santai

Rasai kemeriahan Pesta Kalimaran

Oleh Nurul Husna Mahmud

SELAIN perayaan Pesta Keamatan yang diraikan secara besar-besaran di Sabah, Pesta Kalimaran iaitu perayaan tahunan bagi suku kaum Murut antara tarikan unik dalam memperkenalkan budaya sesuatu etnik di negeri itu.

Pesta Kalimaran merujuk kepada aktiviti pembuatan kraf tangan Murut yang dipercayai berasal daripada peristiwa legenda tersohor iaitu pengorbanan seorang gadis Murut, Ralaa yang mengorbankan dirinya untuk dijadikan benih padi ladang abangnya.

Menurut cerita masyarakat etnik itu, gadis berkenaan sebelum dikorbankan gigih me­ngeluarkan pelbagai hasil kraf tangan menggunakan bahan asas buluh, rotan dan bemban. Kerja terakhir Ralaa ialah menenun kain sampoi menggunakan benang daripada akar pokok timahan.

Namun, tiada tarikh yang tetap dalam meraikan pesta berkenaan meskipun sudah diangkat sebagai perayaan pering­kat negeri sejak 2003 lagi.

Langkah Kerajaan Negeri Sabah baru-baru ini yang menetapkan 31 Mac sebagai tarikh sambutan tahunan Pesta Kalimaran dilihat penting bukan saja dalam pemeliharaan budaya malah sebagai satu lagi produk pelancongan yang unik di negeri berkenaan.

Menurut pengerusi jawatankuasa induk pesta berkenaan Datuk Peter Anthony, pemilihan tarikh itu sebagai meraikan hari penting bagi etnik Murut dilihat langkah serius kerajaan untuk me­ngangkat martabat semua kaum di Sabah menerusi pemeliharaan budaya dan tradisi.

“Kami dapati sejak dianjurkan pada 2003, Pesta Kalimaran seakan-akan tidak dapat diuruskan secara konsisten.

“Sama seperti Pesta Kaamatan, Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, kita perlu meraikan pesta ini untuk memberi penghormatan kepada kaum Murut di Sabah.

“Jadi, buat kali pertamanya, kami memutuskan 31 Mac sebagai tarikh sambutan setiap tahun memandangkan sebelum ini ia dirayakan tanpa tarikh yang tetap,” katanya.

Kata Peter, pesta kali ke-16 itu akan bermula pada 26 hingga 31 Mac ini bakal dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom.

“Sambutan pada tahun ini secara sederhana tetapi meriah dengan jangkaan lebih 10,000 pengunjung tempatan dan luar daerah yang diberi peluang merasai pengalaman unik berkenaan,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Akhir Pelaksana di pejabatnya, baru-baru ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu adalah Pengerusi Bersama Sambutan, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Mansur Haji Asun dan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Tenom, Sungkim Rumangun.

Antara aktiviti yang dijangka berlangsung termasuk pameran rumah tradisi subetnik Murut, upacara tolak bala, konsert Kalimaran, pertandingan Butitin, pertandingan Kalawon Kalimaran, pertandingan Lalaing Matalur Kalimaran, perarakan kebudayaan dan banyak lagi.

Dalam pada itu, pengunjung yang ingin bermalam sempena pesta itu dinasihat membuat tempahan awal.-Nurul Husna Mahmud

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 5:00am
d