santai

Rasai gigitan manja si kelah!

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

MELUANGKAN masa bersama keluarga atau teman di pusat rekreasi mahupun pusat beli-belah antara aktiviti yang sering dilakukan. Apa kata kali ini luangkan masa anda dengan mengunjungi Santuari Ikan Sungai Chiling.

Keunikan Santuari Ikan Sungai Chiling atau lebih dikenali sebagai Sungai Chiling itu tidak perlu dipertikai apabila ia menjadi lokasi wajib pelancong dari dalam dan luar negara untuk melakukan aktiviti rekreasi.

Terletak kira-kira 13 kilometer (km) dari Kuala Kubu Bharu, Selangor atau 70km dari Kuala Lumpur, ia juga antara lokasi cukup menenangkan kerana di kelilingi alam semula jadi yang masih kekal terpelihara.

Bagaimanapun, ia hanya dibuka kepada pengunjung pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Berkelah antara aktiviti popular yang menjadi pilihan pengunjung. Bagi yang lebih suka berjalan dan menikmati suasana redup dengan kehijauan pokok, anda boleh memilih untuk ke sungai utama yang terletak hampir tiga kilometer dari pintu masuk utama.

Bagi pengunjung yang pertama kali ke situ, jangan terkejut apabila melihat pintu gerbangnya ditutup atau dihalang dengan palang. Ia bagi menghalang sebarang kenderaan untuk masuk ke kawasan terbabit. Kenderaan perlu di diletakkan di kawasan yang disediakan.

Dari pintu masuk jalan utama, pengunjung perlu berjalan kira-kira 800 meter di bawah rimbunan pokok hutan sambil mendengar deruan air sungai yang mengalir deras.

Pengunjung boleh membuat pilihan sama ada mahu berkelah di sekitar pejabat Pengurusan Jabatan Perikanan atau ke sungai utama. Jika ingin ke sungai utama, pengunjung perlu mendaftar di balai pengawal dan membuat bayaran sebelum meneruskan perjalanan sekitar tiga kilometer untuk tiba ke air terjun.

Malah pengunjung juga diwajibkan mencatatkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon. Rekod kemasukan ini penting bagi memudahkan pihak berkuasa membuat tindakan perlu sekiranya ada yang terkandas.

Bagi yang memilih ke sungai utama atau air terjun, dinasihatkan untuk memakai pakaian dan kasut bersesuaian kerana mereka perlu berjalan dan merentasi enam anak sungai.

Trek untuk ke sungai utama tidaklah sesukar mana kerana laluannya boleh dikatakan agak lebar dan landai. Namun pengunjung tetap perlu berhati-hati kerana terdapat banyak lopak air yang secara tidak langsung membuatkan membuatkan sesetengah laluannya agak licin.

Laluan berkenaan mungkin mencabar sesetengah orang, terutama kepada wanita dan kanak-kanak kerana perlu melangkah batang balak sebesar dua pemeluk yang merentangi laluan. Ia kelihatan mudah tetapi boleh menjadi sukar jika batang balak itu basah selepas hujan.

Jangan risau, walaupun perlu berjalan hampir dua jam meredah hutan dengan pelbagai jenis flora yang jarang dilihat di ibu kota ditambah laluan sungai yang dipenuhi ikan kelah itu sedikit sebanyak menjadi terapi ketenangan.

Kemuncak aktiviti ini tentunya ketika menyeberang beberapa sungai pada kedalaman paras paha hingga pinggang orang dewasa. Pada mulanya mungkin pengunjung berasa takut melihat aliran sungai yang deras dan geli apabila ratusan ikan berada di sekeliling namun, percayalah ia akan memberi keseronokan kepada sesiapa sahaja yang datang.

Apatah lagi ketika meranduk air sungai yang sejuk itu sambil ikan kelah menggigit manja kaki terasa seperti berada di spa ikan di pusat beli-belah. Pada masa yang sama melihat keindahan alam semula jadi yang masih hijau mendamaikan.

Selain itu, pengunjung dinasihatkan untuk membeli makanan ikan yang dijual di pondok pengawal. Ia sebagai pelengkap kenangan indah yang anda rakam sebaik berpeluang memberi makanan kepada spesies ikan kelah itu.

Untuk rekod, pihak pengurusan hutan tidak akan membenarkan orang ramai berkunjung ke air terjun Sungai Chiling ketika hujan atau baru lepas hujan kerana dikhuatiri berlaku limpahan air deras atau ‘kepala air’ di hulu sungai itu. Penjaga kawasan berkenaan akan meminta pengunjung yang berada di atas untuk terus segera turun jika hujan.

Segala aktiviti berkaitan sungai akan dihentikan sebaik jam amaran berbunyi. Pernah berlaku pengunjung terkandas lebih lima jam kerana tidak dapat melintasi sungai kerana alirannya yang sangat deras.

Santuari Ikan Sungai Chiling ini dibuka oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor pada 2005 dan diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada 2007.

Tujuan utama santuari ini diwujudkan adalah untuk menyediakan satu kawasan perlindungan kepada spesies ikan kelah dan tengas yang semakin berkurangan.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 12:37pm
d