santai

Debaran Monster House

Oleh Aniza Zainudin

TIDAK pasti apa yang bakal menanti kedatangan kami bertiga, dengan penuh berhati-hati kami menolak daun pintu utama Monster House.

Alunan muzik latar diiringi suara garau, tangisan bayi dan wanita, bisikan halus, bunyi besi berlaga dan pintu terbuka menambahkan lagi debaran di hati penulis.

Memasuki ruang hutan gelap atau Alive Forest, masing-masing tercari-cari elemen seram yang mampu menggugat keberanian kami untuk meneruskan langkah ke bilik seterusnya.

Senyuman masih terukir di wajah membuktikan suasana kelam dan gelap hutan itu tidak berupaya menghalang kami untuk mencabar kejituan hati.

Bertemu tiga pintu yang menggambarkan adat kematian pelbagai bangsa, kami terus masuk ke bilik yang boleh dikategorikan seram.

Bayangkan bilik gelap yang dipantulkan cahaya lampu biru berkelip-kelip menandakan adanya entiti negatif di persekitaran kami.

Lebih menakutkan, bilik berkenaan dipenuhi ribuan mata anak patung mainan sama ada haiwan mahupun manusia tersusun kemas di atas rak berhabuk sedang asyik merenung kami.

Seperti anak patung berhantu daripada filem popular, Annabelle, bukan lagi rupa comel yang terpampang sebaliknya berwajah ngeri apabila tidak berambut, hanya mata putih kelihatan, wajah hitam seperti terbakar malah pakaiannya juga tidak lagi seindah puteri.

Meninggalkan bilik patung si puteri malang, kami menerokai bilik seterusnya yang diinspirasikan daripada wad hospital terbiar.

Melihat cat dinding dimamah usia dipenuhi percikan darah, penulis tidak menafikan bilik ini antara paling menakutkan.

Terdapat kira-kira lima mayat berkafan yang terbaring di atas lantai dan katil hospital dan figura manusia membunuh tinggi tergantung di siling.

Untuk meneruskan perjalanan ke bilik seterusnya, kami perlu melangkah mayat bergelimpangan di atas lantai.

Meskipun ia menakutkan, pada masa sama sangat menyeronokkan apabila penulis berasakan diri berada dalam satu adegan filem seram seperti yang ditonton di panggung wayang sebelum ini.

Memasuki rumah penyembelihan mengingatkan penulis kepada karakter pembunuh kejam, Jason Voorhees dalam siri filem Friday the 13th.

Terkenal dengan sifat ganas, Jason sering mendatangi pengunjung yang ke Tasik Kristal demi membalas dendam di atas kematiannya.

Bijak bermain dengan props, rumah penyembelihan ini nampak lebih ‘berseri’ dan terang kerana percikan darah mewarnai dinding serta lantai bilik.

Mayat tidak sempurna tanpa anggota badan bergantung dan berselerakan di atas lantai, ditambah dengan muzik latar membuatkan suasana lebih ngeri serta pastinya tidak sesuai untuk mereka yang mudah melatah.

Satu lagi bilik yang dikategorikan menakutkan adalah Zombie Hands kerana pengunjung perlu melepasi terowong yang dipenuhi tangan untuk menuju ke bilik terakhir, Hanging Head.

Jika bilik sebelum ini tidak memerlukan penulis memberikan sentuhan fizikal, berbeza di bilik terakhir apabila kami terpaksa menarik ke bawah hampir 10 kepala hantu berwajah seram dan berambut panjang tergantung di siling untuk menamatkan perjalanan.

Bagi penulis, kunjungan ke Monster House yang terbahagi kepada 13 bilik menakutkan ini termasuk ‘Monster Room,’ ‘Portal,’ ‘Alive Forest,’ ‘Door of Choices,’ Burial Narrow Walk,’ ‘Clown Room,’ ‘Creepy Corridor,’ ‘Morgue,’ ‘Slaughter House,’ ‘Infinity Monster Cage,’ ‘Photo Room,’ ‘Zombie Hands’ dan ‘Hanging Head’ memberi kepuasan tidak terhingga.

Ini kerana satu tarikan sudah cukup memberi peluang kepada pengunjung menerbitkan pelbagai rasa pada satu masa.

Bagi mereka yang menggemari genre seram dan mencabar, pastinya kunjungan ke Monster House menjadi pilihan yang tepat.

Monster House, satu daripada tiga tarikan yang ditawarkan The Adventures’ Web yang beroperasi di pusat beli-belah AEON Nilai, Negeri Sembilan.

Dirasmikan sejak Mac lalu, The Adventures’ Web menampilkan tiga tarikan berbeza iaitu Dinosaur Rangers, Monster House dan Mini Science and Technology Discovery Centre bagi memenuhi selera pengunjung.

Berdasarkan pengalaman penulis yang memenuhi jemputan Tourism Malaysia pada April lalu, mendapati destinasi terbaharu ini sesuai dengan setiap lapisan peringkat usia terutama kanak-kanak yang memerlukan pendedahan awal.

Pengenalan tarikan ini dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat terhadap pusat beli-belah yang bukan sekadar sebagai syurga membeli-belah terutama dalam kalangan wanita.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 11:36am
d