santai

Kemeriahan pesta bendang

Oleh Hafiz Ithnin

SEDIKIT pun tiada rasa menyesal selepas lebih lima jam penulis bersama jurufoto, Saifullizan Tamadi memandu dalam keadaan panas dari Kuala Lumpur ke Kangar, Perlis untuk menyaksikan sendiri pesta yang dicanangkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini.

Beberapa hari sebelum berangkat, penulis berkesempatan bertemu Ketua Pengarahnya, Tan Sri Norliza Rofli yang mengatakan, sukar untuk diceritakan kemeriahan pesta berkenaan jika tidak merasai sendiri pengalamannya.

Sememangnya benar, apa yang dikatakan beliau kerana selama sehari suntuk penulis berada di tapak Pesta Angin Timur Perlis 2019 (PAT), pelbagai acara desa yang menarik dianjurkan jabatan berkenaan.

Menangkap itik di bendang, menonton perlumbaan traktor yang dikenali sebagai lumba kerbau besi dan pertandingan menangkap belut pastinya sukar untuk dilupakan.

Asalnya, PAT tercetus daripada peredaran cuaca dingin atau lebih dikenali sebagai angin timur oleh masyarakat sebelah utara tanah air kepada cuaca panas.

Sambutan pesta itu sebenarnya sudah dilakukan sejak dahulu oleh masyarakat setempat bagi mengumpul semangat baharu selepas padi selesai dituai sebelum memulakan aktiviti menanam padi baru.

Acara masyarakat kampung dahulunya adalah dengan mengadakan pertandingan seni dan gaya burung, bermain wau dan pelbagai aktiviti sukan rakyat.

Dengan kata lain, aktiviti PAT berkonsepkan bendang dan disebabkan itu kebanyakan acara diadakan di lokasi berkenaan. Pastinya bagi mereka yang datang dari kawasan luar, kegiatan di dalam PAT mampu menarik perhatian.

Melihat kepada keunikan itu, JKKN mengangkatnya menjadi aktiviti tahunan rasmi yang dilihat memberi manfaat kepada ekonomi rakyat setempat menerusi kehadiran pelancong tempatan dan asing.

Norliza berkata, PAT menjadi agenda penting kepada JKKN kerana ia mempunyai keunikan yang boleh menonjolkan seni dan kebudayaan rakyat tempatan kepada masyarakat luar.

“PAT 2019 sudah masuk tahun kesembilan dianjurkan. Setiap tahun terdapat penambahbaikan dan jumlah pengunjung juga amat menggalakkan kerana terdapat acara kampung seperti kenduri dan 24 acara sukan rakyat yang boleh disertai orang ramai.

“Selain itu, acara ini juga menjadi platform masyarakat di negeri ini untuk mengetengahkan seni budaya setempat dengan pelbagai pementasan persembahan yang kita adakan seperti persembahan Awang Batil dan Gendang Perlis,” katanya.

Malah penulis sendiri turut menyertai aktiviti kenduri rakyat yang persiapan menyediakan makanan dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Bijal Utan Aji, Kayang.

Suasananya cukup meriah kerana seawal jam 8 pagi, sekitar 50 penduduk kampung sudah sibuk menyiapkan pelbagai bahan masakan untuk menjamu 1,500 pengunjung PAT di Kompleks DUN, Kangar.

Lebih mengagumkan acara itu bukan saja membabitkan orang kampung, malah disertai ketua masyarakat. Menariknya, acara gotong-royong seperti itu juga menonjolkan keharmonian masyarakat tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

Pada majlis pelancaran PAT 2019, sekitar jam 6 petang, semua tetamu yang hadir dapat menikmati gulai kawah, ikan goreng dan pelbagai lagi lauk-pauk tempatan yang tampak ringkas tetapi kelazatannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Pertandingan lumba kerbau besi

Awalnya disangka perlumbaan menunggang kerbau di bendang, tetapi sebenarnya berlumba membawa traktor di bendang!

Pertandingan itu disertai 12 pasukan yang menghantar 12 jurupandu traktor bagi merebut gelaran juara pada tahun itu. Menariknya, ada pasukan yang begitu bersemangat sehingga setiap ahli memakai jersey sedondon.

Litar yang digunakan adalah tapak bendang yang sudah kering dan mereka perlu sampai ke garisan penamat dengan pantas sejauh 150 meter.

Kedengaran seperti mudah untuk mengendalikan jentera itu, hakikatnya terdapat cabaran seperti selekoh tajam yang direka pihak penganjur bagi mencabar keupayaan pemandu ketika berlumba.

Ketika berlumba sorakan penyokong begitu mantap seakan menonton perlumbaan F1 di Litar Sepang! Namun, bezanya, litar digunakan adalah tapak bendang kering dan berdebu tetapi bunyi enjin traktor itu boleh dikatakan mampu membakar semangat peserta dan penonton acara berkenaan.

“PAT 2019 yang dianggarkan mampu menarik kehadiran 100,000 pengunjung turut menjadi platform kepada masyarakat setempat untuk menjadi usahawan.

“Selain gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, ia juga menyediakan 160 lot gerai kepada pengusaha perniagaan,” kata Norliza.

INFO

Acara Pelancongan Budaya JKKN 2019

1. Pesta Angin Timur Perlis (1-3 Mac 2019)

2. Pesta Chenor Pahang (26-28 April 2019)

3. Festival Kesenian Rakyat Kelate (11-13 Julai 2019)

4. Festival Kesenian Balik Pulau (19-21 Julai 2019)

5. Temasya Oghang Kedah (25-27 Julai 2019)

6. Festival Sayangi Lahad Datu (2-4 Ogos 2019)

7. Festival Permainan Malaysia (27-29 September 2019)

8. Festival Seni Selat Melaka (18-20 Oktober 2019).

9. Festival Gendang Melayu Sarawak (1-3 November 2019).

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 11:45am
d