santai

Bosan lama dalam pesawat

Oleh Susunan Aniza Zainudin

MENGEMBARA ke destinasi baru semestinya mencetuskan keghairahan dan keseronokan tidak terhingga.

Namun kadangkala kegembiraan ini tercuit sedikit apabila memerlukan kita menempuhi masa penerbangan yang panjang.

Menghabiskan masa di udara tanpa aktiviti pastinya menjadikan perjalanan itu membosankan dan terasa semakin panjang.

Justeru, bagi mengekalkan keterujaan melancong, kita perlu mempersiapkan diri untuk ‘berperang’ dengan masa yang lama sepanjang penerbangan.

Berikut antara panduan sebagai persediaan awal bagi anda yang bakal menempuhi tempoh penerbangan panjang.

1. Pakaian selesa

Baju dan seluar yang longgar dapat memberi kebebasan kepada anda apabila mampu bergerak lebih selesa. Kasut jenis sarung juga membantu mengurangkan rasa penat di bahagian kaki.

Selain itu, anda juga disarankan membawa selendang dan jaket sebagai persediaan sekiranya berasa sejuk sepanjang penerbangan berkenaan.

Bagi mereka yang mengalami masalah rabun, tidak digalakkan memakai kanta lekap kerana mata mudah kering, sebaiknya memakai cermin mata.

2. Melakukan kerja

Tempoh penerbangan yang panjang melebihi tiga jam ke atas agak membosankan sekiranya kita tidak melakukan apa-apa perkara.

Justeru, sebaiknya masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya dengan melakukan kerja sama ada kertas kerja, tugasan mahupun dokumentasi.

Selain dapat menyelesaikan tugasan tepat pada masanya, anda juga dapat menyempurnakannya dengan lebih baik kerana tiada gangguan panggilan telefon sepanjang penerbangan.

3. Menonton filem

Aktiviti menonton filem atau drama antara satu cara untuk menghabiskan masa. Sekiranya anda menaiki penerbangan terkenal, pastinya terdapat pelbagai genre filem disajikan. Namun bagi penerbangan tambang murah pula, sebaiknya anda memuat turun siri drama atau filem yang anda minati lebih awal.

4. Minimumkan barangan ke atas kapal terbang

Meskipun anda sudah mendaftar masuk bagasi, itu tidak bermakna anda seharusnya membawa beg tambahan lain. Ini kerana beg tambahan yang diletakkan di bawah kerusi tempat duduk anda akan memakan ruang selesa terutama bahagian kaki. Pastinya pergerakan anda kurang selesa gara-gara adanya barangan di ruang tempat duduk.

5. Bawa bersama peralatan diperlukan

Bantal kecil, topeng tidur, plug telinga dan sebagainya mampu memberi sedikit keselesaan buat anda yang melalui perjalanan panjang.

6. Barangan elektronik

Pastikan anda mengecas semua power bank dan gajet lain kerana ia ‘penyelamat’ sekiranya anda kebosanan dalam penerbangan.

7. Makanan dan minuman

Selain membeli makanan di udara, anda juga boleh membawa snek ringan sebagai kudapan dan mengalas perut sementara menanti pramugari atau pramugara menyajikan hidangan mengikut jadual ditetapkan.

Pastikan anda mengambil air minuman secara berkala untuk mengelakkan hidrasi manakala kurangkan pengambilan kopi, minuman ringan dan coklat untuk meminimumkan masa anda

ke tandas.

8. Pakai tali pinggang keselamatan

Sekiranya anda ingin melelapkan mata, disarankan memakai tali pinggang keselamatan. Selain demi keselamatan diri, pramugari dan pramugara tidak akan mengganggu tidur anda sekiranya menyedari anda memakai tali pinggang keselamatan ketika pemeriksaan.

9. Tolak ansur

Melalui penerbangan yang lama sememangnya memenatkan.Justeru, disarankan saling bertolak-ansur dan memahami orang lain mahupun petugas dalam kapal terbang.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 10:22am
d