santai

Lambaian Sungai Pahang

Oleh Suliati Asri

BERSANTAI di kerusi empuk sambil melihat pemandangan sungai yang tenang dari ruang kamar cukup mendamaikan.

Kelibat burung yang berterbangan bebas di langit biru dan suasana bilik penginapan luas dengan konsep moden kontemporari menambahkan keselesaan.

Suhu bilik yang sejuk dek pendingin hawa menambahkan ketenangan, sekali gus menghilangkan segala tekanan kerja dan kehidupan harian yang membebankan.

Itulah yang pastinya dirasai saat menginap di Hotel AnCasa Royale Pekan, Pahang. Dikelilingi kampung tradisional dengan suasana desa yang permai menjadikan hotel ini sesuai bagi mereka yang ingin lari daripada hiruk-pikuk kesibukan kota dan menenangkan fikiran selain bercuti bersama keluarga.

Hotel AnCasa Royale Pekan yang juga salah satu rangkaian AnCasa Hotel & Resort iaitu anak syarikat di bawah UDA Holdings Berhad ini adalah satu-satunya hotel bertaraf empat bintang terletak di Pekan, Bandar Di Raja yang menawarkan keselesaan di samping berlatar belakang­kan Sungai Pahang yang mendamaikan.

Ia menawarkan 133 bilik terdiri daripada 125 bilik Deluxe Premier, empat Suite Junior, dua Family suite, satu Executive Suite dan satu Premier Suite dengan kemudahan yang lengkap.

Naib Presiden Kanan bahagian Hospitaliti UDA Holdings Berhad, Shah Azam Khan Noor Mohammad berkata, tetamu pasti berasa selesa ketika menginap di hotel ini kerana ia menggabungkan konsep moden kontemporari dan rekaan mewah dengan bermotifkan elemen serta ciri kediaman tradisional.

“Ciri tradisional dikete­ngahkan melalui lampu hiasan dan permaidani bermotif bunga Pekan dan corak kain tenun manakala dinding di ruang lobi pula bermotifkan dinding papan tindih kasih yang biasanya digunakan rumah di kampung.

“Melangkah masuk ke ruang bilik pula, rekaannya berkonsepkan moden dengan ruang selesa, bilik mandi luas, lengkap dengan pelbagai kemudahan, katil serta tilam yang empuk,” katanya.

Hotel berkeluasan 2.5 hektar ini turut menyediakan kolam renang dan taman permainan buat si kecil yang ingin beriadah di sebelah petang. Menariknya, kolam renang dengan saiz besar ini turut menyediakan kolam khas untuk si kecil bermain air yang lengkap dengan air pancuran.

Kawasan lapang yang menghijau dan luas itu juga sangat sesuai bagi mereka yang ingin bersiar-siar menikmati suasana pagi dan petang dengan hembusan angin sungai sepoi-sepoi bahasa.

Selain itu, ia juga sesuai untuk pengunjung yang ingin mengadakan hari keluarga atau sukaneka, acara luar dan majlis perkahwinan berkonsep dalam taman. Hotel ini juga menawarkan perkhidmatan serta katering untuk acara Kem Bina Semangat.

Hotel ini turut menawarkan lima bilik mesyuarat dilengkapi kemudahan termasuk kawalan pencahayaan, peralatan audio-visual dan akses Internet jalur lebar.

Royale Ballroom dapat menampung 400 hingga 500 tempat duduk dalam satu masa dan turut menawarkan pakej perkahwinan serendah RM45 termasuk makan malam, seminar serta acara keramaian.

Pengunjung juga boleh bersantai sambil menikmati alunan muzik pemain piano di ruang legar hotel selain berhibur atau karaoke di Studio Lounge di tingkat satu.

Saffron Brasserie turut menawarkan pelbagai hida­ngan makanan tradisi ma­syarakat Pahang seperti opor daging, sup tulang kicap, pais tempoyak dan puding raja.

Kata Shah Azam Khan, penyediaan makanan tradisi ini secara tidak langsung memperkenalkan sajian popular di daerah ini kepada tetamu terutama pengunjung luar.

“Setiap hujung minggu juga kami mengetengahkan sarapan yang berlainan de­ngan menambahkan makanan tradisional seperti nasi dagang, ketupat palas dan banyak lagi bagi memberikan lebih pilihan menu buat tetamu,” katanya.

Hidangan steamboat, makanan barat dan aneka pastri yang boleh dipesan di Saffron Brasserie ini juga sangat berbaloi. Jangan lupa rasai keenakan teh tarik dan kopi tarik.

Selain menjamu selera di hotel, pengunjung juga berpeluang menikmati keenakan makanan tempatan lain seperti murtabak mengkasar, cendol beraneka rasa, nasi dagang dan puding raja yang sememangnya tidak jauh dari AnCasa Royale Pekan.

Makan malam di Medan Ikan Bakar Di Kuala dengan suasana malam perkampu­ngan nelayan yang mendamaikan tidak hanya menge­nyangkan tetapi memberikan kelainan yang sukar dirasai di ibu kota.

Menginap di hotel ini nyata tidak akan membosankan kerana kedudukannya cukup strategik dan dikelilingi dengan tarikan pelancongan yang pasti membuatkan pe­ngunjung teruja.

Kata Shah Azam Khan, pelbagai lokasi menarik yang boleh di kunjungi saat me­nginap di hotel ini antaranya Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium Masjid Sultan Abdullah, Komplek Kampung Budaya, Pulau Keladi, bersantai di Pantai Air Leleh dan banyak lagi.

“Kita juga menawarkan aktiviti menyusuri sungai di mana menerusi pakej yang disediakan, pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman lawatan ke kawasan menarik seperti Pulau Meow dan penempatan nelayan bagi melihat aktiviti masyarakat kampung secara lebih dekat.

“Pengunjung juga dapat menyusuri sepanjang Sungai Pahang, sekali gus melihat aktiviti nelayan selain boleh meninjau sangkar ikan dengan lebih dekat lagi,” katanya.

Sempena Ramadan ini, AnCasa Royale Pekan turut menawarkan bufet Ramadan, Aroma D’ ANCASA dengan pelbagai hidangan bertemakan tradisional, mengetengahkan makanan tradisi Pahang di Saffron Brasserie.

Ia meliputi masakan kampung seperti pais ikan patin, opor daging Pahang, ayam goreng kebuli, sambal jering ikan bilis tempoyak, kari kambing dan pelbagai jenis ulam termasuk daun pegaga, rebusan jantung pisang dan kacang kelisa serta banyak lagi.

Tidak hanya itu, beraneka kerabu, ulam-ulaman, keropok, jeruk buah-buahan, sambal, sup, sate, roti canai, murtabak dan pelbagai lagi menu lain.

Bufet ditawarkan pada harga RM70 untuk dewasa dan RM40 bagi kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun. Harga istimewa serendah RM58 ditawarkan bagi tempahan awal. Untuk keterangan lanjut, hubungi 09-4246600 atau laman web www.facebook.com/AncasaRoyalePekan.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 12:04pm
d