santai

18 spesies dinosaur dipertonton secara langsung

Oleh Nurul Husna Mahmud

PEMINAT haiwan purba pasti teruja apabila UnUsUal Entertainment dan penganjur bersama MacpiePro bakal menganjurkan ‘Walking With Dinosaurs - The Live Experience’ pada Ogos nanti.

Produksi bernilai 20 juta itu diterbitkan daripada siri televisyen popular BBC, ‘Walking With Dinosaurs - The Live Experience’ bakal menerbangkan 18 spesies dinosaur ke Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk dipertontonkan secara langsung untuk tatapan peminat siri itu di Malaysia.

Karya asalnya dihasilkan Gerry Ryan, Malcolm Cooke dan Jill Bryant di Australia sebelum dibawa ke dunia realiti oleh Global Creatures. Pertunjukan selama satu jam 40 minit itu menggambarkan evolusi dinosaur yang seakan-akan hidup di alam realiti.

Mengetengahkan teknologi terkini, penonton pertunjukan itu juga bakal merasai pengalaman seolah-olah ‘hidup’ dalam dunia haiwan berkenaan terutama sebaik produksi terbabit mempamerkan perubahan yang hebat terhadap dinosaur dari segi warna kulitnya dan terdapat beberapa spesies berbulu berdasarkan penyelidikan saintifik terkini.

Dalam pertunjukan itu pengunjung berpeluang menyaksikan babak interaksi antara dinosaur, selain pergerakan dinosaur karnivor berjalan menggunakan dua kaki dan bagaimana herbivor menewaskan pemangsa yang lebih ganas.

Antara 18 spesies dinosaur ditampilkan termasuk spesies Tyrannosaurus Rex, Plateosaurus, Liliensternus dari zaman Triassic, Stegosaurus dan Allosaurus dari zaman Jurassic dan Torosaurus dan Utahraptor dari zaman Kretaseus.

Dinosaur yang terbesar adalah Brachiosaurus yang berketinggian 11 meter dan 17 meter dari hidung hingga ekor yang mengambil masa setahun serta memerlukan tenaga kerja seramai 50 orang termasuk jurutera, pembuat fabrikasi, pembuat kulit, artis, pelukis dan pakar animatronik.

Babak penceritaan bakal disaksikan pengunjung termasuk pemisahan benua bumi dan peralihan dari padang pasir yang gersang pada zaman Triassic ke padang rumput yang menghijau pada zaman Jurassic hinggalah kepada kepupusan spesies itu.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 8:31am
d