santai

Berbuka gaya berkelah

Oleh Nurul Husna Mahmud

SEBUT saja lokasi berbuka puasa pasti tergambar masjid atau restoran sebagai destinasi pilihan untuk berkumpul bersama keluarga mahupun teman selain kediaman.

Namun bagi mereka yang pernah mendengar atau berkunjung ke lokasi terbuka seperti Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2, Dataran Shahbandar, Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu dan Dataran Putrajaya, semua tempat ini tidak pernah sepi daripada kunjungan orang ramai untuk menikmati juadah berbuka puasa.

Trend ‘berkelah’ itu bagaikan sudah menjadi pilihan kebanyakan orang yang mahu menghidupkan amalan berbuka puasa beramai-ramai pada hujung minggu dengan mengunjungi lokasi berkenaan bersama keluarga.

Komuniti Fotografi Jalanan Malaysia (FJM) yang meraikan ulang tahun kesembilannya serentak dengan kedatangan Ramadan turut mengambil inisiatif yang sama menerusi aktiviti ‘Street Outing Iftar Ramadan FJM’ dengan pengisian acara berbuka beramai-ramai di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Acara itu disertai lebih 30 ahli, kenalan dari luar termasuk wakil CNN Jakarta (Indonesia), Safir Makki; Duta Sony Dhaka (Bangladesh), Saud Al Faisal; Ricoh Filipina, John Rudio dan ramai lagi.

Penganjur ‘Street outing Iftar Ramadan FJM’ Mohamad Khairizam Desa berkata, itu antara inisiatif bagi menampilkan kelainan dalam budaya masyarakat setempat khususnya berkenaan amalan berbuka.

Berbuka puasa di tempat umum sambil ditemani keluarga dan rakan dengan cara sederhana ternyata memberi sisi berbeza.

“Kebetulan tahun ini ulang tahun FJM jatuh pada bulan puasa, saya tampilkan kelainan dalam meraikan perjumpaan tahunan itu.

“Jika sebelum ini kita turun rakam foto sekitar ibu kota dan adakan jamuan kecil-kecilan, kali ini kami galakkan mereka merakam momen ketika berbuka.

“Dapat juga lihat pelbagai reaksi dan bangsa turut sama menyertai­nya tanpa mengira latar belakang agama untuk sama-sama meraikan program berkenaan.

“Dalam aspek lain, ia secara tidak langsung memperlihatkan kesederhanaan yang mana semua ahli dapat menikmati jamuan dengan suasana meriah selain kesempatan mendirikan solat jemaah Maghrib,” katanya.

Menyentuh maklum balas kenalan dari luar negara yang turut menyertai acara berbuka di padang kali ini, kata Khairizam, rata-rata memberi komen bahawa ia suatu pendekatan unik.

“Rakan FJM dari Indonesia, Filipina, Jepun, Singapura dan Bangladesh berasakan acara iftar ini meriah kerana berbuka beramai-ramai di kawasan terbuka seperti Dataran Merdeka.

“Hanya berbekalkan simbahan cahaya lampu, beralaskan tikar disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), orang ramai gembira dan selesa menikmati juadah masing-masing. Mereka berharap dapat menyertai aktiviti sedemikian pada masa akan datang,” katanya.

Selain berbuka, kata Khairizam, mereka turut berkongsi tip dan teknik dalam merakam foto jalanan yang baik dengan peserta pelbagai negara.

Secara tidak langsung dapat mempromosi keunikan budaya dan produk pelancongan ada di Malaysia dan dikhabarkan menerusi medium fotografi apabila dikongsikan kenalan dari luar negara.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 9:30am
d