santai

Rakam bima sakti dalam negara

Oleh Nurul Husna Mahmud

MELIHAT imej di langit yang terakam daripada lensa William Chin pastinya ramai menyangka ia fenomena angkasa di luar negara.

Mungkin ada yang menyangkakan ia antara rakaman imej langit di kutub utara atau lokasi di negara tersohor dengan astrofotografi seperti di Australia dan Eropah. Sedangkan ia antara koleksi imej menarik langit di negara kita.

Kata William, Malaysia mempunyai pemanda­ngan langit menarik dan tiada kurangnya dengan negara yang beliau pernah kunjungi bagi merakam pemandangan angkasa pada sebelah malam.

Menurutnya, tabiat merakam pemandangan di langit bermula sejak usia 13 tahun kerana tertarik dengan kedudukan bintang yang sentiasa berubah, selain taburan bintang terbentuk menyerupai bentuk lain.

Oleh itu, bagi ‘pemburu’ dunia angkasa sepertinya, sudah pasti mempunyai lokasi kegemaran dalam merakam foto langit pada waktu malam.

Malah beliau mengakui turut menyenaraikan beberapa lokasi yang sering dikunjungi peminat jurugambar alam angkasa bagi mendapat imej terbaik sebagai koleksi sendiri atau dikongsi bersama masyarakat umum.

“Asas dan panduan kami selaku jurugambar angkasa atau astronomi amatur, rakaman malam tercantik ialah di lokasi paling gelap ketika itu.

“Sudah menjadi lumrah, komuniti ini akan memandu ke destinasi seperti Kuala Kubu Bharu, Selangor atau ke Tasik di Lembah Krau Bentong, Pahang untuk merakam imej angkasa.

“Kuala Kubu Bharu ialah tempat terhampir dengan Kuala Lumpur bagi merakam imej bima sakti. Ramai peminat seni fotografi angkasa sanggup meredah semak dan menahan gigitan nyamuk demi kepuasan diri mendapatkan gambar terbaik.

“Tempat ini gelap dan terhindar daripada ‘pencemaran’ cahaya iaitu merujuk kepada situasi pencahayaan global yang semakin meningkat atau masalah pencahayaan bukan semula jadi berlebihan atau terlalu terang pada sebelah malam,” katanya.

Bagi peminat astrofotografi di selatan tanah air, kata William, lokasi kegemaran jurufoto genre ini pula ialah di Tanjung Kesang, Mersing, Johor.

“Kalau rajin saya dan rakan akan memandu hingga ke Tanjung Kesang. Ia ini menjadi tumpuan peminat astronomi dari negara jiran, Singapura selain pelancong Eropah.

“Ini kerana ada penginapan di kawasan tinjauan untuk merakam imej angkasa. Sebenarnya dari bilik rumah penginapan mereka sudah boleh lihat dengan jelas bintang atau entiti angkasa dengan jelas.

“Selain itu Sabah dan Sarawak juga antara destinasi kegemaran saya untuk merakam buruj, bima sakti atau gerhana matahari. Ramai kenalan saya yang minat dengan fenomena gerhana matahari sekali-sekala datang untuk melihat imej terbentuk termasuk gerhana cincin.

“Sebagai rujukan kami dalam merakam gambar terbaik, selalunya kami akan melihat dulu takwim falak dan laporan cuaca dirakam satelit. Terbaik ketika ini ialah satelit Jepun yang merakam keadaan di sekitar Asia termasuk Malaysia.

“Imej dirakamkan satelit inilah yang kami jadikan rujukan. Saya dan rakan yang terbabit dengan aktiviti ini boleh mengang­garkan ketebalan awan pada sebelah malam sama ada ia boleh mengganggu rakaman gambar atau sebaliknya. Tiada gunanya sampai ke lokasi tapi awan tebal atau hujan menutupi imej bintang di langit,” katanya.

Berkongsi pengalaman menarik sepanjang terbabit mengembara serata Malaysia atas minat seni astrofotografi, katanya, dia pernah mengusung beban iaitu perkakas berupa gambar, tripod dan sebagainya seberat 20 kilogram ketika perjalanan mendaki Gunung Kinabalu.

“Gunung Kinabalu antara lokasi terbaik untuk mendapatkan rakaman fenomena menarik di langit. Pernahlah juga saya menggendong beban 20 kilogram hanya untuk dapatkan gambar langit malam,” katanya yang turut berkelana hingga ke Amerika Syarikat untuk minatnya itu.

Seorang lagi peminat astronomi, Haris Jeffrey Harun, sejak berpindah ke Sabah 2010, dia mula menggilai bidang astrofotografi disebabkan imej bima sakti.

“Lokasi pertama saya membuat cerapan ‘Deep Space Object’ adalah di Kampung Sungai Padang, Papar, Sabah. Meskipun hobi itu timbul selepas saya berpindah ke negeri itu tapi minat terhadap ilmu angkasa itu sudah bermula sejak 2000 lagi.

“Kalau keluarga ikut lokasi seperti Kundasang dan Mesilau menjadi pilihan. Ketika ini astrofotografi landskap di Sabah ialah Kuala Penyu, Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Jalan Pintasan Kota Belud-Ranau, Melangkap, Tegudon, Tambatuon dan juga Tamparuli,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 5:30am
d