santai

Berkayak Jelajah negeri

Oleh Nurul Husna Mahmud

PENGGEMAR batik atau makanan eksotik seperti budu pastinya cukup mengenali Kota Bharu, Kelantan disebabkan destinasi itu sering dilihat sebagai tarikan utama. Apatah lagi kunjungan pelancong ke negeri tersohor dengan jolokan Serambi Makkah itu, semestinya lebih tertumpu kepada percutian sambil membeli-belah atau ‘memburu’ hidangan tempatan seperti keropok dan nasi kerabu.

Namun tahukah anda, negeri itu turut memiliki kelebihan lain termasuk pesisiran pantai selain laluan kuala sungai yang menarik membolehkan aktiviti rekreasi air lasak seperti kayak dilakukan. Antara yang kian menjadi tumpuan ialah Pulau Melaka dan Pulau Gajah.

Hakikatnya ia setara dengan destinasi lain di Semenanjung Malaysia yang popular sebagai pusat aktiviti air seperti kuala di Gopeng, Perak, Sungai Sedim dan Langkawi, Kedah.

Ramai yang menggemari aktiviti kayak kerana bukan hanya lasak, malah ia antara kaedah terbaik menyusuri pesisiran pantai atau tebing sungai yang sukai dilalui menggunakan jalan darat.

Terbaharu, sekumpulan 40 peminat aktiviti itu daripada pelbagai latar belakang badan bukan kerajaan (NGO) menyertai Ekspedisi Kayak Ukhuwah menyusuri Pulau Melaka ke Pulau Gajah dan berakhir kembali di Pulau Melaka.

Menurut peserta ekspedisi berkenaan, Ummu Farah Haidar Zulkifli, aktiviti rekreasi seperti berkayak masih kurang diminati bagi kebanyakan pelancong tempatan namun cukup popular dalam kalangan pelancong asing.

Sedangkan Malaysia, antara negara yang mempunyai banyak sungai, jeram dan laut, sekali gus menjadi laluan menarik bagi pelancongan aktiviti berasaskan air.

Kali ini pihaknya bersama NGO lain tampilkan kelainan iaitu memilih untuk berkayak sambil meninjau tarikan di mukim Sabak itu bermula dari Pulau Melaka hingga ke Pulau Gajah.

“Fokus utama ialah untuk menarik lebih ramai orang tempatan memulakan aktiviti jelajah negeri ini dengan sukan kayak. Selalunya ramai memilih untuk menggunakan jalan darat bagi meninjau persekitaran, sedangkan ada alternatif lain iaitu dengan laluan air.

“Cabaran bagi pengalaman pertama menyusuri laluan berkenaan apabila hujan pada malam sebelumnya lebat, menyebabkan air keruh berwarna lumpur.

“Namun itu tidak menghalang peserta yang berada dalam 21 kayak untuk melewati laluan yang juga menjadi laluan bot nelayan ke pasar terletak berhampiran.

“Mengenai pemandangan sepanjang menyusuri laluan berkenaan pula, tentunya ia sesuatu mengagumkan kerana dapat melihat secara dekat tumbuhan dan hidupan yang berada di laluan berkenaan. Kita dihidangkan dengan panorama berbeza jika melewati kawasan sama secara berjalan.

“Ada sesetengah kawasan ini tidak boleh dilalui dengan jalan darat. Ini satu pengalaman berbeza buat peserta julung kali melalui laluan air berkenaan,” katanya.

Kawasan berkenaan sebenarnya berhampiran perkampungan nelayan membolehkan peserta ekspedisi melihat kehidupan komuniti itu dari dekat.

“Ini antara laluan nelayan setiap hari jadi, apabila kita berkayak menyusuri kawasan berkenaan secara tidak langsung suasana dan kehidupan mereka diselami.

“Malah kami turut singgah di pasar terapung nelayan yang menjadi tempat hasil laut segar dibawa naik selain mencuri masa ke Masjid Terapung Pulau Gajah untuk menyantuni penduduk.

“Pada saya pengalaman ekspedisi sejauh 13 kilometer melalui kawasan berkenaan ini antara yang paling berharga. Saya rasa bertuah kerana sebelum ini tiada lagi kumpulan atau peminat aktiviti lasak pernah menyusuri laluan terbabit,” katanya.

Ekspedisi berkenaan yang turut dianjurkan HAUMST, Briged Bakti Malaysia Cawangan Kelantan dan Malaysian Relief Agency Negeri Kelantan dengan kerjasama Gabungan Professional Street Dakwah Negeri Kelantan dilihat bukan saja menggabungkan aktiviti lasak dengan kaedah unik malah turut mewujudkan hubungan baik dengan penduduk tempatan.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 6:00am
d