dalam bahasa tempatan

Pastinya kita mahu tahu kandungan satu-satu makanan apakah ia mengandungi bahan yang tidak halal. Sebaiknya ambil inisiatif untuk mengetahui istilah tempatan khususnya daging termasuklah khinzir dan arak yang haram bagi orang Islam.

3. Restoran yang menghidangkan makanan mesra Muslim

Alternatif lain, anda boleh boleh memilih restoran makanan laut, timur tengah atau vegetarian. Makanan laut seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya halal untuk dinikmati, tapi masih perlu diketahui ramuan termasuk penggunaan alkohol, wain atau lemak haiwan. Syarat yang sama juga untuk restoran vegetarian.

4. Masak sendiri atau bekalan pek makanan segera dari Malaysia

Ini antara solusi jika anda yang mahukan percutian selesa tanpa bimbang menikmati hidangan tidak halal. Mungkin anda perlu berbelanja sedikit untuk persiapan iaitu pek makanan sedia dimakan yang kini mudah didapati dan tahan lama. Bukan saja mi segera, kini terdapat pilihan lengkap iaitu nasi bersama lauk pauk tertentu boleh dinikmati tanpa perlu dimasak.

Alternatif lain bagi mereka yang tidak sukakan hidangan pek, mungkin masak sendiri sebagai langkah selamat. Biasanya ia menjadi trend kepada anda yang gemar menginap menggunakan khidmat Airnb.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 4:30am
d